Isnin, 29 Februari 2016

Pulau Mataking

       Hari kedua kami di Semporna, kami menyewa sekali lagi sebuah bot untuk ke Pulau Mataking, tetapi sebelum berangkat kami membeli sedikit bekalan makanan dan buah-buahan dari kedai di Bandar Semporna. Dari tempat penginapan Dragon Inn kami menaiki bot hampir 3 jam untuk sampai ke Pulau Mataking. Dalam perjalanan ke Pulau Mataking, pemandu bot memberhentikan botnya untuk seketika di tempat pengusaha rumpai laut agar kami dapat melihat dari dekat rupa rumpai laut.

Pengusaha rumpai laut sedang memungut hasil.


 
      Sampai di Pulau Mataking, pemandu bot membawa kami ke tempat tentera bertugas di hujung pulau untuk melaporkan kedatangan kami. Kemudian barulah kami dibawa ke resort di Pulau Mataking dan penyambut tetamu mengatakan kami perlu membayar pass lawatan jika ingin ke resort sebanyak Rm 40. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak masuk.  Hanya The Reef Dive Resort sahaja resort yang ada di Pulau Mataking dan saya melihat resort berkenaan seperti resort di Pulau Kapalai dan Pulau Mabul yang kami lawati semalam. Saya ada terbaca di internet bahawa The Reef Dive Resort merupakan resort yang mewah dan harga semalam untuk seorang pelancong tidak kurang dari Rm 1000. Pemandu bot seterusnya membawa kami ke Pulau Mataking Kecil yang berdekatan dengan Pulau Mataking. Di Pulau Mataking Kecil tiada resort, jadi kami bebas mandi dan makan di pulau ini. Terdapat benteng pasir yang menghubungkan Pulau Mataking Kecil dan Pulau Mataking.









        Kami cuma mandi di persisiran pantai kerana ombak agak besar. Setelah berada di sini beberapa jam, pemandu bot membawa kami ke Pulau Timba Timba. Di pulau ini kami merasa gementar untuk mandi kerana ombaknya yang besar dan kami tidak mahir berenang walaupun dibekalkan life jacket. Airnya juga kelihatan gelap mungkin kerana pulau ini berada di atas terumbu yang timbul di tengah laut lalu menjadi pulau dan dasar lautnya sangat dalam. Tidak ada resort di Pulau Timba Timba ini.


        Disebabkan kami tidak dapat bermandi manda di Pulau Timba Timba, pemandu bot yang baik hati ini telah membawa kami ke sebuah pulau yang cantik dalam perjalanan pulang ke Semporna. Pulau Sibuan  terletak tidak berapa jauh Semporna dan karang di pulau ini sangat cantik dan banyak. Kami mandi dan snorkeling di pulau ini beberapa jam. Di pulau ini terdapat perkampungan kecil dan surau yang telah usang. Tidak terdapat resort di pulau ini. Kami membeli buah kelapa di pulau ini dengan harga Rm 1.00 sebiji dan upah memanjat dan memetik kelapa 50 sen sebiji.





Anak Dayak Laut cuba menjual kulit siput kepada kami.




       Setelah puas hati mandi manda, makan dan berehat di Pulau Sibuan, kami kembali pulang ke Dragon Inn di Semporna untuk bermalam, perjalanan pulang mengambil masa kurang lebih 30 minit. Keesokan paginya kami berangkat pulang ke Kota Kinabalu dengan menaiki bas express.





Nota:
1- Harga sebuah bot ke Pulau Mataking dari Semporna adalah Rm 450 sebuah pada tahun 2009.
2- Pulau Sibuan antara pulau yang mempunyai karang yang sangat cantik dan kepada peminat snorkling jangan abaikan pulau ini. Anda patut pergi ke sana.




Selasa, 23 Februari 2016

Pulau Kapalai, Sipadan dan Mabul.

         Pakage Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai memang diketahui umum agak mahal setanding dengan kehebatan pulau-pulau ini yang diiktiraf antara yang tercantik di dunia kerana nilai batu karang di dasar lautnya. Saya dan kawan-kawan ingin juga ke sini tetapi kami cuba menjimatkan perbelanjaan, jadi kami merancang percutian yang boleh menjimatkan. Kami ke sini pada tahun 2009 dan perjalanan bermula dari lapangan terbang Tawau. Kami bermalam di Tawau kerana saya ingin melihat wajah bandar Tawau selepas 12 tahun saya ke sini. Keesokan paginya kami menaiki pengangkutan awam iaitu van dari Tawau ke Semporna seawal 7:00 pagi dan perjalanan mengambil masa sejam setengah. Pemandu van menghantar kami terus ke chelet terapung di Semporna seperti yang saya minta. Kami bermalam di Dragon Inn untuk dua malam tiga hari.


