Rabu, 10 Oktober 2018

Salt Lake yang indah dan Konya ke Antalya


Hari ke enam kami di Turkey, kami bangun awal untuk menyaksikan sinar matahari terbit dari dalam bakul belon panas. Jadual kami di Kappadokia berakhir setelah kami selesai dengan aktivity hot ballon dan ATV. Kami pulang ke hotel semula, "checkout" dan kami menyewa sebuah kereta pandu sendiri selama 6 hari untuk melihat Turkey yang sebenar. Sebelum keluar dari bandar Gerome, kami makan tangahari dahulu sebagai ucapan "semoga bertemu lagi Gerome". Perjalanan kami bermula pada jam 2:00 petang menuju Salt Lake. Kami menyusuri jalan raya yang membelah kawasan lapang yang luas. Dari jalan raya yang diturap baik ini kami melihat gunung ganang yang tidak berpohon membentuk muka bumi Turkey. Tanah di gunung ganang itu kelihatan mempunyai "tone colour". Sesekali ia kelihatan seperti warna "gunung pelangi" bila tanahnya kelihatan perang kemerahan.




Sebenarnya Tasik Garam semula jadi ini berada di luar laluan kami. Perjalanan kami asalnya menuju ke bandar Konya. Memandangkan Tasik Garam ini terletak sekitar 2 jam memandu dari Gerome, kami menghala ke sana dahulu. Kami melalui lebuhraya 2 lorong sehala yang selesa. Perjalanan amat menyeronokkan, tambahan pula hari itu pemandangan indah dengan cuaca yang cerah dan baik. Terdapat banyak kawasan pertanian sepanjang lebuhraya. Kebetulan kami ke Turkey di akhir musim panas dan sekarang adalah musim menuai hasil pertanian. Sepanjang jalan terdapat gerai menjual buah-buahan terutama buah tembikai susu dan kekacang dan harganya juga agak murah.



Kami sampai di Salt Lake, atau Tuz Golu sekitar jam 4:00 petang. Dari tapak pakir saya melihat Tasik Garam itu putih seperti diliputi salji. Kami melalui sebuah bangunan yang menjual product garam ini untuk ke tasik tersebut. Setibanya di dalam bangunan ini, kami disapa dan dibubuh sedikit garam di tapak tangan sebagai ucapan selamat datang. Setelah menyapu garam tersebut di tangan, kami disuruh mencuci tangan di sinki yang disediakan dan acara menjual beli product garam untuk kesihatan dan kecantikkan pun bermula. Kami meloloskan diri menuju ke Tasik Garam dengan alasan akan singgah bila pulang nanti.






Tasik Garam semula jadi ini merupakan tasik kedua terbesar di Turkey dan merupakan antara Tasik Garam terbesar di dunia. Perlombongan garam di sini menghasilkan sekitar 80 peratus keperluan garam Turkey. Tasik Garam yang terbentang luas ini mempunyai kedalaman kurang 1 meter.



Saya terpukau menyaksikan pemandangan indah Tasik Garam petang itu. Air cetek seperti lantai basah dipermukaan tasik membiaskan bayang yang memukau mata hati saya. Kami merakam gambar sambil mencuci kaki di sini lebih sejam. Terdapat ramai pengunjung yang melakukan perkara yang sama seperti yang kami lakukan. Apabila melihat ke depan, saya tidak dapat melihat di mana penghujung Tasik Garam ini, ia terbentang luas saujana mata memandang.





Jam 5:50 petang kami meneruskan perjalanan ke Bandar Konya. Kami sampai di Konya sekitar jam 9:00 malam dan bermalam di sana. Keesokan paginya iaitu hari ke tujuh, kami bersarapan di Bandar Konya dan berjalan sekitar bandar yang maju ini sambil merakam gambar di Muzium Mevlana atau Muzium Maulana dan bangunan-bangunan sekitar bandar. Konya merupakan antara bandar tertua di dunia. Pada abad ke 12 dan ke 13, Bandar Konya berkembang maju sebagai ibu kota di bawah pemerintahan Dinasty Seljuk.





