Jumaat, 16 Februari 2024

Trekking ke Sky Mirror Pulau Pinang


Kolam kecil tepi laut yang tersembunyi di Gertak Sanggul Pulau Pinang ini menjadi satu tempat menarik bila para pengunjung merakam gambar. Bias bayang di kolam kecil tersebut kelihatan seperti cermin dan sangat memukau. Pengunjung terpaksa trekking sedikit untuk sampai ke tempat tersorok ini. Saya dan seorang teman ke sini dibawa oleh teman lama dan anaknya yang pernah beberapa kali berkunjung ke sini.



Kami sepakat berjumpa di tapak pakir percuma di 0.00 Kilometer Gertak Sanggul di mana trek ke Sky Mirror ini bermula. Sambil bersedia untuk memulakan trekking, saya merakam gambar di pantai berselut tempat para pencari kerang meraih rezeki. Walaupun pantai ini berselut, pemandangan di sini sedikit memukau pandangan saya. Terdapat sebuah tokong dan penginapan Country Home and Cafe berhampiran tempat pakir.



Jam 08:20 pagi, kami berempat memulakan trekking melalui mini tar sehingga ke kawasan perkebunan. Trek landai dan sedikit menaik berselang seli. Kami menyusuri mini tar ini sehingga ke penghujung kenderaan empat roda boleh dilalui. Kemudian trek dalam kawasan kebun buah-buahan mengambil alih. Kami berehat sebentar di atas sebongkah batu besar di dalam kawasan kebun ini sambil merakam gambar.





Trek menyusuri kawasan perkebunan ini agak redup dan terdapat banyak pokok buah pala yang popular di Pulau Pinang sedang berbuah lebat. Kami trekking secara santai sambil bercerita dan bertanya khabar memandangkan kami telah lama tidak bertemu. 




Trek sepanjang perjalanan ditanda jelas di batu-batu tepi jalur. Sampai di dua persimpangan, kami menyusuri jalur kiri dan bawah manakala jalur di sebelah kanan menuju ke Pulau Betong seperti yang tertulis di batu. 




Sampai di hujung kawasan perkebunan, kami memasuki sedikit kawasan hutan sehingga tepi pantai. Turun ke pantai kami di sambut oleh Batu Muka. Bentuk muka manusia di batu tepi laut itu saya rakam setelah Sari selaku penunjuk arah  memberitahu saya.  




Kami berehat sebentar di pantai bersih ini sambil melihat beberapa orang yang sedang memancing. Kemudian kami meneruskan perjalanan dan memasuki semula ke hutan mengikuti arah trek yang di tanda.


Akhirnya jam 10:00 pagi kami sampai di satu spot yang digelar Sky Mirror. Kolam comel yang tenang itu sangat cantik pada penghayatan saya. Kami merakam gambar semahunya di sini sambil berehat dan bersarapan ringan. Cuaca hari itu sungguh cerah dan hasil gambar yang kami rakam secara bahagia walaupun bukan profesional memuaskan hati kami.









Jam 10:50 kami bergerak pulang melalui jalur kami datang tadi. Kami bertegur sapa sebentar dengan beberapa pemancing ikan di pantai. Jam 11:55 kami sampai semula di kawasan tapak pakir.





Sebelum pulang, kami berehat sebentar di tepi laut sambil menikmati ais cream dan melihat pencari kerang sedang mencari hasil. Kami juga merakam gambar di Patung Duyung ala-ala Patung Duyung di Samila Beach Songkla di hadapan tokong.

Penunjuk arah: Sari- 013 4287054