Chelet di Dragon Inn.
         Selepas kami menyewa bilik dan tanpa membuang masa, kami menyewa sebuah bot untuk ke Pulau Kapalai. Bot yang boleh memuatkan 10 orang penumpang ini mengambil masa hampir 2 jam untuk ke Pulau Kapalai. Pulau Kapalai amat sesuai untuk aktivity snorkeling, selam laut dalam ataupun untuk berehat.



        Setelah menaiki bot hampir 2 jam, kami sampai di Pulau Kapalai. Pulau Kapalai terbina dari karang di tengah laut dan tidak terdapat pokok walaupun ia sebuah pulau. Terdapat lebih 30 buah chelet yang dibina dari kayu di atas tebing karang dan binaan cheletnya kelihatan mewah dan cantik. Sipadan - Kapalai Dive Resort ini menjaga alam sekitar dengan menggunakan semula sisa buangan sebagai baja.








       Kami cuma bergambar di resort pulau ini dan membeli sehelai t-shirt sebagai cenderamata. Terdapat sepasukan tentera di pulau ini untuk menjaga keselamatan pelancong. Kemudiannya kami meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul yang berjarak 15 minit menaiki bot.


      Saya pernah ke Pulau Sipadan pada tahun 1996, setahun sebelum kumpulan Abu Sayab melakukan kes penculikkan ke atas pelancong yang menginap di pulau itu. Pada masa itu terdapat 3 chelet di Pulau Sipadan dan kerana kes penculikkan yang mengemparkan dunia, chelet di pulau tersebut telah ditutup untuk penyelam laut dalam atas sebab-sebab keselamatan. Pulau Sipadan merupakan satu - satunya pulau di Malaysia yang terbina daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut. Khazanah alam bawah lautnya sangat bernilai sehingga tersenarai antara yang tercantik di dunia. Pulau Mabul yang terletak berdekatan Pulau Sipadan iaitu kira-kira 15 km telah menjadi tempat untuk pelancong bermalam di mana chelet yang selesa lagi mewah dibina dan terdapat 6 buah resort di Pulau Mabul.








         Di Pulau Mabul juga terdapat pasukan tentera yang menjaga keamanan dan keselamatan pelancong dan penduduk tempatan. Terdapat 2 buah kampung nelayan di Pulau Mabul iaitu Kampung Mabul dan Kampung Musu. Penduduk di Pulau Mabul melebihi 2000 orang yang kebanyakannya penghijrah dari Kepulauan Selatan Filipina, termasuk Bajau Laut dan Suluk Muslim yang hidup di dalam rumah bot dan berpindah randah. Di Pulau Mabul juga terdapat masjid dan sekolah. Pilihan penginapan yang lebih murah juga ada terdapat di sini seperti homestay dan backpacker untuk pelancong.

Anak-anak Pulau Mabul.







      Setelah berehat dan bergambar di Pulau Mabul, kami pulang Dragon Inn di Semporna untuk bermalam. Saya bercadang datang ke sini lagi tetapi bermalam di homestay ataupun di backpackers di Pulau Mabul jika ada rezeki di masa akan datang.


Nota:
1- Sebuah bilik di Dragon Inn berharga Rm 70 pada tahun 2009.
2- Sebuah bot berharga Rm 450 untuk ke Pulau Kapalai dan Pulau Mabul tahun 2009.


Sabtu, 20 Februari 2016

Via Ferrata Gunung Kinabalu.

         Gempa bumi di Sabah pada Jun 2015 telah mencatatkan sejarah hitam dalam dunia pendakian Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu merupakan gunung pertama yang saya daki dan saya lakukannya pada tahun 1996 melalui jalur biasa dari Timpohon. Menonton dokumentasi Via Ferrata di Gunung Kinabalu melahirkan hasrat untuk mencubanya dan saya bersama 7 orang teman merancang ke sana pada tahun 2009. Setelah mendapat pakage yang agak murah semasa Matta Fair dengan harga Rm 590 seorang, kami mula membuat sedikit latihan dan persediaan untuk ke sana. Hari pertama kami mula mendaki pukul 8:00 pagi dari Timpohon Gate dan bermalam di Pendant Hut. 4 orang dari kami tidak pernah mendaki Gunung Kinabalu dan mereka asyik merakam gambar sepanjang pendakian ke Laban Rata dan kebetulan pula cuaca baik pagi itu.