Bandar Konya merupakan tempat bermastautin seorang ahli sufi bernama Rumi yang mempopularkan tarian berpusing-pusing melawan arah jam sambil berzikir dan berdoa. Kami merakam gambar di Bandar Konya yang moden dan bersih. Berada di Bandar Konya seperti berada di bandar Negara Eropah. Cuaca dan bangunannya dibina seperti sebuah bandar Eropah, ditambah dengan aliran keretapi di tengah bandar yang melancarkan jalan raya di sana. Kami juga  membeli cenderahati dari beberapa kedai yang memulakan perniagaan awal pagi dan sedikit makanan sebelum meneruskan perjalanan menuju Antalya.




Kami bergerak menuju ke Antalya sekitar jam 10:00 pagi. Perjalanan dijangka mengambil masa sekitar 4 jam. Tidak banyak gambar yang dirakam dalam perjalanan ke Antalya ini kerana giliran saya pula memandu. Semasa menuju ke sana, kami melalui kawasan berbukit bukau yang bersuhu dingin dan cuaca pagi itu agak suram kerana hujan. Nasib baik jaringan jalan raya mereka bagus dan jalan raya dibina dua laluan kiri dan kanan. Cuma sesekali menjadi 3 laluan dan kami kongsi laluan tengah dengan kenderaan bertentangan secara bergilir semasa turun dan menaiki bukit. Sepanjang perjalanan masih menghidangkan pemandangan kawasan pertanian. Kami singgah di kebun Anggur, Zaitun, Oren dan Delima dalam perjalanan ini.





Kami sampai di Antalya sekitar jam 2:00 petang seperti yang dijangka dan terus menuju ke "shopping kompleks" di bandar Antalya kerana bertujuan mencari kedai farmasi. Kami makan tengahari di sana. Kemudian kami ke Duden Waterfall sekitar 17 kilometer dari shopping kompleks. Air Terjun Duden ini mengalir dari Gunung Taurus dan merupakan antara tarikan utama Antalya. Duden Waterfall, terjun dari tebing tinggi dan terus mengalir ke laut biru Mediterranean. Kami berehat di tebing tinggi ini lebih 2 jam menyaksikan keindahan ciptaan MAHA PENCIPTA.



Bandar Antalya terletak di Telok Antalya dan merupakan bandar terbesar di Pantai Barat Mediterranean. Bandar ini kelihatan klasic namun bercirikan moden. Kami kemudian ke Hadrian's Gate yang dibina oleh Maharaja Hadrian pada tahun 130 masihi. Hadrian's Gate terletak berhadapan Masjid Karakas. Suasana di sini sungguh meriah petang itu. Kami tidak berlama-lama di sini kerana kesuntukkan masa. Sedikit timbul perasaan terkilan tidak berada lama di bandar yang menarik ini memandangkan perjalanan kami masih jauh. Kami kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Kas pada jam 6:40 petang.






Perjalanan ke Bandar Kas, kami menyusuri jalanraya di atas tebing pinggir Laut Mediterranien. Jalannya berbelok-belok. Disebabkan kami memandu waktu malam, tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat. Sekali sekala kami melihat simbahan lampu neon bandar tepi laut dari atas tebing tinggi dalam perjalanan kami. Kami sampai di bandar Kas sekitar jam 9:00 malam dan kami juga bermalam di bandar tepi laut pada malam itu. Saya berharap akan ke Konya dan Antalya lagi sekiranya ada rezeki. Terima kasih ALLAH.


Nota:
1- Tiada bayaran ticket untuk ke Salt Lake (Tasik Garam). Pakir percuma.
2- Tiada bayaran untuk ke Duden Waterfall (cuma bayar pakir kereta di tempat pakir berjaga- 10 TL/ jika pakir tepi jalan percuma).


Tiada ulasan: