Isnin, 14 November 2022

15 Hari bercuti di Thailand

Saya dan dua teman merancang bercuti ke Thailand selama 15 hari di akhir October 2022. Lagi seminggu hari percutian bermula saya gagal mendapatkan tiket keretapi malam dari Hatnyai ke Hua Hin. Saya bercadang memulakan percutian kami dari Hua Hin dan berakhir di Hadnyai nanti dan kerana kehabisan tiket keretapi saya mengubah jadual percutian. Memandangkan kami tidak menempah hotel, perubahan jadual tidak memberi masalah pada trip kami. Hari pertama kami memulakan perjalanan dari Penang menaiki fery awal pagi. Kemudian menaiki komuter ke Padang Besar pada jam 08:30 pagi dan sampai di Padang Besar pada jam 10:30 pagi. Kami meneruskan perjalanan ke Hatnyai Train Station dengan menaiki van.


Sampai di Hatnyai Train Station kami makan tengahari dan meneruskan perjalanan menaiki train ke Surathani pada jam 14:30 dan sampai di Surathani hampir jam 20:00 malam. Kami kemudian menaiki Sangthaew menuju ke Rathani Hotel Surathani. Setelah check-in kami keluar ke Night Market Surathani.



Hari kedua setelah sarapan kami bertolak ke Khao Sok National Park, kami mengambil pakage bercuti ke taman negara ini selama  tiga hari dua malam. Dalam perjalanan ke Khao Sok National Park kami singgah bermandi manda di Ban Nam Rad. Mata air di Ban Nam Rad membentuk kolam air yang jernih bersih dan kolam besar mengalirkan air ke sungai dalam hutan yang menghijau. Ban Nam Rad merupakan tempat mesti lawat jika anda ke Surathani.




Setelah puas bermandi manda kami meneruskan perjalanan ke Khao Sok National Park Village dan bermalam di Smiley Bangalow. Hari ketiga selesai sarapan kami menaiki van menuju ke pintu masuk Taman Negara Khao Sok dan meneruskan perjalanan ke Lake House di Cheow Larn Lake menaiki bot. Dalam perjalanan ke Lake House, kami singgah di mini Guilin yang terkenal di Cheow Larn Lake.



Setelah check in Lake House kami berehat dan di sebelah petang kami dibawa mengelilingi Cheow Larn Lake sambil melihat haiwan dan pemandangan di sana.


Hari keempat kami memulakan lawatan di Cheow Larn Lake, melihat binatang dan pemandangan waktu matahari terbit sebelum sarapan. Selepas sarapan kami menyertai aktiviti trekking melawan arus air terjun di Taman Negara Khao Sok ini. Selesai aktiviti trekking kami pulang ke House Lake, lunch dan bersedia berangkat pulang. Kami sampai di jety pintu Taman Negara Khao Sok sekitar jam 15:00 petang dan meneruskan perjalanan ke jety Donsak menuju ke Koh Samui. Kami menaiki fery terakhir pada jam 18:00 petang dan sampai di Koh Samui pada jam 19:30 malam. Di Koh Samui kami menginap di Crystal Bay Beach Resort. 



Hari kelima, kami ke Central Samui di Chaweng, makan dan mencari pakage Mu Ko Ang Thong National Park. Petang pula kami ke Pekan Lamai. Hari keenam kami penuhi dengan pakage Mu Ko Ang Thong National Park. Kami menaiki bot untuk snorkeling, berkenu, Emerald Green Lake, mendaki ke Pha Chancharat View Point dan pakege ini termasuk sarapan, makan tengahari dan minum petang setelah selesai lawatan.






Hari ketujuh kami berangkat ke Koh Phangan dengan menaiki ferry dan bermalam di Morning Star Resort. Di Koh Phangan kami cuma bersiar di bandar kecil Thong Sala dan pantai sahaja.


Hari kelapan kami bergerak ke Koh Tao menaiki fery dan di Koh Tao kami menginap di Pranee Amata Hotel. Malam itu kami bersiar di pekan kecil Sairee Beach. Keesokkan harinya kami mengambil pakage Koh Tao, trip ini bermula jam 10:00 pagi dan berakhir 16:00 petang termasuk tiga tempat snorkling, Pulau Nang Yuan, peralatan snorkling dan makan tengahari. 







Hari kesepuluh kami berangkat menaiki fery ke Chumphon dan meneruskan perjalanan dengan bas menuju ke Hua Hin. Kami sampai petang di Hua Hin dan menginap di Subhamitra Hotel di bandar Hua Hin selama tiga malam. Tidak banyak tempat yang kami lawati di Hua Hin ini memandangkan sektor pelancongan yang malap sejak wabak covid. Dua hari kami cuma melawat beberapa tempat termasuk Blueport, Market Village, Night Market, FN Outlet, Rajabhati Park dan market pagi mereka.







Hari ketiga belas kami bergerak ke Bangkok awal pagi dan sampai di sana tengahari. Setelah check in di Metro hotel kami mencari kawan lama yang telah membuka muslim restaurant di sana untuk menjamu selera. Nama restaurant beliau Samat Muslim Food. Awal malam pula kami ke Asiatique.







Hari keempat belas, pagi itu kami ke Chak chu chak. Bazar murah yang kami suka pergi. Kami menaiki MRT ke sana dan sebelah petang kami bersedia menaiki keretapi dari Hua Lampung ke Padang Besar. Hari kelima belas, kami sampai di Hatnyai sekitar jam 9:00 pagi. Keretapi berhenti agak lama di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Besar. Dari Padang Besar kami menaiki komuter ke Butterworth.





Itinerary
Day 1- Penang- Padang Besar- Hatnyai- Surathani, bermalam.
Day 2- Surathani- Ban Nam Rad- Khao Sok National Park Village, bermalam.
Day 3- Khao Sok National Park Village- Khao Sok National Park- House Lake, bermalam.
Day 4- Khao Sok National Park- Koh Samui, bermalam.
Day 5- Koh Samui
Day 6- Koh Samui
Day 7- Koh samui- Koh Phangan, bermalam.
Day 8- Koh Phangan- Koh Tao, bermalam.
Day 9- Koh Tao
Day 10- Koh Tao- Chumphon- Hua Hin, bermalam.
Day 11 - Hua Hin
Day 12 - Hua Hin
Day 13 - Hua Hin- Bangkok
Day 14 - Bangkok- Padang Besar, train malam. 
Day 15 -Padang Besar- Butterworth, komuter.


Sabtu, 12 November 2022

Bercuti di Hua Hin


Saya dan dua teman singgah di Bandar Hua Hin ini dalam perjalanan percutian kami di Thailand akhir October 2022. Kami menaiki ferry dari Koh Tao ke Chumphon dan kemudian meneruskan perjalanan ke Hua Hin menaiki bas. 




Di pertengahan perjalanan, bas berhenti rehat di daerah Prachuap, di RNR ini terdapat surau dan deretan gerai makanan halal.



Kami sampai di bandar Hua Hin agak lewat petang. Setelah check in hotel di Bandar Hua Hin kami ke Chatsila Night Market, pasar  malam ini terletak beberapa ratus meter dari hotel penginapan kami. Terdapat banyak makanan laut di pasar malam ini dan harganya juga berpatutan pada pandangan saya.








Hari kedua kami di Hua Hin, kami merancang ke Santorini yang popular di Hua Hin ini. Kami keluar agak lewat kerana Santorini dibuka agak lewat. Setelah menaiki Sangthaew, pemandu memberitahu kami Santorini telah tutup sejak wabak covit melanda dan hingga kini masih belum beroperasi. Kami kemudian ke Venezia. Disebabkan Venezia dibuka pada jam 11 pagi, kami ke FN Outlet dahulu. Pusat beli belah berdekatan dengan Venezia ini agak sunyi sepi dan kami tidak berlama-lama di sini. Kemudian kami ke Venezia, taman tema yang diilhamkan dari Bandar Venice ini juga agak sunyi. Kami merasa kurang ghairah ke sini dan berhibur di dalam park dan setelah mengambil sekeping gambar di depan park tersebut, kami meminta pemandu Sangthaew mencari kedai makan muslim. 



Kami ke kedai makan Halal Hua Hin Beach Seafood & Thai restaurant di Hua Hin bazar. Kedai makan ini baru dibuka semula sejak wabak covit melanda. Kami adalah pelangan pertama mereka kerana semalam hari pertama dibuka, mereka gagal mendapat pengujung. Mereka meminta kami memperkenalkan kedai mereka kepada teman-teman yang bercadang bercuti ke Hua Hin. Sementara mereka menyediakan makanan, saya dan teman-teman mengambil kesempatan mencuci mata di bazar hadapan kedai makan tersebut.





Selesai makan kami ke Rajabhati Park, muzium Di Raja. Di sini terdapat tujuh patung besar raja-raja popular yang pernah memerintah Thailand dan masuk ke sini percuma. Kenderaan percuma di dalam park juga disediakan untuk pengunjung ke kawasan patung besar.


Kemudian kami singgah sebentar di tepi laut yang terdapat tokong Budha. Kami tidak berlama-lama di sini dan kemudian meminta pemandu menghantar kami ke Hua hin Market Village.



Hua Hin Market Village merupakan pusat beli belah kedua terbesar di Hua Hin. Kami menghabiskan masa beberapa jam di sini sebelum pulang ke hotel.


 Di sebelah malam kami habiskan masa di Chatsila Night Market berdekatan kawasan hotel. Hari ketiga kami di Hua Hin, kami ke pasar pagi di kawasan Chatsila Night Market. Terdapat beberapa peniaga muslim berjual di pasar pagi ini. Kami sarapan merangkumi makan tengahari di pasar ini. Harga makanan laut di sini agak murah.






Kemudian kami ke Blueport Hua Hin Resort Mall. Pusat beli belah terbesar di Hua Hin ini merupakan tempat pilihan memandangkan banyak tempat lawatan di Hua Hin seperti hidup segan mati tak mahu sejak wabak covit melanda. Terdapat surau yang bersih di dalam pusat beli belah Blueport ini.



Malam itu kami berkunjung lagi ke Chatsila Night Market. Memandangkan kami ke Hua Hin bukan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, maka kami tidak berpeluang ke Cicada Night Market dan Tumarind Night Market yang beroperasi pada hari tersebut sahaja. Daun Canabis mudah didapati di pasar malam.


Keesokkan paginya kami meneruskan perjalanan menaiki kereta sewa ke Bangkok. Memandangkan kami bertiga, harga tambang bas dan kereta sewa tidak banyak berbeza, jadi kami mengambil keputusan menyewa kereta sewa yang lebih mudah dan berbaloi.

Nota:
Tempat lawatan di Hua Hin masih belum pulih sepenuhnya untuk tujuan percutian buat masa sekarang. Banyak tempat masih belum beroperasi sepenuhnya sejak wabak covid melanda kecuali pasar malam.