Gunung Ciremai, juga dikenali sebagai Cereme, Careme dan Cerme dipercayai merupakan gunung kedua paling keras selepas Gunung Raung di Pulau Jawa. Botol mineral yang bergantungan di pokok-pokok cukup membuat bulu roma saya berdiri tegak semasa mendaki gunung ini pada Februari 2009. Menurut teman yang turut sama mendaki, botol air mineral yang digantung di pokok membawa erti simbolik mengenai pantang larang membuang air kecil sembarangan di gunung ini. Gunung Ciremai 3078 mdpl ini merupakan gunung tertinggi di Jawa Barat dan di puncaknya terdapat beberapa kawah seperti Kawah Barat, Kawah Timur dan Gua Walet (kawah yang sudah mati). Terdapat 3 laluan ke puncak Gunung Ciremei iaitu jalur Linggajati, Jalur Apuy dan jalur Palutungan.
Saya bersama enam teman pendaki dari Malaysia, mendaki gunung ini dengan ditemani beberapa orang teman dari Indonesia melalui jalur Linggajati. Perjalanan kami di hari pertama tidak begitu lancar kerana hujan yang lebat. Setelah mendaki lebih 2 jam, kami terpaksa bermalam di sebuah pondok di Condong Amis 1250 mdpl. Disebabkan hujan yang lebat, kami berhenti mendaki awal, maka pada hari kedua pasti kami terpaksa mendaki lebih jauh.
|
Pondok di Condong Amis |
Hari kedua mendaki, kami mula mendaki di awal pagi iaitu sekitar pukul 2:00 pagi. Kami membawa sedikit makanan ringan kerana pasti kami terpaksa turun ke pondok ini mengikut jadual. Di antata 3 jalur ini, jalur Linggajati merupakan jalur paling sukar kerana jauh dan menegak. Tidak banyak gambar dapat dirakam sepanjang trek mendaki ini kerana kami mendaki di awal pagi yang gelap.
Dari Condong Amis kami mendaki ke Kuburan Kuda 1450 mdpl, dan seterusnya ke Pengelap 1650 mdpl. Kami berehat di sini sebentar sambil makan sedikit roti yang dibawa. Kemudian kami meneruskan pendakian ke Bapa Tere 2025 mdpl. Sampai di sini hari sudah agak cerah. Kami kemudiannya meneruskan pendakian ke Batu Lingga 2200 mdpl. Di sini saya merasa sangat letih namun terpaksa meneruskan pendakian ke Sangga Buana 2500 mdpl.
|
Sangga Buana |
Pendakian ke puncak memang memenatkan kerana jalur yang menegak dan agak licin disebatkan hujan semalam. Kami terus mendaki ke Pangasingan 2800 mdpl dan akhirnya kami sampai ke puncak Ciremei 3078 mdpl pada pukul 12 tengah hari. Ini bermakna kami mendaki selama 10 jam dari pondok Condong Amis untuk ke puncak. Suasana berkabus di puncak agak mengecewakan namun target ke puncak tertunai. Jika cuaca bagus dan cerah pasti kita dapat melihat keindahan alam ciptaan Maha Pencipta. Kami tidak lama di puncak, setelah mengambil gambar kenangan kami bergerak turun mengikut jalur yang sama kami daki.
Akhirnya saya sampai di pondok Condong Amis kurang lebih pukul 6 petang. Kami bermalam di pundok ini dan keesokan harinya kami turun dan meneruskan perjalanan ke Tasik Malaya untuk mendaki gunung Galunggung. Di sebabkan saya tidak dapat menyaksikan permandangan indah di puncak, mungkin saya akan ke sini lagi satu masa nanti. Kali kedua nanti, saya akan pastikan tidak mengikuti jalur Linggajati, mungkin dari jalur Apuy atau Palutungan yang lebih pendek dan mudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan