Sabtu, 22 September 2018

Adiyaman dan Gunung Nemrut



Tujuan utama saya dan 3 rakan ke Adiyaman ini adalah untuk melawat Gunung Nemrut. Perjalanan kami bermula lewat petang dari Kuala Lumpur ke Istanbul dan transit di Jeddah. Hari kedua kami sampai di istanbul dan bermalam di sana. Hari ke tiga kami bergerak seawal 5:45 pagi menaiki penerbangan domestic menuju Adiyaman. Kami transit di ibukota Ankara sekitar 2 jam dan sampai di Adiyaman pada jam 10:00 pagi dan terus menaiki "shuttle" menuju bandar Adiyaman. Sampai di Adiyaman kami terus mengambil pakage "Taman Negara Gunung Nemrut" dari salah sebuah "tour agensi" yang terdapat di bandar Adiyaman. Kami mengambil pakage sesi petang yang bermula jam 2:00 petang dan sementara menunggu masa lawatan kami menjamu selera di sebuah kedai makan di bandar ini.


Jam 2:00 petang lawatan kami bermula dan kami dibawa ke bandar Kahta yang berjarak sekitar 30 kilometer dari bandar Adiyaman. Kahta merupakan bandar kecil di kaki Gunung Nemrut. Tempat pertama lawatan kami adalah ke Karakus Tumulus. Dalam bahasa Turkey, Karakus Tumulus bermaksud "burung hitam" dan ia berada 12 kilometer di selatan bandar Kahta. Karakus Tumulus merupakan monument dan tapak perkuburan keluarga pemerintah Kerajaan Commagene satu masa dahulu. Ia dibina di atas bukit buatan setinggi 35 meter yang terletak di atas bukit semulajadi. Dari tapak pakir kami berjalan ke arah bukit dan terdapat monument pertama iaitu tiang setinggi 9 meter dengan ukiran batu seekor helang diatasnya.


Kami kemudian berjalan ke arah kanan di bukit ini dan terdapat dua tiang di sini. Di atas tiang setinggi 9 meter ini juga terdapat ukiran binatang, tetapi kepala patung binatang ini telah jatuh ke bawah. Berkemungkinan ia adalah patung seekor singa.



Kemudian kami meneruskan berjalan kaki mengelilingi bukit ini dan terdapat sebuah lagi tiang yang terdapat ukiran arca sepasang patung manusia. Karakus Tumulus tidak berpagar dan melawat ke sini adalah percuma. Tiada had masa untuk lawatan dan dari bukit ini kami dapat melihat tasik Artatuk yang luas.


Selesai mengelilingi bukit tempat bersemadinya keluarga Kerajaan Commagene, kami meneruskan lawatan ke Cendere Bridge atau Cendere Koprusu. Jambatan ini merupakan contoh monument senibina Rome yang megah, binaan di tengah jambatan melengkung ke atas. Jambatan ini sepanjang 120 meter, lebarnya adalah 7 meter dan tingginya adalah 30 meter. Ia melintangi Sungai Cendere yang airnya mengalir dari jurang di Lembah Kahta. Semasa kami ke sana, terdapat ramai pengunjung yang sedang berkelah dan mandi manda di bawah jambatan tersebut.







Kemudian kami ke tempat lawatan ke tiga iaitu Kahta Castle atau Istana Kahta yang terletak di atas bukit. Jalan ke Kahta Castle ini menaiki bukit yang berbelok-belok. Istana ini dibina di atas batu setinggi 350 meter dan dikelilingi tembok batu besar.





Tempat lawatan kami ke empat adalah Arsemia. Dari tapak pakir kami mendaki sedikit untuk ke atas bukit. Di sini terdapat batu yang diukir gambar 2 orang lelaki. Terdapat terowong memasuki bukit dan menurut pemandu pelancong kami, di bawah terowong itu terdapat sumber air dan ia mengalir sejauh 10 kilometer.






Tempat lawatan ke lima adalah Gunung Nemrut yang merupakan tujuan utama kami. Kebiasaannya lawatan ke Gunung Nemrut dilakukan awal pagi untuk melihat "sunrise" atau sesi petang untuk melihat "sunset". Dari tapak pakir kenderaan kami menaiki bas mini dengan bayaran 5 TL untuk ke "starting point" mendaki Gunung Nemrut.





Dari starting point di mana kami diturunkan dari mini bus, pelawat terpaksa mendaki sekitar 700 meter untuk sampai ke monument patung batu berkepala besar. Jalur mendaki dibina pelantar dan trek terjaga baik. Jalur terbuka dan jika ke sini di musim panas, pelawat dinasihatkan memakai topi atau membawa payung. Jika ke sini di waktu subuh, pelawat perlu memakai baju sejuk.






Kami sampai di teras Timur setelah mendaki sekitar 30 minit di mana terdapat patung-patung yang diukir besar. Kami berehat sebentar di sini dan merakam gambar. Jika kita ke sini waktu pagi, di sinilah kita akan menyaksikan matahari terbit. Setelah berehat sekitar 30 minit di sini kami berjalan menghala ke teres Barat. Di bahagian teres Barat trek menurun 10 meter ke bawah. Patung-patung ukiran di Timur dan Barat serupa bilangan dan wataknya.



Gunung Nemrut yang unik ini diakui sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1987. Ketinggian gunung ini adalah 2134 mdpl. Gunung ini dimiliki Kerajaan Commagene dan patung-patung ini diukir sebagai penjaga makam di gunung ini. Selain itu tempat ini merupakan tempat penyembahan dan tempat berdoa satu masa dahulu.Tentang nama Gunung Nemrut ada berkaitan  dengan Raja Nemrut dan kisah Nabi Ibrahim tidak dapat saya pastikan.




Patung-patung di teres Timur dan Barat ini terdiri dari 9 buah. Susunan patung-patung ini adalah Sang Singa di sisi tepi dari kiri. Kemudian tempat kedua dari tepi adalah  patung Sang Helang. Tempat ketiga dari kiri adalah Raja Antuoches, disebelahnya adalah patung Commagene satu-satunya patung wanita. Patung Zeus pula di tempat kelima dan Apollo pula di tempat ke enam. Tempat ketujuh adalah patung Herakles, kemudian patung Helang dan paling tepi bahagian kanan sekali lagi patung Sang Singa. Nampaknya susunan 5 patung ini diapit oleh 2 patung Helang dan Singa sebagai pengawal. Namun bahagian patung-patung ini telah berkecai dan terpisah badan dan kepala kerana gempa bumi.







Kami menyaksikan matahari terbenam di teres Barat Gunung Nemrut senja itu dan turun melalui jalur barat untuk ke perhentian mini bus. Kami sampai ke bandar Adiyaman malam itu pada jam 9:00 malam dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Cappadokia keesokkan paginya. Terima kasih ALLAH.

Nota:
1- Masa sesuai melawat Taman Negara Gunung Nemrut adalah dari bulan April hingga October. November hingga March musim salji dan patung-patung tertimbus dalam salji.
2- Harga pakage Taman Negara Gunung Nemrut adalah 75 TL seorang (kami berempat /sebuah kereta).