Isnin, 25 Jun 2018

Gunung Arjuno via Cangar, Batu



Rancangan awal saya mendaki 4 puncak gunung di Surabaya pada pendakian kali ini tidak terlaksana kerana jadual perjalanan terpaksa disingkatkan sebab tarikh pengundian pilihanraya di Malaysia jatuh pada tarikh trip saya kali ini. Akhirnya saya mengambil keputusan mendaki ke puncak Gunung Arjuno dan Gunung Walirang. Saya sampai di International Airport Surabaya sekitar jam 22:30 malam, seorang teman telah sedia menunggu dan kami berdua meneruskan perjalanan ke kota Malang. Kami sampai di Malang sekitar jam 01:30 pagi dan menumpang tidur di rumah Sekretariat YEPE. Keesokan paginya kami bangun seawal jam 05:00 pagi dan mula packing keperluan untuk mendaki ke Gunung Arjuno dan Gunung Walirang. Jam 6:30 pagi kami berdua berangkat ke Kota Batu dengan menyewa sebuah "grab" dan sampai di Desa Sumbar Bratas, Batu sekitar jam 07:30 pagi. Sampai di sana kami menuju ke rumah seorang teman pendaki yang memperkenalkan kami kepada temannya yang menjadi "porter" dan menemani pendakian kami. Setelah melaporkan diri di Pejabat Taman Hutan Raya Raden Soerjo yang mengelolakan aktivity mendaki Gunung Arjuno dan Gunung Walirang, kami memulakan pendakian pada jam 09:30 pagi ke Kem Lembah Kembar untuk bermalam. Kami menyusuri jalan membelah desa sehingga ke kawasan perkebunan.



Kami menyusuri jalur di kawasan perkebunan ini lebih sejam sehingga sampai di kawasan pinggir hutan. Memandangkan kami memulakan pendakian agak lewat di jalur perkebunan sayur-sayuran yang terbuka ini, panas matahari agak terik.




Kemudian kami memasuki kawasan hutan dan trekking di kawasan ini agak redup. Kami berhenti seketika di beberapa kawasan rehat dan meneruskan pendakian memasuki kawasan hutan mati. Mendaki di jalur Cangar ini agak semak namun trek masih jelas kelihatan. Gunung Arjuno dan Gunung Walirang boleh didaki dari beberapa jalur antaranya dari Lawang, Tretes, Karangploso, Sumberawan dan Purwosari.





Kami seterusnya memasuki kawasan hutan lalang. Di kawasan ini agak menarik bila kami melihat asap-asap yang keluar dari hutan lalang. Asap-asap ini terhasil dari telaga-telaga belerang yang meruap. Beberapa buah telaga belerang dipayungi dengan plastik untuk menakung wap air yang terhasil sebagai air minuman di waktu kecemasan jika diperlukan.





Pendakian kami diteruskan sehingga kembali memasuki hutan. Di kawasan ini pokok-pokoknya kelihatan cantik, di petang yang cerah dan langit yang biru.





Kami akhirnya memasuki hutan pokok renek yang indah. Kawasan ini berada agak hampir dengan kawasan tapak perkhemahan kami. Kami sampai di Kem Lembah Kembar pada jam 16:30 petang setelah trekking sekitar 7 jam. Kem Lembah Kembar merupakan persimpangan antara Gunung Arjuno dan Gunung Walirang dan lembah ini diapit oleh dua gunung iaitu Gunung Kembar 1 dan Gunung Kembar 2.




Di tapak Kem Lembah Kembar, cuma khemah kami sahaja yang didirikan memandangkan kami ke sini pada hari bekerja. Kami cuma berselisih dengan 2 orang pendaki kulit putih yang ditemani penduduk tempatan dalam perjalanan turun dari Gunung Walirang semasa mendaki ke Kem Lembah Kembar ini tadi.


Petang itu setelah mendirikan khemah, kami berehat sambil menunggu matahari terbenam. Dari tapak khemah yang didirikan di kawasan lapang ini kami menyaksikan matahari indah terbenam senja itu dengan jelas.




Hari kedua kami memulakan pendakian ke Puncak Arjuno sekitar jam 04:15 pagi. Kami menyaksikan matahari terbit pagi itu dalam perjalanan menuju ke Puncak Bayangan. Puncak Arjuno terletak di belakang Puncak Bayangan. Dari Kem Lembah Kembar kami menuju ke Puncak Bayangan yang mengambil masa mendaki sekitar 3 jam lebih.





Semasa mendaki ke Puncak Bayangan, kami ternampak seekor kijang yang berkeliaran di Taman Hutan Raya Raden Soerjo ini. Mendaki ke puncak Bayangan agak melelahkan. Walaupun trek agak menegak, namun mendaki di kawasan hutan pokok pinus yang indah sedikit sebanyak mengurangkan penat.




Di puncak Bayangan terdapat batu penanda dan dari sini kami menyaksikan puncak Ogal-Agil Gunung Arjuno dengan jelas. Perjalanan dari Puncak Bayangan ke Puncak Ogal-Agil mengambil masa kurang 1 jam mendaki.



Kami sampai di Puncak Arjuno yang lebih dikenali sebagai Puncak Ogal-Agil 3339 mdpl sekitar jam 08:50 pagi. Perkara pertama yang saya lakukan bila sampai di puncak yang dipenuhi bongkah-bongkah batu besar ini adalah duduk di batu kursi. Dari puncak Ogal-Agil ini kami melihat puncak-puncak lain dengan jelas antaranya puncak Walirang, puncak Penanggungan dan puncak Gunung Semeru.




Hampir sejam berada di puncak Ogal-Agil, kami bergerak turun ke Kem Lembah Kembar pada jam 09:50 pagi. Kami sampai di tapak perkhemahan sekitar jam 13:30 petang dan khemah kami masih tiada berjiran. Setelah makan dan berehat, kami membuat persiapan mendaki Gunung Walirang petang itu.





Berkhemah di tapak perkhemahan di kem kembar sungguh aman dan selesa. Pemandangan di sini sungguh memukau panca indera saya. Jika kami mempunyai jiran untuk bermalam di sini pasti suasana perkhemahan lebih meriah namun kerana kami ke sini di hari bekerja, tenda kami cuma sendrian. Terima kasih Allah.

Itenerary
22:30- Sampai Airport Surabaya dan terus ke Kota Malang.
01:30- Sampai Kota Malang dan bermalam.
Day 1
05:00- Bangun dan mula packing keperluan mendaki gunung.
06:30- Menaiki "grab" ke Desa Sumbar Brantas, Kota Batu.
07:30- Sampai Desa Brantas, lapor diri mendaki di Pejabat Taman Hutan Raya Raden Soerjo.
09:30- Mula mendaki ke Kem Lembah Kembar.
16:30- Sampai Kem Lembah Kembar, bermalam.
Day 2
04:15- Mula mendaki ke Puncak Ogal-Agil Gunung Arjuno.
08:50- Sampai Puncak Ogal-Agil Gunung Arjuno.
09:50- Mula turun ke Kem Lembah Kembar.
13:30- Sampai Kem Lembah Kembar dan berehat.
15:45- Mula mendaki Gunung Walirang.

Nota:
1- Bayaran mendaki di Taman Hutan Raya Raden Soerjo (Gunung Arjuno dan Gunung Walirang) adalah 25 ribu rupiah sehari bagi pendaki luar manakala bagi warga tempatan pula adalah 10 ribu sehari.
2- Bayaran porter sekitar 200 ribu rupiah hingga 250 ribu rupiah sehari.
3- Contact porter: Joko (+62 823-3288-3733)

Tiada ulasan: