Jumaat, 12 Mei 2017

Puncak Da Feng Gunung Siguniang

       "Jangan kata anda telah mendaki Gunung Siguniang sekiranya anda masih belum menjejakkan kaki di keempat-empat puncak Gunung Siguniang", begitulah antara kata-kata penduduk tempatan mengenai Gunung Siguniang. Four Sister mountain atau gunung Siguniang ini berada 220 kilometer di barat Chengdu. Bersempadan Tibet dan terletak di antara daerah Rilong, Xiajin County dan Wenchuan County. Keistimewaan gunung yang menjadi antara gunung "feveret" pendaki serata dunia ini adalah kerana gunung ini dikelilingi pemandangan indah di empat musim yang mewarnai jalurnya.


         Saya bersama empat teman yang diketuai oleh Shaheir ke puncak paling rendah di gunung ini pada akhir April 2017. Kami sampai di Chengdu lewat malam dan bermalan di Hello Chengdu Guest Hostel di bandar Chengdu. Keesokan paginya kami ke Rilong iaitu bandar kecil di pintu masuk Taman Negara Siguniang. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di Masjid Besar Chengdu atau Masjid Huangcheng untuk membeli sedikit makanan tambahan. Setelah melalui perjalanan sekitar 4 jam, kami sampai di Rilong pada pukul 4:00 petang. Di Relong kami menginap di Riyue Hostel atau Sun and Moon Guest House.


        Rilong bandar kecil dengan ketinggian 3200 mdpl menyebabkan saya sedikit pening setibanya di sana. Berbeza dengan Chengdu yang berketinggian 500 mdpl, ketinggian secara mendadak setelah menaiki kenderaan selama 4 jam sedikit sebanyak mengundang AMS pada saya. Petang itu setelah "check in" bilik, kami bersiar-siar di pekan Rilong untuk menserasikan diri dan Shaheir membawa kami trekking sekitar 1 jam mendaki bukit di hadapan guest house kami sebagai acclamatize.


        Keesokan paginya kami ke Changping Valley untuk acclamatize. Di sini kami trekking sekitar 15 kilometer pergi dan pulang dengan ketinggian 3500 mdpl. Setelah pulang kami cuma berehat dan membuat persediaan mendaki keesokan pagi.


       Menurut guide, memandangkan esok adalah cuti panjang di China kerana cuti hari buruh dan hujung minggu, Base Camp Dafeng telah penuh dan kami dicadangkan menginap di khemah. Kami yang keberatan bermalam di khemah kerana cuaca yang sejuk dicadangkan bermalam Tea House yang terletak di pertengahan trek ke Base Camp Dafeng. Kebiasaanya pendaki gunung akan mendaki dari Rilong terus ke base camp untuk bermalam dan di hari kedua mereka akan "summit attact" awal pagi dan terus turun dan pulang. Shaheir selaku ketua kumpulan menyusun semula jadual perjalanan, bersetuju bermalam di Tea House dan meneruskan ke base camp di hari berikutnya.


     Kami memulakan trekking setelah mengambil permit mendaki di pejabat informasi Gunung Siguniang. Kami mula trekking pada jam 9:50 pagi, menyeberangi jambatan kayu di hadapan guest house tempat kami menginap di temani seorang guide dan 2 ekor kuda sebagai porter. Dipermulaan trek agak menegak sekitar 45 darjah. Cuaca yang baik dan cerah memberi  kelebihan kepada kami di hari pertama mendaki ini. Trek terus menegak sehingga kami sampai di satu kawasan lapang dan rata di mana terdapat sebuah kuil.






