Sabtu, 24 Ogos 2019

Gunung Cikuray via Kiara Janggot



Setelah selesai mendaki Gunung Guntur, Kang Yodi menghantar kami ke Basecamp Gunung Cikuray jalur Kiara Janggot. Kami bermalam di sebuah gerai berhampiran Basecamp Kiara Janggot secara percuma pada malam ke lima xpdc July saya di Jawa Barat. Setelah mendaki Gunung Gede, Pangrango dan Guntur, saya dan seorang teman meneruskan pendakian ke Gunung Cikuray. Pagi itu kami memulakan pendakian seawal jam 04:40 pagi. Saya agak keberatan memulakan perjalanan memandangkan cuaca tidak begitu baik, hujan renyai menitis membasahi bumi semasa kami memulakan perjalanan. Tetapi sahabat pendaki saya seorang yang rajin dan sentiasa mengikuti schedule perjalanan yang telah kami susun dan persetujui menyebabkan saya seperti trekking "rela dalam paksa". Di awal perjalanan kami berhenti di beberapa tempat seperti di luar rumah penduduk desa dan pondok baja sebagai tempat berteduh ketika hujan agak lebat dan meneruskan perjalanan setelah hujan berhenti seketika. Kami sampai di Pos 1 pada jam 06:05 pagi.


Pos 1 cuma ada penanda di pokok dan walaupun hujan renyai masih turun, kami meneruskan perjalanan ke Pos 2 tanpa berehat. Kami sampai di Pos 2 sekitar jam 06:40 pagi dan seperti juga di Pos 1, tiada pondok di Pos 2. Kami meneruskan perjalanan ke Pos 3 secara perlahan-lahan sambil bercerita.


Kami sampai di Pos 3 pada jam 07:15 pagi. Kami berehat sekitar 15 minit di Pos 3 dan ketika ini hujan renyai telah berhenti namun cuaca tetap berkabus. Dalam hati saya berdoa semoga cuaca cerah di puncak nanti, namun sekiranya di puncak tanpa hujan juga saya amat bersyukur.


Kami meneruskan perjalanan ke Pos 4 dan sampai di sana pada jam 07:50 pagi. Sesekali saya mendongak ke langit, mengintai dari celah-celah pohon yang berdaun jarang. Kelihatan sekali-sekala langit seperti terbuka tetapi tidak lama kemudian kabus kembali menutup langit.


Kami sampai di Pos 5 sekitar jam 08:40 pagi. Pada masa itu saya agak positif bila ternampak tompok berwarna biru di langit sambil menunjuk arah ke atas pada teman pendaki saya. Kami berfikir dan berharap cuaca cerah di puncak pagi itu dan merancang masa ketibaan kami di puncak. Kami berharap sampai di sana pada jam 12:00 tengahari nanti.


Sambil berharap, kami meneruskan pendakian ke Pos 6 dan kami sampai di Pos 6 pada jam 09:40 pagi. Terdapat beberapa buah khemah pendaki di Pos 6 ini dan mereka baru turun dari puncak. Menurut mereka, cuaca cerah di puncak menyebabkan saya bersemangat untuk meneruskan pendakian walapun mereka mempelawa kami singgah minum-minum dahulu.


Dalam perjalanan ke Pos 7, kami berselisih dengan ramai pendaki yang dalam perjalanan turun. Sambil bertegur sapa, berbagai kata-kata semangat dilemparkan kepada kami seperti adat para pendaki. Kami sampai di Pos 7 pada jam 11:15 pagi dan kami meneruskan pendakian ke Pos 8 tanpa berehat memandangkan jarak Pos 7 ke Pos 8 yang dekat.


11:20 pagi kami sampai di Pos 8 yang berjarak 5 minit dari Pos 7. Di sini terdapat kawasan rata yang redup dan luas untuk berkhemah. Beberapa khemah pendaki santai masih berdiri tanda mereka masih berehat-rehat. Mendongak ke atas pokok menyebabkan saya tersenyum bila melihat mereka masih berayun di dalam buaian kain pelikat.




