Khamis, 30 Oktober 2014

Everest Base Camp


     Everest Base Camp 5364 meter memang menjadi target saya. Maka pada April 2013 saya bersama 2 orang teman telah merealisasikan impian kami. Setelah menghubungi teman lama semasa saya trekking ke Poon Hill pada tahun 2007, kami berbincang untuk trekking ke EBC secara santai dan xpdc ini mengambil masa 11 hari trekking.

Trek ke EBC
       Musuh utama pendaki menjejakkan kaki ke Everest Base Camp adalah AMS (Accute Mountain Sickness). Kami juga bimbang jika perkara buruk terjadi seperti diserang AMS. Perjalanan kami bermula dari Kathmandu dengan menaiki pesawat kecil ke Lukla 2886 meter. Penerbangan ini mengambil masa kurang lebih 40 minit.

Airport Lukla antara airport terbahaya di dunia
     Selepas mendarat, kami berehat dan minum sebentar sebelum memulakan trekking. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Phakding 3450 meter. Treking ke Phakding mengambil masa kurang lebih 3 jam dan perjalanan tidaklah sesukar mana. Kami bermalam di sini.





       Hari kedua trekking, kami meneruskan perjalanan ke Namche Bazzar 3440 meter. Trekking ke sini mengambil masa kurang lebih 5 jam. Dalam perjalanan ini, kami singgah sebentar untuk mendaftar di Pos Sagarmatha National Park. Bermalam di Namche, saya sudah mula pening-pening dan muntah, tanda saya sudah diserang  AMS. Saya mula minum banyak air, mengambil panadol dan berulang ke tandas untuk menserasikan badan dengan ketinggian.


Namche Bazzar 3440 meter dikatakan bazzar tertinggi di dunia
         Hari ketiga, kami meneruskan trekking ke Khumjung 3790 meter. Khumjung adalah sebuah perkampungan kecil namun mempunyai sebuah sekolah. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 3 jam. Di Khumjung kami tinggal di Himalayan Lodge & Restaurant. Petangnya, salji turun agak lebat di sini.





Perkampungan Khumjung



          Hari keempat, kami meneruskan perjalanan ke Tyangboche 3867 meter. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 5 jam. Kami mula trekking pada pukul 8:00 pagi dan sepanjang perjalanan kami berselisih dengan ramai kanak-kanak yang sedang berjalan kaki ke sekolah. Saya banyak membawa gula-gula untuk kanak-kanak ini.


                                                                                Onway ke Tyangboche

Bersama teman pendaki
Gate of Gumba Tyangboche


      Hari kelima kami trekking dari Tyangboche ke Dingboche 4260 meter. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 5 jam secara santai.






       Hari keenam, kami meneruskan trekking ke Labuche 4930 meter dan perjalanan mengambil masa kurang lebih 5 jam. Hari ketujuh, paginya kami memulakan trekking seperti biasa iaitu pada pukul 8:00 pagi. Malangnya seorang teman tidak dapat mengimbangi badan, dia merasa pening-pening bila berjalan. Saya merasakan dia sudah diserang AMS, musuh utama pendaki terutama bagi yang tinggal di negara "sea level" seperti Malaysia. Setelah berbincang, saya mencadangkan dia tinggal di Labuche sementara saya dan seorang teman meneruskan perjalanan ke Gorak Shep. Amat bahaya dia meneruskan perjalanan kerana AMS boleh membawa maut, walaupun dia bersemangat untuk mencuba meneruskan perjalanan. Sebelum bertolak saya berpesan supaya dia minum banyak air masak dan minta penjaga untuk mengawasi dia.

Onway ke Gorak Shep

Gorak Shep
Gorak shep (gunung pasir hitam di belakang adalah Kalapatar)
      Kami sampai ke Gorak Shep 5180 meter pada pukul 12:00 tengahari. Setelah makan, kami berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Everest Base Camp. Pada pukul 2:00 petang kami mula trekking ke EBC 5364 meter. Perjalanan mengambil masa sekitar 2 jam. Kami sampai di Everest Base Camp pada pukul 4:10 petang. 

Everest Base Camp 5364 meter


      Setelah berehat kurang lebih 20 minit, kami kembali ke Gorak Shep untuk bermalam. Antara Gorak Shep ke EBC, treknya agak mendatar dan ramai pendaki memanggilnya "highway", tetapi kerana ketinggiannya yang melebihi 5000 meter, berjalan kaki di sini menyebabkan kami tercungap-cungap.

Onway ke Gorak Shep
       Bermalam di Gorak Shep amatlah menyeksakan. Sakit kepala dan sejuk menyebabkan saya tidak dapat tidur lena. Keesokan paginya setelah sarapan kami terus ke Labuche, perjalanan dipercepatkan kerana bimbang tentang keadaan teman yang ditinggalkan di sana semalam. Sampai di Labuche teman yang ditinggalkan tersenyum menyambut kepulangan kami. Setelah minum kami meneruskan perjalanan turun ke Pherichi 4242 meter. Pherichi terletak di lembah dan menurut guide, di sini agak hangat berbanding Labuche, tetapi dalam perjalanan, teman kami merasa penat dan guide mencadangkan kami menyewa seekor kuda untuk membawanya turun.



Sewa seekor kuda USD 50.
        Kami sampai di Pheriche kurang lebih pada pukul 3:00 petang. Pherichi sebuah kampung kecil tetapi terdapat klinik di sini dan ini adalah klinik paling tinggi di trek EBC. 

Onway ke Pheriche




Pheriche


        Malamnya, teman kami mengadu tidak dapat bernafas dengan normal, menurutnya dia merasa penat bila bernafas dan dia tidak boleh tidur. Kami mengambil keputusan untuk menghantar dia ke klinik dan doctor menahan dia di klinik ini untuk memberi gas bantuan pernafasan. Keesokan paginya kami diterbangkan dengan helikopter ke Kathmandu untuk memberi rawatan segera kepada teman kami.




Nota dan cadangan:
1- Visa di perlukan untuk ke Nepal (visa-upon arrival) dicadangkan membawa gambar saiz pasport.
2- Permit dan pendaftaran taman negara diperlukan untuk trek ini.
3- 6.2 k USD dikenakan untuk sebuah helly rescue.
4- Bayaran semalam tinggal di klinik Pheriche kurang lebih 500 USD
5- Setelah sampai di Kathmandu, dimasukan ke hospital swasta di sana, bayaran untuk hospital mengikut bilangan hari kurang lebih 400 USD (1 hari).

Jadi, saya mencadangkan jika anda ingin ke sini:
1- Persediaan awal seperti latihan mental dan fizikal amat perlu untuk ke EBC. 
2- Bawa makanan ringan seperti coklat untuk menambah tenaga.
3- Persediaan pakaian sejuk untuk tidur dan mendaki.
4- Kasut yang sesuai, peralatan seperti tongkat amatlah disyorkan.
5- Ubat-ubatan,seperti panadol, minyak angin, altitude mountain sickness tablet adalah digalakan dibawa bersama.
6- Minum banyak air masak dan mangambil banyak garlic soup amat baik sepanjang trekking untuk mengurangkan AMS.
7- Bawa Spec hitam, Sun block, lips gloss. topi dan lain-lain.
8- Enjoy the trek.