Isnin, 25 Januari 2016

Kawah Ijen

     
        Gunung Ijen atau Kawah Gunung Ijen banyak berbakti kepada penduduk kebupaten Bondowoso Jawa Timur, Indonesia. Belerang atau sulfur yang dimuntahkan dari perut buminya saban hari memberi rezeki kepada keluarga pelombong sejak pemerintahan Belanda sehingga kini, dan proses perlombongan secara tradisional masih diamalkan lagi. Gunung Ijen atau lebih dikenali sebagai Kawah Ijen terletak di wisata Gunung Ijen bahagian Taman Nasional Baluran di perbatasan kabupaten Bondowoso dan Bayuwangi.


         Saya bersama seorang teman pendaki ke Kawah Ijen ini pada tahun 2009. Pendakian ke kawah Gunung Ijen ini sebenarnya tidak dirancang kerana kami berdua baru sahaja pulang dari Taman Negara Komodo di Pulau Flores. Memandangkan cuti kami masih berbaki 3 hari, kami menghubungi teman di Surabaya dan terus merancang mendaki Gunung Ijen. Dari Pulau Bali kami menaiki bas malam hingga ke Bayuwangi dan perjalanan mengambil masa lebih 3 jam termasuk menaiki feri selama 45 minit menyeberangi pulau. Kami sampai di Bayuwangi sekitar jam 2 pagi, kemudian kami meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Ijen bersama 2 teman yang sedia menanti kami di Bayuwangi. Perjalanan ke kaki gunung mengambil masa kurang lebih 2 jam menaiki van yang kami sewa.

Pos pendakian Kawah Ijen.
        Setelah melaporkan diri dan membayar yuran pendakian di pos pendakian, kami mula mendaki ke Kawah Ijen. Pendakian secara santai ini mengambil masa kurang lebih 2 jam. Di pertengahan jalan ke puncak, saya berselisih dengan ramai penduduk setempat yang memikul belerang. Mereka menawarkan kami belerang yang berbagai bentuk pelik seperti istana sebagai perhiasan dengan harga yang murah.








        Trek agak landai namun semakin hampir kami ke puncak, semakin kuat bau belerang yang tidak menyenangkan. Saya dan teman tidak membawa pelindung muka, maka saya terpaksa menutup hidung menggunakan skaf dan tisu. Asap belerang ini juga memedihkan mata.



         Kami sampai di puncak Kawah Ijen 2380 mdpl setelah mendaki kurang lebih 2 jam dan dari sini kami nampak sebahagian kawah Ijen yang berwarna kuning. Di kawah inilah pelombong tempatan akan mengambil belerang dan memikulnya hingga ketempat pengumpulan belerang di kaki gunung.







         Kami tidak berada lama di puncak ini kerana bau yang tidak menyenangkan. Selepas merakam gambar dan melihat kawah belerang yang terletak 20 minit berjalan kaki ke bawah, di dalam perut Gunung Ijen, kami terus turun melalui jalur yang sama kami mendaki tadi. Dalam perjalanan turun kami singgah di pondok tempat pengumpulan belerang.

Teman pendaki bergambar bersama bakul belerang.



        Di gunung ini saya melihat betapa peritnya mencari rezeki halal. Di mana kekuatan tenaga dan semangat menjadi modal dan pertaruhan. Terima Kasih Allah.


Ahad, 17 Januari 2016

Tunnel Of Nine Turns taiwan yang memukau

          Sejak menonton dokumentari tentang Tunnel Of Nine Turns di National Georgafi, saya berhajat menyaksikan sendiri terowong ini jika diberi rezeki dan kesempatan. Tunnel Of Nine Turns, Taroko Gorge ini terletak di dalam kawasan Taman Negara Taroko di timur Taiwan.


        Saya bersama 5 orang teman singgah di sini setelah mendaki Gunung Qilai dan Gunung Hehuan di Taman Negara Taroko pada bulan Jun 2013. Jiuqudong atau Tunnel Of Nine Turns ini telah dibina pada tahun 1996. Ia merupakan tempat terbaik dan tempat mesti singgah untuk menyaksikan pemandangan indah Gaung Taroko.