         Kami berehat seketika di sini. Terdapat ramai pelancong di atas bukit ini bersiar-siar dengan menunggang kuda. Pendaki juga boleh ke Base Camp Dafeng menunggang kuda dengan bayaran 300 yuan sehala. Perkhidmatan kuda mudah dan banyak di pergunungan ini dan ia merupakan sumber pendapatan bagi setengah penduduk tempatan. Trekking dari Rilong ke base camp mengambil masa sekitar 8 hingga 9 jam secara normal dan mungkin juga lebih bergantung kepada tahap keupayaan seseorang pendaki. Pada saya, bermalam di Tea House adalah keputusan yang baik untuk acclamatizekan diri tambahan pula ketinggian Base Camp Dafeng 4300 mdpl yang agak tinggi akan mengundang AMS pada saya. Kami meneruskan trekking secara santai ke Tea House setelah berehat sekitar 30 minit dan trek seterusnya agak mendatar tetapi jauh.





        Kami sampai di Tea House yang berketinggian 3600 mdpl sekitar jam 2:50 petang setelah 5 jam trekking. Kerana kepenatan mendaki di tempat yang tinggi, kami meminta Shaheir menambah seorang lagi porter yang boleh membawa beg galas kecil kami. Setelah berbincang, Shaheir mengatakan seorang lagi porter akan sampai esok pagi di Tea House dan akan menyertai kami hingga ke puncak dan sepanjang hari berikutnya sehingga kembali pulang ke Rilong. Setelah "check in" bilik, makan dan berehat, petang itu kami sekali lagi membuat sedikit latihan mendaki bukit di belakang Tea House tempat kami menginap. Setelah mendaki sekitar 20 minit, salji turun agak lebat dan kami berpatah balik ke Tea House.



       Keesokan paginya setelah sarapan kami meneruskan trekking ke Base Camp Dafeng pada jam 9:00 pagi. Trekking hari ini juga agak mudah kerana cuaca baik dan cerah. Kami berkongsi trek bersama kuda-kuda tunggangan yang disewa untuk membawa pendaki turun ke Rilong.





      Treeking menuju ke Base Camp Dafeng sememangnya mengujakan. Pemandangan indah sepanjang trek amat memukau mata. Ramai pendaki bergerak naik dan turun secara santai. Ramai yang duduk menyaksikan panorama indah ini biar pun bersendirian mahu pun berteman atau pun berkumpulan. Kami juga melakukan perkara yang sama sambil merakam gambar dan bertegur sapa dengan pendaki yang berselisih turun seperti adat orang mendaki.





       Saya sampai di Base Camp Dafeng sekitar jam 2:00 petang. Kebanyakan pendaki telah turun dan bilik cabin banyak yang kosong. Hanya beberapa buah cabin sahaja yang disewa pendaki tempatan. Terdapat kawasan khemah di luar pagar kawasan cabin dan beberapa khemah pendaki didirikan di sana. Sebuah bilik cabin boleh memuatkan 6 hingga 8 orang. Terdapat tempat memasak dan tandas kongsi terletak tidak berapa jauh dari kawasan cabin. Petang itu kami sekali lagi membuat latihan dengan mendaki ke tempat yang tinggi di belakang cabin selama 1 jam. Turun dari membuat latihan ringkas, kami berehat dan ramai pendaki menunggu matahari terbenam dari kawasan setinggi 4300 mdpl ini.






     Keesokan paginya kami memulakan "summit attact" pada jam 4:15 pagi. Kedinginan subuh mencengkam hingga ke tulang hitam dan setelah semua bersedia, kami melangkah membelah kegelapan pagi menggunakan "head lamp" dan ditemani 2 orang guide. Ramai pendaki memulakan "summit attact" pada masa ini.






       Menurut cerita orang tempatan, Gunung Siguniang berasal dari kisah tentang 4 orang saudara perempuan anak Dewa Gunung bernama Sigela. Dewa Sigela mempunyai jiran bernama Dewa Heimo yang berniat memperisterikan keempat-empat puteri Dewa Sigela namun beliau menolak dan Dewa Heimo telah membunuh Dewa Sigela. Setelah bapa mereka dibunuh, keempat-empat puteri ini telah melarikan diri di waktu malam ketika salji turun dengan lebatnya. Mereka telah melarikan diri sehingga sampai ke kawasan Rilongguan di Wilayah Xiaojin dan dibantu oleh penduduk tempatan. Sebagai membalas budi penduduk tempatan, empat gadis ini telah membantu penduduk tempatan bercucuk tanam dan menternak lembu juga kambing sehingga penduduk tempatan mampu hidup selesa hasil pertolongan adik beradik ini. Disebabkan bekerja terlalu kuat keempat gadis ini jatuh sakit dan meninggal dunia. Penduduk tempatan mengkebumikan mereka di dalam timbunan salji dan makam mereka semakin hari semakin meninggi diselaputi salji sehingga membentuk sebuah gunung yang mempunyai empat puncak.




       Saya sampai di Puncak Da Feng Gunung Siguniang pada pukul 9:00 pagi. Dari tempat setinggi 5025 mdpl ini saya melihat puncak-puncak putih diselaputi salji. Berada di sini saya seolah-olah berada di dunia khayalan. Pemandangan hanya boleh diceritakan di dalam gambar. Panorama ini sungguh mempesonakan dan memukau pancaindera kami. Kami juga melihat puncak Er Feng berdiri kukuh di hadapan kami dengan jelas.




      Setelah berehat dan merakam gambar kenangan, kami mula turun pada jam 9:30 pagi. Perjalanan turun lebih mencabar daripada mendaki kerana jalur agak licin dan curam. Pendaki perlu memakai "crampon" jika mendaki gunung ini pada musim salji. Sekali sekala kami turun secara meluncur di tempat yang selamat atas jagaan guide.



       Gunung Siguniang mempunyai empat puncak iaitu Puncak Da Feng 5025 mdpl, Puncak Er Feng 5276 mdpl, Puncak San Feng 5355 mdpl dan puncak tertinggi iaitu Puncak Yaomei Feng 6250 mdpl. Puncak Yaomei Feng juga dikenali sebagai "Queen of Sichuan Peaks". Kami sampai semula di Base Camp Dafeng sekitar jam 1:00 tengahari.



      Setelah sampai di cabin, kami berehat dan bercerita mengenai kepuasan kami sampai ke puncak sehingga akhirnya merancang pulang dari base camp ke Rilong dengan menunggang kuda. Shaheir selaku ketua kumpulan bersetuju dan meminta guide mencari kuda untuk disewa. Menurut guide kuda akan sampai sekitar 2 jam lagi dan masa ini cukup untuk kami memasak maggi dan mengemas barang. Pada pukul 3:15 petang kami kembali ke Rilong dengan menunggang kuda dan bayaran seekor kuda tunggangan adalah 300 yuan seorang. Pada pukul 4:05 petang kami sampai di Tea House tempat kami menginap semalam. Kami berehat di sini sebentar dan meneruskan menunggang kuda turun ke bawah pada pukul 4:30 petang.




        Setelah menunggang sekitar sejam kami sekali lagi berhenti rehat di atas tebing tinggi yang lapang. Cuaca petang itu amat baik, cerah dan berudara nyaman. Kami berbual-bual dengan pemilik kuda dan Shaheir sebagai ketua kumpulan membayar harga menunggang kuda setiap orang setelah tawar menawar sedikit namun tidak berjaya. Setelah membayar harga kuda tunggangan, pemilik kuda terus membawa pulang kuda dan kami mengikut guide turun mengikut jalan pintas ke bawah menuju Riyue Hostel. Pada awalnya kami menyangka akan turun di hadapan hostel dengan menunggang kuda tetapi menurut guide kuda hanya menghantar sehingga di kawasan atas tebing sahaja. Saya dan teman-teman meneruskan berjalan kaki menuruni tebing dengan di temani guide sambil bercerita dan ketawa-ketawa sahaja. Setelah menuruni tebing sekitar 30 minit secara santai kami sampai di seberang sungai hadapan hostel tempat kami menginap.


