Khamis, 19 April 2018

Mount Pedro atau Gunung Piduruthalagala




Selama ini saya menyangka puncak tertinggi Negara Thailand merupakan puncak paling mudah ditawan. Doi Ithanon iaitu gunung tertinggi Negara Thailand cuma memerlukan masa trekking sekitar 20 minit dari tapak pakir untuk sampai di titik paling tinggi negara gajah putih itu. Namun Mount Pedro atau Gunung Piduruthalagala yang merupakan puncak tertinggi Negara Sri lanka ini lagi mudah untuk digapai. Saya dan 6 orang teman ke puncak gunung ini pada awal April 2018 dalam perjalanan kami di Sri Lanka. Kami tiba di Nuwara Eliya dari Kandi sekitar jam 2:00 petang dan terus menjamu selera di Indian Summer Restoran. Restoran yang terletak di hadapan Tasik Gregory ini mempunyai sijil halal.


Selesai menjamu selera, kami menaiki van menuju ke Gunung Piduruthalagala yang mengambil masa sekitar 10 minit untuk ke kaki gunung melalui jalan mini tar. Sampai di pintu masuk, kami melaporkan diri di pondok tentera yang mengawal gunung ini.

Setelah melaporkan diri, kami meneruskan perjalanan ke puncak gunung ini dengan menaiki van. Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit dan berjarak sekitar 7 kilometer. Sepanjang perjalanan ke puncak kami menyaksikan pemandangan hutan dan pokok bongsai. Kami melalui jalan yang berbelok-belok namun agak bagus dan selesa.






Sampai di puncak Gunung Piduruthalagala terdapat pencawang dan kem tentera. Kami turun setelah pemandu van memberitahu tentera yang bertugas tentang kehadiran kami di puncak gunung tersebut. Gunung Piduruthalagala setinggi 2524 mdpl dan orang Inggeris menukar namanya kepada Mount Pedro bagi memudahkan mereka menyebut nama gunung tersebut.




Puncak Gunung Piduruthalagala dikawal oleh Pasukan Tentera Negara Sri Lanka. Puncak gunung ini merupakan pengkalan system komunikasi pusat angkatan tentera dan peranti komunikasi penting bagi negara Sri Lanka. Jika cuaca baik, dari puncak ini kita boleh melihat Adams Peak, gunung yang lebih popular dibandingkan dengan gunung tertinggi ini. Setelah merakam gambar, saya meminta kebenaran daripada tentera bertugas yang asyik memerhatikan pergerakkan kami ketika di sana untuk merakam gambar di tempat penanda tertinggi di gunung ini. Dia agak keberatan pada awalnya kerana gunung ini merupakan kawasan kawalan. Namun akhirnya setelah berbincang dia membenarkan dan membawa kami ke arah batu penanda tersebut. Kami mengekorinya, menaiki beberapa tingkat anak tangga, menyusuri pinggir kuil dan sekitar 2 minit kami pun sampai di titik tertinggi negara Sri Lanka.





Kami merakam gambar sekadarnya kerana tidak dibenarkan berlama-lama di kawasan tersebut. Selesai merakam gambar kami pun turun dan bergerak ke pakir untuk pulang. Perjalanan pulang lebih cepat dan kami mengambil kesempatan merakam gambar ketika van menuruni gunung di jalan mini tar yang landai ini.



Selain alasan sebagai pengkalan system komunikasi pusat angkatan tentera dan system rada negara yang dikawal pasukan tentera, Gunung Piduruthalagala tidak dibenarkan didaki kerana kehadiran Leopard atau Harimau Bintang yang berkeliaran di gunung tersebut. Ketika naik dan turun dari gunung tersebut, pelancong juga tidak dibenarkan turun dari van di pertengahan jalan untuk menjaga keselamatan pengunjung. Setelah hampir 20 minit, kami sampai di perkampungan kaki gunung di bandar Nuwara Eliya. Terima kasih ALLAH.


Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk memasuki Sri Lanka (visa USD 30 dan dipohon melalui online).
2- Tiada bayaran dikenakan untuk ke Gunung Piduruthalagala.
3- Gunung ini tidak dibenarkan mendaki.



Tiada ulasan: