Selasa, 12 Disember 2017

Blue Spring Te Waihou umpama taman di dalam sungai


Jika bercuti ke Pulau Utara New Zealand, tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Hobbitan. Kampung yang dicipta dan dirawat bertahun-tahun untuk menjadi tempat pengambaran 2 filem iaitu The Lord Of The Ring dan The Hobbit yang mempengaruhi imaginasi peminat wayang abad ini. Tetapi sekiranya anda telah ke daerah ini, ada satu lagi tarikan di sekitar wilayah Hobbit ini iaitu Te Waihou Blue Spring. Te Waihou Blue Spring terletak di Selatan Waikato berhampiran Putaruru.


Kami ke sini setelah melawat Hobbiton pada akhir November 2017. Saya bersama 9 rakan menyewa sebuah van pandu sendiri semasa bercuti di pulau utara ini bagi memudahkan perjalanan kami. Kami memakirkan kenderaan di sisi jalan yang mempunyai papan tanda ke pintu masuk Te Waihou Blue Springs Walkway. Dari sini kami berjalan kaki sekitar 15 minit melalui jalan pasir dan batu kerikil.


Hampir 15 minit menyusuri jalan yang mendatar dan hutan renik, akhirnya kami berjalan seiring aliran sungai yang jernih di sebelah kanan kami. Pertama kali melihat sungai itu, saya terpegun sebentar. Airnya jernih dan rumpai yang tumbuh di dasarnya kelihatan jelas dibuai arus. Kami merakam gambar dan terus berjalan sehingga menyeberangi sebuah jambatan pendek. Dari atas jambatan ini, kejernihan air sungai lebih terserlah dan ia kelihatan berkaca-kaca.



Tanpa sedar kami terus berjalan di trek yang dibina di sisi Sungai Waihou ini. Te Waihou Blue Spring ini mengalir dari Banjaran Tinggi Mamaku. Sekitar 10 minit berjalan, kami sampai di "spot" terbaik melihat panorama Sungai Waihou. Terdapat tandas dan pelantar dibina untuk pengunjung bergambar di hentian ini.






Tidak seperti di Hobbiton yang diilham dan direka oleh manusia, Blue Spring tercipta secara semula jadi. Dia digelar Blue Spring kerana kejernihan airnya yang kelihatan kebiru-biruan. Dasarnya ditumbuhi rumpai berwarna hijau yang hidup segar dan sehat, ia kelihatan seperti taman rumpai. Rupanya yang indah menyebabkan saya terfikir seperti ada negeri di bawah sana. Bila baca di papan kenyataan yang melarang mengunjung mandi di Sungai Waihou ini, saya menyimpulkan Sungai Waihou ini menyimpan kesucian dan rahsianya sendiri. Ia seperti "dunia tersembunyi" di Pulau Utara New Zealand.



Setelah merakam gambar di pelantar ini, kami terus menyusuri aliran Sungai Waihou. Di beberapa bahagian trek, pelantar kayu dibina kerana trek berada berhampiran dengan aliran sungai menyebabkan tanah lembab dan basah. Suhu air Sungai Waihou ini kekal 11 digree celsius sepanjang tahun.





Kami berjalan sekitar sejam setengah dan berpatah balik setelah sampai di sebuah "spot" menarik menyaksikan air Sungai Waihou yang jernih berwarna hijau kebiruan. Di bahagian ini airnya nampak dalam dan terdapat air terjun kecil di pangkalnya.





Berada di Blue Spring walaupun seketika secara santai ini sememangnya berbaloi. Menyaksikan keindahan alam yang dijaga rapi untuk generasi akan datang. Jika pembaca ke Hobbiton, jangan lupa singgah di sini sebentar. Terima kasih alam. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Tiada bayaran dikenakan untuk melawat Blue Spring. Ia percuma.
2- Masa trekking di sini sekitar 3 jam pergi dan pulang.
3- Contact: Apiptrip - 0133508505 (sekiranya anda mempunyai group 10 orang untuk travel).