Lima minit meneruskan perjalanan dari Pos 8, kami sampai di puncak. Beberapa meter ke puncak, saya tidak sabar-sabar memandang ke belakang kerana samudera awan terbentang luas. Kami sampai di puncak Gunung Cikuray sekitar jam 11:25 pagi, 30 minit lebih awal dari target masa kami. Bererti kami punya banyak masa di puncak untuk melihat pemandangan indah ciptaan MAHA PENCIPTA.




Subhanallah, terpukau saya dengan pesona samudera awan di puncak Gunung Cikuray 2821 mdpl. Sampai di puncak, saya meninjau pemandangan dari berbagai arah, kami seolah-olah dikepong awan putih bak kapas. Kelihatan puncak Gunung Papandayan dari tempat kami berdiri. Kami merakam gambar kenangan dari berbagai sudut semahunya.



Di puncak Gunung Cikuray terdapat sebuah pondok berdinding batu. Penghuninya menjual minuman dan barang aksoseri. Saya memesan kopi hitam dan membeli seutas gelang tangan sebagai sokongan kepada peniaga gerai tertinggi di daerah Garut ini. Setelah puas merakam gambar, kami bergerak turun pada jam 12:30 tengahari.




Kami turun melalui jalur kami mendaki tadi berpandukan tanda arah yang diletakkan di pokok. Dikatakan Gunung Cikuray boleh didaki dari sembilan jalur dan kami berwaspada kerana terdapat simpang ke Jalur Pemancar. Sampai di Pos 6, kami dikejutkan bila disambut oleh 2 ekor babi yang memang selalu dijumpai pendaki di gunung ini. Pendaki yang berkhemah di Pos 6 mengajak kami singgah dahulu sementara menunggu pasangan babi itu beredar dari laluan kami. Saya sedikit gentar bila babi itu seolah-olah memandang tepat ke arah saya. Lebih 20 minit babi itu mengambil masa kami, memberi ruang untuk kami berehat.



Setelah pasti pasangan babi itu beredar dan jalur selamat dilalui, kami meneruskan perjalanan turun ke Basecamp Kiara Janggot. Selepas melalui Pos 1, kami melalui kawasan pertanian dan perkebunan penduduk desa yang luas. Kami sampai di Basecamp Kiara Janggot sekitar jam 15:40 petang. Sambil berehat dan bersiap, kami memesan minuman dan mie di gerai tempat kami tumpang bermalam. Tidur di gerai ini walaupun nampak ringkas, tetapi aman dan nyaman. Pemiliknya juga ramah dan baik.




Sebelum berangkat pulang, pihak Basecamp Kiara Janggot menyerahkan sekeping sijil penghargaan kepada kami. Petang itu kami dijemput Kang Yodi dan dia mempelawa kami bermalam di rumahnya. Keesokkan jadual kami mendaki Gunung Papandayan pula.


Dengan kenangan dan pemandangan indah di puncak Gunung Cikuray, mungkin saya akan mengulangi pendakian ke sini lagi di masa akan datang jika ada rezeki. Terima kasih Allah.

Itinerary:
Day 5 xpdc July, Jawa Barat
04:40- Start mendaki Gunung Cikuray
06:05 Pos 1
06:40 Pos 2
07:15 Pos 3, rehat 15 minit
07:50 Pos 4
08:40 Pos 5
09:40 Pos 6
11:15 Pos 7
11:20 Pos 8
11:25 Puncak Gunung Cikuray
12:30 Mulai turun
15:40 Sampai Basecamp Kiara Janggot