       Teman kami yang terakhir sampai di Laban Rata sekitar pukul 4:00 petang. Saya dan teman-teman yang lain menunggunya di dewan makan. Kami makan malam dan kemudian ke Pendant Hut, tempat kami bermalam. Di sana kami berbincang dan berlatih menggunakan harness dari pihak Mountain Torq memandangkan kami tidak pernah mendaki gunung yang menggunakan teknikal. Setelah mendapat taklimat, belajar teknik menggunakan harness dari pihak Mountain Torq, kami pun tidur kerana pendakian ke puncak akan bermula seawal 2;00 pagi. Tepat pukul  2:15 pagi kami mula mendaki dari Pendant Hut dan saya sampai di puncak sekitar pukul 6:30 pagi. Setelah mengambil sekeping gambar yang kabur dan dengan bilangan pendaki yang bertambah di puncak gunung, saya dan teman-teman bergerak turun ke Sayat-Sayat untuk memulakan Via Ferrata.





         Semasa dalam perjalanan turun ke Sayat-Sayat Hut, kami jumpa seorang teman yang dalam perjalanan ke puncak dan kami menggalakannya meneruskan pendakian ke puncak kerana pasti dia tidak boleh menyertai kami ke Via Ferrata atas sebab kelewatan. Untuk melakukan Via Ferrata kami mesti sampai di Sayat-Sayat sebelum pukul 8:00 pagi. 2 dari kami hanya menunggu di Pendant Hut kerana letih dan malas mendaki di awal pagi dalam cuaca yang sangat sejuk, seorang teman yang sampai awal di Sayat-Sayat tidak mahu menyertai kami melakukan Via Ferrata kerana gementar dan gayat manakala seorang lagi pula menarik diri kerana lututnya mulai sakit. Jadi dari 8 orang antara kami, cuma 3 orang sahaja yang meneruskan Via Ferrata. Terdapat 2 laluan Via Ferrata iaitu Walk The Torque dan Low's Peak Circuit.


          Low's Peak Circuit bermula di ketinggian 3776 mdpl dan berakhir di ketinggian 3411 mdpl. Panjang Via Ferrata Low's Peak Circuit adalah 1.2 km dan 4 hingga 6 jam diperlukan untuk melengkapkannya. Via Ferrata ini sangat mencabar dan sesuai untuk pendaki yang berjiwa kental. Satu lagi laluan Via Ferrata adalah Walk The Torque yang bermula dari ketinggian 3520 mdpl dan berakhir juga di ketinggian 3411 mdpl. Panjang Via Ferrata Walk The Torque adalah 430 meter dan anggaran masa yang diperlukan untuk menghabiskannya adalah 2 hingga 3 jam bergantung kepada jumlah bilangan pendaki sesuatu kumpulan. Kami yang kurang berpengalaman dan pertama kali mencuba hanya memilih Via Ferrata Walk The Torque. Via Ferrata Walk The Torque lebih ringkas, mudah dan amat sesuai untuk pendaki yang kurang berpengalaman mendaki gunung teknikal ataupun pendaki yang hanya ingin mencuba via ferrata.






        Via Ferrata pertama dibina di Gunung Dolomite, Italy semasa perang dunia pertama dan Via Ferrata Gunung Kinabalu merupakan via ferrata tertinggi di dunia. Sekarang lebih 1000 via ferrata terdapat di seluruh dunia.








Via Ferrata berakhir di sini.
         Kami bertiga menghabiskan via ferrata Walk The Torque ini dalam masa 1 jam. Masa yang singkat ini mungkin kerana bilangan kami yang kecil dalam kumpulan memudahkan dan mempercepatkan pergerakan. Guide mengajak kami mengulangi via ferrata Low's Peak Curcuit yang lebih panjang dan mencabar di masa akan datang selepas kami menamatkan sessi pendakian ini. Pada masa itu saya bertekad ingin mencuba pula via ferrata Lows Peak Circuit satu hari nanti. Kemudian kami terus turun ke Pendant Hut di mana teman-teman yang lain sedang menunggu kami. Setelah berehat hampir 2 jam di Pendant Hut, kami bergerak turun ke Timpohon Gate.

Bergambar Di Pendant Hut bersama guide via ferrata.





         Kami sampai di pejabat Taman Negara Gunung Kinabalu hampir pukul 5:00 petang. Dari sana kami menaiki bas ke bandar Kota Kinabalu. Walaupun seram dan sedih melihat gambar pendaki via ferrata yang terkorban semasa gempa bumi yang berlaku di Kinabalu tahun 2015, saya tetap akan mendaki via ferrata jika berpeluang kerana "mati itu pasti". Terima kasih Allah.