        Central Cross - Land Highway dibina dengan menebuk gunung, lantaran itu banyak gua telah terbentuk. Berjalan di Tunnel Of Nine Turns mengambil masa kurang lebih 30 minit. Pelawat dapat melihat jurang dalam di bawah dari tebing setinggi 1660 meter yang cukup mengerunkan. Pemandangan di sini amat mempesonakan. Sesekali kami mendengar jeritan dari pemandu van yang menyuruh kami berhati-hati kerana bimbang batu jatuh bila angin bertiup agak kencang semasa kami berada di sini.



Jaring di pasang di dinding batu untuk mengelak batu jatuh di atas kenderaan

Pelawat dinasihatkan memakai helmit untuk mengurangkan kecederaan jika di hempap batu.





        Apa yang menariknya Tunnel Of Nine Turns ini, adalah kerana terdapat jalanraya, terowong dan gua di atas manakala gaung yang dalam dan sungai yang mengalir jauh di bawah, menghidangkan panorama indah di Taroko Gorge ini. Di terowong ini batu marmar dan batu kapur berlekok-lekok dan agak ganjil rupanya namun apa yang mengagumkan saya adalah idea membina terowong ini untuk memberi peluang kita melihat keindahan alam.








       Taiwan memang terkenal dengan jalanraya yang banyak terowong, tapi terowong dan gua di Taroko Gorge ini amat berbeza dari lain-lain terowong di dunia. Jalan raya yang di bina di Taroko Gorge ini bengkang-bengkok sehingga tersenarai antara 10 jalanraya terbahaya di dunia. Jika anda ke Taroko National Park singgahlah di sini untuk menyaksikan pemandangan hebat ciptaan Maha Pencinta. Terima kasih Allah.

Nota:
Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Taiwan.

Lopburi sunflowers

        Lopburi atau Lavo di kenali sebagai City Of Monkey berjarak 150 kilometer di utara Bangkok. Setiap tahun, minggu terakhir di bulan November akan diadakan Lopburi Monkey Festival di bandar ini. Festival yang diadakan ini adalah jamuan makan buah-buahan seperti tembikai, betik, nenas, timun, telor dan sebagainya yang diadakan di Khmer Tample, Phra Prang Sam Yot yang terletak di utara stesen keretapi Lopburi.


     Saya ke sini bukanlah untuk menyaksikan Lopburi Monkey Fastival tetapi untuk menyaksikan pesta bunga matahari di Lopburi. Cara mudah untuk ke Lopburi adalah dengan menaiki keretapi dari Bangkok di stesen keretapi Hua Lamphong dan perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam. Harga tambang mengikut kelas ticket. Jika manaiki bas, kita boleh manaiki dari Mo Chit 2 Bus Terminal. Tambang van 100 Baht dan mengambil masa kurang 3 jam. Pesta bunga matahari di Lopburi bermula dari bulan November sehingga Februari tetapi di bulan terakhir ini bunganya sudah agak tua. Masa terbaik untuk ke Festival ini adalah di bulan November sehingga Januari.






        Saya bersama 2 orang teman ke Lopburi pada akhir Disember 2015. Kami ke sini menaiki van dari Mo Chit 2 Bus Terminal dan setelah sampai ke bandar Lopburi kami menyewa tut-tut dengan bayaran 800 Baht pergi dan pulang. Pemandu tut-tut membawa kami ke kebun bunga matahari di mana pesta bunga ini di adakan. Perjalanan menaiki tut-tut ke kebun ini mengambil masa kurang lebih 30 minit.

Monyet yang sinonim dengan bandar Lopburi.


      Berbagai jenis makanan, minuman, buah, baju, dan perhiasan yang melambangkan bunga matahari di jual di sepanjang jalan di kebun bunga ini di  musim festival.







Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak perlukan visa untuk ke Thailand.
2- Bas dari Bangkok ke Lopburi sebenarnya van.