Nota:
1- Transport di Garut: Kang Yodi- +62 81321255763

Sabtu, 17 Ogos 2019

Gunung Guntur via Seureuhjawa Citiis



Saya dan seorang teman pendaki sampai di Garut sekitar jam 22:05 malam setelah selesai mendaki Gunung Gede dan Pangrango. Di Garut kami menyewa sebuah kereta bersama pemandu untuk memudahkan pergerakkan kami di sana. Kami merancang mendaki tiga gunung di Garut iaitu Gunung Guntur, Cikuray dan Papandayan. Setelah membeli makanan untuk makan malam, pemandu membawa kami ke Basecamp Villa Guntur Sari untuk bermalam. Basecamp Villa Guntur Sari ini selesa, terdapat banyak kemudahan seperti gerai makan, surau, bilik air dan tapak pakir kenderaan yang selamat. Petugas juga ramah. Rekomen dan dicadangkan bermalam di sini.


Keesokkan paginya kami memulakan trekking ke Gunung Guntur sekitar jam 06:10 pagi. Petugas di Basecamp Villa Sari menunjukkan arah dan menerangkan serba sedikit perjalanan menuju Puncak Guntur kepada kami memandangkan kami berdua mendaki tanpa guide. Di awal perjalanan, kami trekking di jalur rata yang digunakan oleh lori perlombongan pasir. Terdapat banyak simpang dan penanda arah kurang diletakkan di simpang-simpang tersebut, menyebabkan kami sedikit sangsi dan curiga. Kami sering bertanya kepada penduduk setempat yang kami jumpa untuk memastikan arah betul untuk ke Gunung Guntur.




Kami sampai di Pos 1 pada jam 07:30 pagi. Terdapat gerai, surau ,tandas, bangku dan tempat berehat dibina dari buluh di sini. Tempat berehat juga boleh dijadikan tempat bermalam dan menurut peniaga di sini, pendaki boleh tidur percuma. Kami berehat selama 20 minit dan melaporkan diri di Pondok Pengawal Pos 1 sebelum meneruskan pendakian.




Dari Pos 1 menuju Pos 2, kami melalui kawasan hutan dan trek agak menegak. Jalur pendakian ke Pos 2 memaksa kami memerah keringat mendaki bongkah batu-batu yang agak besar. Sepanjang trek pendakian kami mendengar percikan air terjun dan kami melintasi anak sungai, terdapat gerai dan tandas di kawasan air terjun ini. Kami meneruskan pendakian dan sampai di Pos 2 pada jam 08:25 pagi. Kawasan Pos 2 agak kecil, cuma sesuai untuk berehat menghilangkan lelah.




Trek menuju ke Pos 3 juga masih menegak sekitar 70 darjah pada pandangan saya. Kami sampai di Pos 3 pada jam 09:20 pagi. Pos 3 adalah tempat paling sesuai jika pendaki ingin bermalam. Terdapat tapak khemah yang luas dan bersih kerana pihak petugas menjaga kawasan ini. Selain itu, tersedia kemudahan seperti surau, tandas dan pos pengawal. Perkhimatan sewa  peralatan berkhemah juga terdapat di sini.




Kami melaporkan diri sekali lagi di Pos 3 sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Guntur. Gunung Guntur mempunyai 4 puncak. Kami meneruskan pendaki ke Puncak 1 dan jalur pendakian menuju ke puncak 1 tidak saya duga. Trek ke puncak 1, jalurnya mengimbau keperitan dan kesukaran semasa saya mendaki Gunung Semeru dan Rinjani. Trek pasir gelonsor benar-benar menguji kesabaran.




Saya banyak menghabiskan masa berehat semasa menuju Puncak 1 ini. Trek pasir batu kerikir yang mengelonsor melelahkan tambahan pula kabus tebal yang menyelimuti pemandangan atas dan bawah gunung sedikit melunturkan semangat mendaki saya. Kami sampai di Puncak 1 Gunung Guntur pada jam 13:00 petang. Setelah berehat seketika dan tiada pemandangan yang dapat dilihat, teman  pendaki saya mengajak saya ke Puncak 2.




Trek menuju Puncak 2 Gunung Guntur agak jauh, kami menyusuri trek padang savana yang luas dan cantik, sayangnya pemandangan terhad kerana kabus agak tebal. Kami sampai di Puncak 2 sekitar jam 13:30 petang. Terdapat batu penanda GPS di Puncak 2 ini. Di sinilah penanda ketinggian Gunung Guntur 2249 mdpl dan kami merakam gambar sebentar sebelum meneruskan pendakian ke Puncak 3.




Kami sampai di Puncak 3 pada jam 13:45 petang. Tiada penanda di Puncak 3. Dari sini kami melihat Puncak 4 di hadapan. Kelihatan Puncak 4 lebih tinggi dari kesemua Puncak Guntur. Kami bergerak ke Puncak 4 dan sampai di sana sekitar jam 14:00 petang.




Frust dan sedikit kecewa. Tidak ada papan penanda ketinggian di Puncak 4 ini walaupun Puncak 4 ini lebih tinggi dari Puncak 2. Ada beberapa batang kayu terkumpul seperti baki unggun api di kawasan lapang di Puncak 4 dan kawah gunung pula terletak di bawah. Setelah merakam beberapa keping gambar di Puncak 4, kami bergerak pulang ke Puncak 2.



Saya merakam sekali lagi gambar di Puncak 2 setibanya di sana sambil mengambil sedikit masa untuk berehat. Kerana kabus tidak menunjukkan sebarang tanda untk berkurang kami bergerak ke Puncak 1 dan meneruskan perjalanan turun ke Pos 3 tanpa berehat. Proses perjalanan turun agak mudah dengan menggunakan teknik menahan diri mengelonsor ke bawah dengan menggunakan tumit kaki.




Kami sampai semula di Pos 3 sekitar jam 16:40 petang. Pengawal Pos 3 mengucapkan tahniah sambil ketawa-ketawa bila mendapat tahu kami sampai di Puncak 4 yang tiada penanda bila saya mengadu tentang perkara tersebut. Kami kemudian meneruskan perjalanan turun ke Pos 1 dan sampai di sana sekitar jam 17:30 petang. Kami berehat sambil minum dan makan gorengan di salah sebuah gerai di Pos 1. Sambil bersembang dengan peniaga tersebut, kami bertanya seandainya terdapat perkhimatan Ojek untuk menjimatkan masa kami ke basecamp. Anak peniaga gerai mencarikan Ojek untuk kami dan kami sampai kembali di Basecamp Villa Sari pada jam 18:10 petang. Setelah berehat dan bercerita dengan petugas basecamp, kami bersedia meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Cikuray. Sebelum kami berangkat, pihak basecamp menyerahkan sijil penghargaan.


Gunung Guntur terkenal dengan bunga lalang berwarna kemerahan pada musim ia berbunga, malangnya saya tidak dimurahkan rezki untuk melihat pemandangan indah itu kali ini. Mungkin ada peluang dipendakian masa akan datang. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Pendakian Gunung Guntur memerlukan pakaian yang sesuai terutama kasut.
2- Jalur mengelonsor memerlukan tenaga dan masa yang mencukupi untuk pendakian pergi pulang.
3- Contact pengangkutan : Kang Yodi +62 81321255763.

Itinerary:
Day 3
2205- Sampai Garut, bermalam di Basecamp Villa Guntur Sari.
Day 4 (xpdc July Jawa Barat)
06:10- Start mendaki Gunung Guntur dari Basecamp Villa Guntur Sari.
07:30- Pos 1, rehat 20 minit.
08:25- Pos 2
09:20- Pos 3
13-00- Puncak 1
13:30- Puncak 2
13:45- Puncak 3
14:00- Puncak 4
14:30- Start turun ke Pos 3
16:10- Pos 3
18:10 Basecamp Villa Guntur Sari.