Selasa, 5 April 2016

Danau Kaco.

     
         Danau Kaco ataupun Tasik Kaca, saya ketahui mengenainya melalui facebook dan internet. Kedudukannya yang tersembunyi di tengah hutan Taman Nasional Kerinci Seblat daerah Jambi di Pulau Sumatera diumpamakan seperti permata di taman negara warisan dunia yang diiktiraf UNESCO ini. Saya selitkan jadual ke tasik ini dalam xpdc saya dan teman-teman menjejakkan kaki ke Gunung Kerinci pada awal March 2016. Perjalanan kami ke sini bermula dari lapangan terbang di Padang dengan menaiki kenderaan 4 roda yang disewa hingga ke Keresek Tuo. Perjalanan mengambil masa sekitar 8 jam dan di Keresek Tuo kami bermalam di Homestay Family.


        Hari kedua di Keresek Tuo, kami bergerak ke Danau Kaco selepas sarapan sekitar jam 6:00 pagi. Di pertengahan jalan kami singgah di bandar untuk membeli bekalan makan tengahari. Perjalanan ke tasik khazanah alam ini agak jauh dan memakan masa kerana jalinan jalanraya yang agak kurang memuaskan.

Menunggu bekalan makanan siap dibungkus.
       Perjalanan ke kampung terakhir Danau Kaco mengambil masa kurang lebih 3 jam dari Keresek Tuo. Kami menempuhi beberapa bandar seperti Sungai Penuh dan dari sini ke Desa Lempur mengambil masa 2 jam. Kami sampai di Desa Lempur, iaitu desa terakhir yang boleh dilalui kenderaan sekitar jam 9:30 pagi. Dari Desa Lempur kami trekking kurang lebih 2 jam 30 minit untuk ke Danau Kaco.


         Trekking dari Desa Lempur ke Danau Kaco agak landai namun sesekali trek mendaki sedikit tinggi memandangkan kedudukan danau ini terletak di ketinggian 1289 mdpl. Trek membelah hutan sederhana tebal sehingga sampai di rumpun buluh.






          Setelah trekking hampir 2 jam 30 minit, meniti buluh dan batang pokok tumbang menyeberangi sungai, akhirnya kami sampai di Danau Kaco yang memukau mata setiap dari kami yang pertama kali melihat hasil indah ciptaan YANG MAHA PENCIPTA. Keluasan Danau Kaco sekitar 90 meter persegi dan kedalamannya masih mistery.




          Ada cerita di sebalik kebiruan dan kejernihan air Danau Kaco yang masih menjadi kepercayaan warga tempatan. Di dasar tasik ini tersimpan intan dan permata. Kisah ini bermula di suatu masa dahulu ada seorang puteri yang bernama Puteri Napal Melintang yang berwajah jelita lalu menjadi rebutan pengiran dan pemuda setempat untuk memperisterikannya. Pengiran-pengiran tersebut telah menghantar intan dan berlian sebagai ikatan janji kepada ayahnya iaitu Raja Gagak semasa melamar. Disebabkan wajahnya yang jelita, Puteri Napal Melintang bukan sahaja menawan hati pengiran-pengiran setempat, malah telah disukai oleh bapanya sendiri lalu membawanya lari. Di Danau Kaco inilah Raja Gagak telah menanam intan dan berlian hantaran anaknya dan ada cerita mengatakan Raja Gagak juga tertimbus di danau ini apabila tebing yang digali runtuh.






          Keistimewaan Danau Kaco tidak berakhir di siang hari sahaja. Pancaran cahaya di permukaan danau di waktu malam amat jelas terutama di waktu bulan purnama ataupun bulan penuh. Pancaran cahaya yang jelas dari danau di waktu malam seperti lampu yang diarahkan ke langit. Kami mandi di airnya yang jernih dan sejuk ini kurang lebih 2 jam sebelum sepakat meninggalkan danau untuk kembali ke dunia kami. Kami tinggalkan Danau Kaco dengan ceritanya yang tersendiri dengan hati yang puas.




           Trekking pulang dari Danau Kaco hanya mengambil masa 2 jam. Dalam perjalanan pulang ke Keresek Tuo, kami singgah di gerai durian di sisi jalan berhadapan Danau Kerinci untuk merasai durian Sumatera. Kami sampai di Homestay Family di Keresek Tuo sekitar jam 8:00 malam.



         Untuk sampai ke Danau Kaco memang agak sukar kepada mengujung yang tidak biasa trekking memandangkan tiada kenderaan yang boleh dinaiki hingga ke dunia tersembunyi ini. Namun perit jerih menapak ke sini berbaloi bila kita dapat menyaksikan dan merasai sendiri kebiruan dan kedinginan airnya. Terima Kasih ALLAH.

Nota:
1- Permit masuk ke Danau Kaco adalah IDR 150 ribu untuk hari bekerja dan IDR 225 ribu untuk sabtu / ahad dan cuti umum.
2- Cadangan guide adalah Yuda Kharsana Jelajah Kerinci di facebook.




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalam.. trek menuju danau kaco jelas dan tdk mengelirukan ka?

Jurimahmohdariffin berkata...

Wsalam. maaf kerana lambat menjawap. trek ke danau kaco jelas dan di awal perjalanan trek masih boleh dilalui motosikal. setelah trekking agak ke dalam hutan trek mungkin sedikit mengelirukan jika pergi tanpa penunjuk arah kerana terdapat simpang yang digunakan oleh penduduk kampung menuju tujuan tertentu ke hutan.