Jumaat, 29 Jun 2018

Gunung Welirang via Desa Sumber Brantas Batu



Saya, seorang teman dan seorang porter (Joko) mendaki Gunung Welirang ini setelah turun dari mendaki Gunung Arjuno dari Kem Lembah Kembar. Kami mendaki Gunung Arjuno dari jalur Cangar. Hari pertama, kami sampai di Kota Batu dan terus ke Desa Sumber Brantas untuk berjumpa porter yang menemani kami mendaki Gunung Arjuno dan Gunung Welirang. Kami mendaki dari jalur Cangar dan bermalam di Kem Lembah Kembar. Hari kedua, seawal pagi jam 4:15 kami memulakan pendakian ke Puncak Ogal-Agil Gunung Arjuno dan sampai semula ke tapak khemah Kem Lembah Kembar pada jam 13:30 tengahari. Setelah berehat dan makan tengahari kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Welirang pada jam 15:35 petang. Dari Kem Lembah Kembar kami mendaki ke puncak Gunung Kembar 1 dahulu untuk ke Gunung Welirang.







Dari tapak khemah kami mendaki sekitar 35 minit untuk ke puncak Gunung Kembar 1 yang berdiri di tengah Gunung Arjuno dan Gunung Welirang. Di puncak Gunung Kembar 1 kami melihat pasangannya puncak Gunung Kembar 2 dan di belakangnya pula puncak Gunung Arjuno. Puncak Gunung Welirang yang sentiasa berasap pula terletak arah bertentangan puncak Gunung Kembar 1 ini. Cuaca cerah petang itu memberi peluang kami merakam gambar di puncak Kembar 1 dengan pemandangan yang indah. Kemudian kami menuruni Gunung Kembar 1 mengikut trek bertentangan kami mendaki tadi untuk ke jalur Gunung Welirang.






Trek ke Gunung Welirang dari kaki Gunung Kembar 1 agak landai, selesa dan baik kerana ia merupakan jalur para pelombong belerang mengangkut hasil belerang ke tapak pengumpulan belerang. Kami menyusuri trek yang dibina para pelombong ini sehingga sampai di dua persimpangan iaitu simpang ke puncak dan simpang ke kawah belerang.





Kami trekking secara santai kerana petang itu cuaca cerah dan kami puas menyaksikan pemandangan indah di gunung ini. Sampai di dua persimpangan ini, kami meneruskan pendakian ke puncak. Dari persimpangan ini kami mula mendaki di trek yang agak menegak namun tidak begitu sukar. Asap dari kawah belerang di Gunung Welirang pula semakin jelas dan kami terus mendaki sehingga puncak kerana hari semakin lewat. Dari jalur terakhir ke puncak saya melihat beberapa orang pendaki yang telah berada di puncak sedang merakam gambar ketika matahari sedang terbenam.







Kami sampai di puncak Gunung Welirang 3156 mdpl sekitar jam 17:45 petang. Matahari semakin tenggelam semasa kami di puncak dan setelah merakam beberapa keping photo kenangan, kami bergerak turun pada jam 18:00 petang bertemankan cahaya lampu suluh. Kami sampai kembali di tapak khemah Lembah Kembar pada jam 19:30 malam. Kami berehat dan bermalam di sini. Hari ke tiga kami mulai turun ke Desa Sumber Brantas pada jam 07:20 pagi.



Kami sampai di Desa Sumber Brantas sekitar jam 11 :00 pagi. Kami makan di gerai makan di desa dan kemudian ke rumah Joko sebelum meminjam motosikal Joko untuk ke Wisata Air Panas Cangar. Wisata Air Panas Cangar dikatakan mengalir dari Gunung Welirang dan mandi di sini sungguh berbaloi setelah badan penat mendaki. Welirang bermaksud belerang dalam bahasa Jawa.



Dalam perjalanan pulang ke bandar Malang, kami singgah sebentar di ladang epal. Kota Batu terkenal sebagai "kota epal" kerana terdapat kebun epal yang luas di kota tersebut. Sepanjang jalan pulang ke Kota Malang terdapat banyak gerai tepi jalan yang menjual epal.





Saya berharap akan datang lagi ke Kota Batu yang ramah ini. Mungkin mendaki gunung lain di daerah ini atau datang berehat sambil mandi-manda di telaga air panasnya. Terima kasih Allah.

Itenerary:
Day1-
Dari Malang ke Kota Batu, mula mendaki dari jalur Cangar ke Kem Lembah Kembar, bermalam.
Day 2
04:14- Mendaki Gunung Arjuno.
13:30- Sampai semula ke kem Lembah Kembar.
15:45- Start mendaki ke Gunung Welirang melalui puncak Gunung Kembar 1.
16:20- Sampai puncak Kembar 1.
17:45- Sampai puncak Gunung Welirang.
18:00- Bergerak turun ke Kem Lembah Kembar.
19:30- Sampai Kem Lembah Kembar, bermalam.
Day 3
07:20- Bergerak turun ke Desa Sumbar Brantas.
11:00- Sampai Desa Sumber Brantas.
12:00- Mandi di Wisata Air Panas Cangar.
14:30- Berangkat pulang ke Kota Malang.
15:30- Melawat kebun epal.
17:00- Meneruskan perjalanan ke Kota Malang.

Nota:
1- Permit mendaki di Gunung Welirang dan Gunung Arjuno adalah 25 ribu Rupiah sehari bagi warga asing manakala warga Indonesia pula 10 ribu Rupiah sehari. (Taman Hutan Raya Raden Soerjo).
2- Contact Porter Joko +62 823-3288-3733.
3- Bayaran masuk ke Wisata Air Panas Cangar 10 ribu Rupiah seorang.


Tiada ulasan: