Sabtu, 30 September 2017

Gunung Slamet via jalur Bambangan



       Melengkapkan trip 'Triple S', saya meneruskan perjalanan ke Purwokerto setelah mendaki puncak bonus iaitu Gunung Prau di Dieng. Dari Base Camp Patak Banteng, kami menaiki bas tempatan ke Terminal Bas Wonosobo dan kemudian meneruskan perjalanan ke Purwokerto dengan menaiki bas ekspres pada jam 6:00 petang. Kami sampai di Purwokerto pada jam 8:30 malam dan terus mengambil "grabcar" ke homestay. Teman kami yang sering mendaki Gunung Slamet memberitahu kami ada 3 orang pendaki juga ingin ke base camp Gunung Slamet dan mencadangkan kami bergabung untuk menyewa kenderaan ke base camp supaya lebih jimat. Keesokan paginya pada jam 7:00 pagi, kami berlima berkongsi kenderaan menuju ke Base Camp Bambangan.



       Kami sampai di Base Camp Bambangan pada jam 8:30 pagi. Setelah melaporkan diri dan membuat pembayaran permit mendaki, kami mengemaskan peralatan dan sebelum memulakan pendakian, kami bersarapan di gerai makan di hadapan Pos pendakian. Ditemani seorang teman yang sering mendaki ke Gunung Slamet, kami berlima yang baru berkenalan memulakan pendakian pada jam 9:15 pagi.


     Irfan yang sering ke gunung ini, memandu kami menyusuri jalur di pinggir kebun sayuran penduduk desa. Menurutnya, jalur di pinggir kebun lebih singkat dan redup berbanding jalur asli dan kedua jalur ini akan bertemu di Pos Bayangan. Kami sampai di Pos Bayangan pada jam 9:45 pagi dan setelah berehat sebentar kami meneruskan pendakian ke Pos 1 dan sampai di sana pada jam 11:15 pagi. Terdapat gerai jualan minuman dan makanan di Pos 1 ini.



 

       Kami kemudiannya meneruskan pendakian ke Pos 2. Target kami pada hari itu adalah bermalam di Pos 7, manakala tiga orang kenalan baru kami bercadang bermalam di Pos 5. Kami sampai di Pos 2 pada jam 12:15 tengahari. Kami berehat dan makan di Pos 2. Di sini juga terdapat ramai peniaga menjual makanan dan minuman.



     Kami meneruskan pendakian ke Pos 3 pada jam 1:00 petang dan sampai di Pos 3 pada jam 1:45 petang. Tanpa berehat kami meneruskan pendakian ke Pos 4 dan sampai di sana pada jam 2:30 petang.


       Setelah berehat sebentar, kami menuju ke Pos 5 dan sampai di sana pada jam 3:00 petang. Di Pos 5 juga terdapat gerai jualan. Ramai pendaki bermalam di Pos 5. Untuk memudahkan perjalanan ke puncak, saya, Man dan Irfan memilih untuk bermalam di Pos 7. Kami berehat sebentar di Pos 5 sebelum meneruskan pendakian ke Pos 6 dan sampai di sana pada jam 3:30 petang.

Pos 5
       Dari Pos 6 ke Pos 7, kami melalui kawasan pokok yang tidak berdaun seakan-akan sudah mati. Jalur di kawasan ini berdebu dan agak licin namun pemandangan agak menarik di mata saya. Kami sampai di Pos 7 pada jam 4:10 petang.




     Pos 7 tidak mempunyai kawasan rata yang luas. Kawasan ratanya bertingkat-tingkat di celah-celah pokok untuk mendirikan khemah dan pendaki harus mencari kawasan yang sesuai mengikut sais khemah. Kami bertiga bermalam di Pos 7. Setelah makan malam, kami berehat dan tidur awal. Kami meneruskan pendakian ke puncak keesokkan paginya pada jam 4:00 pagi. Menuju ke Pos 8, jalur agak menegak dan kami mengambil masa sekitar 20 minit untuk sampai ke sana. Kami sampai di Pos 9 pada jam 5:00 pagi. Dari Pos 9 ke puncak, kami melalui kawasan terbuka.



     Cabaran dan kesabaran mendaki Gunung Slamet diuji ketika mendaki dari Pos 9 ke puncak. Jalur batu longgar, berdebu dan agak licin ini sedikit sebanyak melambatkan dan melemahkan semangat untuk ke puncak. Namun jika pendaki berpaling ke belakang semasa mendaki, pemandangan alam yang memukau mata akan melenyapkan rasa penat.


       Saya banyak menghabiskan masa semasa 'summit attack' dari Pos 9 ke puncak ini. Menyaksikan matahari terbit dan hamparan awan yang putih seperti kapas memang satu pemandangan yang paling saya suka jika mendaki gunung. Kebanyakan pendaki juga seperti saya. Ramai yang duduk-duduk dan enggan meneruskan pendakian ke puncak seolah-olah bimbang pemandangan ini akan berubah rupa jika kami terus membelakangkannya.





      Saya sampai  di puncak Gunung Slamet 3428 mdpl pada jam 06:45 pagi. Angin bertiup kencang seperti berdebar menyambut kedatangan kami. Saya rasa seolah-olah seorang 'champion' berdiri di puncak paling tinggi di Jawa Tengah ini walaupun saya bukanlah pendaki pertama tiba di puncak pagi itu. Melihat puncak-puncak lain seperti Sindoro dan Sumbing, Merbabu dan Merapi yang timbul di celah-celah awan sungguh melekakan. Mereka pasti tersenyum melihat pendaki kerdil di puncak paling tinggi di antara mereka yang merasa puas dan syukur dengan pemandangan indah ciptaan Maha Pencipta.


 
     Tidak lengkap aktivity di puncak tanpa sesi photografi. Kebanyakan pendaki merakam gambar kemenangan bersama teman perjuangan setelah berjaya menawan puncak tertinggi Jawa Tengah ini dengan berbagai gaya dan aksi. Dari arah mana pun alat perakam gambar dihalakan, image gambar pasti mempesonakan.




    Dari puncak Gunung Slamet, saya melihat dengan jelas kawah gunung yang masih aktif. Terdapat jalur menuju ke kawah dan ramai pendaki menuju ke sana setelah berehat agak lama di puncak. Saya tidak menyertai mereka ke sana kerana keletihan dan masa yang agak terhad untuk turun dan pulang ke Yokyakarta petang itu.




      Kami kemudian meneruskan perjalanan turun pada jam 7:30 pagi dan sampai di tapak khemah di Pos 7 pada jam 8:30 pagi. Setelah sarapan ala kadar kami mengemas barang dan meneruskan perjalanan turun ke base camp pada jam 9:55 pagi. Kami sampai di Base Camp Bambangan pada jam 12:35 tengahari dan setelah berehat sebentar di base camp, kami menaiki van menuju ke bandar Purwokerto. Kami kemudian meneruskan perjalanan pulang ke Yogyakarta dengan menaiki keretapi pada jam 5:30 petang dan sampai di Yogyakarta pada jam 8:30 malam. Selesai mendaki Gunung Slamet, maka lengkaplah trip "Triple S" yang saya rancang bersama seorang teman Indonesia. Terima kasih Allah kerana dengan izinNYA saya dapat melihat alam yang indah ini.

Itinerary:
Gunung Slamet dari jalur Bambangan
Hari 1:
07:00- Menaiki van dari Purwokerto menuju Base Camp Bambangan.
08:30- Sampai Base Camp Bambangan, lapor diri dan bayar permit pendakian gunung.
09:15- Mula mendaki.
11:15- Sampai Pos 1.
12:15- Pos 2, berehat dan makan.
13:00- Mula mendaki ke Pos 3.
13:45- Sampai Pos 3.
14:30- Sampai Pos 4.
15:00- Sampai Pos 5.
15;30 -Sampai Pos 6.
16:10- Sampai Pos 7, dirikan khemah dan bermalam.
Hari 2:
04:00- Mula mendaki ke Pos 8.
04:20 -Sampai Pos 8.
05:00- Sampai Pos 9.
06:45- Sampai Puncak Gunung Slamet 3428 mdpl.
07:30- Mula turun ke Pos 7 (tapak khemah).
08:30- Sampai Pos 7, sarapan dan bersiap.
09:55- Turun ke base camp.
12:35- Sampai Base Camp Bambangan.
14:00- Menaiki van menuju bandar Purwokerto.
17:30- Menaiki keretapi menuju Yokyakarta.
20:30- Sampai bandar Yokyakarta.

Nota:
1- Bas tempatan dari bandar Dieng ke Terminal Bas Wonosobo Rp 20 ribu seorang.
2- Tambang bas dari Wonosobo ke Purwokerto Rp 30 ribu seorang.
3- Van dari Purwokerto  ke Base Camp Bambangan Rp300 ribu sebuah.
4- Permit mendaki Gunung Slamet Rp 20 ribu seorang.
5- Ticket keretapi dari Purwokerto ke Yokyakarta Rp 150 ribu seorang (kelas ekonomi).
6- Contact van dari bandar Purwokerto - Base camp Bambangan - Purwokerto (Rizam +6285847135450).
7- Info Base Camp Bambangan dan guide (+6281391329999 / +06285726235567 /  +6285747777192 / +6285726000335).



2 ulasan:

Nizam berkata...

Assalam,

saya perlukan contact guide untuk ke SLAMET ni. bole x u share guide contact? tq in advance

Jurimahmohdariffin berkata...

Wsalam..
Anda boleh hubungi dwi tel: 087839230300 atau email 085727189769@gmail.com