      Saya amat bersyukur sampai ke Puncak Da Feng yang saya anggap agak sukar kerana masalah AMS dan kesejukkan. Perjalanan ke puncak ini mewarnai carta pergunungan saya dan saya berharap akan ke puncak lain lagi jika ada rezeki. Terima kasih ALLAH.

Itinerary:
Day 1
22:30 - Sampai Chengdu 500 mdpl.
00:30 - "Check in" di Hello Chengdu Hostel.
Day 2
08:00 - Sarapan.
09:30 - Berangkat ke Rilong.
10:00 - Singgah di Masjid Huangcheng, makan dan beli barang.
11:30 - Meneruskan perjalanan ke Rilong
16:00 - Sampai Rilong 3200 mdpl. "Check in" Riyue Hostel.
17:30 - Acclamatize.
18:30 - Aktivity bebas.
Day 3
08:00 - Sarapan
09:00 - Menaiki bas ke Changping Valley 3500 mdpl untuk bersiar sambil acclamatize.
16:00 - Kembali ke Riyue Hostel.
17:00 - Aktivity bebas.
Day 4
08:00 - Sarapan
09:50 - Mula trekking ke Tea Guest House.
14:50 - Sampai Tea Guest House 3600 mdpl
17:30 - Latihan acclamatize.
17:50 - Patah pulang kerana salji lebat.
18:00 - Aktivity bebas.
Day 5
08:00 - Sarapan.
09:00 - Mula trekking ke Base Camp Dafeng.
14:00 - Sampai Base Camp Dafeng 4300 mdpl.
17:30 - Latihan acclamatize
18:30 - Aktivity bebas
Day 6
04:15 - Mula "summit attact".
09:00 - Sampai puncak Da Feng 5025 mdpl.
09:30 - Mula turun ke Base Camp Dafeng.
13:00 - Sampai Base Camp Dafeng.
15:15 - Mula turun ke Rilong dengan menunggang kuda.
17:30 - Sampai tempat terakhir  menunggang kuda, berehat sebentar.
18:00 - Meneruskan perjalanan turun menuruni tebing menuju Riyue Hostel.
18:30 - Sampai Riyue Hostel.
Day 7
09:00 - Berangkat pulang ke Chengdu dan singgah di Wolong Panda.
21:00 - Sampai di Hello Chengdu Hostel.
Day 8
Bersiar di Chengdu.
Day 9
Berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Nota:
1 - Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk ke China.
2 - Permit mendaki 150 yuan seorang.
3 - Porter merangkumi guide 200 yuan sehari.
4 - Bawa peralatan yang cukup dan lengkap terutama jika mendaki di musim salji.
5 - Ubat-ubatan, makanan tambahan tenaga. coklat dan minum air dengan kuantity yang banyak.
6 - Alat-alat mendaki seperti crampon, stick, gaiters dan sebagainya.
7 - Tambang bas ke Changping Valley 90 yuan seorang pergi pulang.
8 - Ticket melawat panda di Wolong 90 yuan seorang.
9 - Contact:
a) Deeno- +6 0126294083
b) Muhammad Ilham +6 0193149766
c) Shaheir +6 0123788815


4 ulasan:

epi berkata...

Salam, team saya bercadang untuk ke sini on November this years...

Jurimah Ariffin berkata...

wow..semoga berjaya sampai ke puncak dan pulang dengan selamat ya.

fiza berkata...

SubhanAllah...cantiknya scenery...dan saya kagumnya dengan kecergasan puan.. Mcm mana dpt stamina yg baik ya...kalau kita x selalu mendaki..hanya joging sahaja sebagai persedian..cukup x untuk memulakan sesuatu pendakian tu..?

Jurimah Ariffin berkata...

alhamdulillah..kesihatan tu rekzi dari Allah. saya mendaki perlahan-lahan sahaja. asalkan ada buat latihan keluarkan peluh setiap minggu, pada saya sudah mencukupi. mulalah dengan gunung-gunung yang rendah dan mudah dahulu. gunung ini memang cantik, cuba lah mendaki kesana.