Sabtu, 12 November 2022

Bercuti di Hua Hin


Saya dan dua teman singgah di Bandar Hua Hin ini dalam perjalanan percutian kami di Thailand akhir October 2022. Kami menaiki ferry dari Koh Tao ke Chumphon dan kemudian meneruskan perjalanan ke Hua Hin menaiki bas. 




Di pertengahan perjalanan, bas berhenti rehat di daerah Prachuap, di RNR ini terdapat surau dan deretan gerai makanan halal.



Kami sampai di bandar Hua Hin agak lewat petang. Setelah check in hotel di Bandar Hua Hin kami ke Chatsila Night Market, pasar  malam ini terletak beberapa ratus meter dari hotel penginapan kami. Terdapat banyak makanan laut di pasar malam ini dan harganya juga berpatutan pada pandangan saya.








Hari kedua kami di Hua Hin, kami merancang ke Santorini yang popular di Hua Hin ini. Kami keluar agak lewat kerana Santorini dibuka agak lewat. Setelah menaiki Sangthaew, pemandu memberitahu kami Santorini telah tutup sejak wabak covit melanda dan hingga kini masih belum beroperasi. Kami kemudian ke Venezia. Disebabkan Venezia dibuka pada jam 11 pagi, kami ke FN Outlet dahulu. Pusat beli belah berdekatan dengan Venezia ini agak sunyi sepi dan kami tidak berlama-lama di sini. Kemudian kami ke Venezia, taman tema yang diilhamkan dari Bandar Venice ini juga agak sunyi. Kami merasa kurang ghairah ke sini dan berhibur di dalam park dan setelah mengambil sekeping gambar di depan park tersebut, kami meminta pemandu Sangthaew mencari kedai makan muslim. 



Kami ke kedai makan Halal Hua Hin Beach Seafood & Thai restaurant di Hua Hin bazar. Kedai makan ini baru dibuka semula sejak wabak covit melanda. Kami adalah pelangan pertama mereka kerana semalam hari pertama dibuka, mereka gagal mendapat pengujung. Mereka meminta kami memperkenalkan kedai mereka kepada teman-teman yang bercadang bercuti ke Hua Hin. Sementara mereka menyediakan makanan, saya dan teman-teman mengambil kesempatan mencuci mata di bazar hadapan kedai makan tersebut.





Selesai makan kami ke Rajabhati Park, muzium Di Raja. Di sini terdapat tujuh patung besar raja-raja popular yang pernah memerintah Thailand dan masuk ke sini percuma. Kenderaan percuma di dalam park juga disediakan untuk pengunjung ke kawasan patung besar.


Kemudian kami singgah sebentar di tepi laut yang terdapat tokong Budha. Kami tidak berlama-lama di sini dan kemudian meminta pemandu menghantar kami ke Hua hin Market Village.



Hua Hin Market Village merupakan pusat beli belah kedua terbesar di Hua Hin. Kami menghabiskan masa beberapa jam di sini sebelum pulang ke hotel.


 Di sebelah malam kami habiskan masa di Chatsila Night Market berdekatan kawasan hotel. Hari ketiga kami di Hua Hin, kami ke pasar pagi di kawasan Chatsila Night Market. Terdapat beberapa peniaga muslim berjual di pasar pagi ini. Kami sarapan merangkumi makan tengahari di pasar ini. Harga makanan laut di sini agak murah.






Kemudian kami ke Blueport Hua Hin Resort Mall. Pusat beli belah terbesar di Hua Hin ini merupakan tempat pilihan memandangkan banyak tempat lawatan di Hua Hin seperti hidup segan mati tak mahu sejak wabak covit melanda. Terdapat surau yang bersih di dalam pusat beli belah Blueport ini.



Malam itu kami berkunjung lagi ke Chatsila Night Market. Memandangkan kami ke Hua Hin bukan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, maka kami tidak berpeluang ke Cicada Night Market dan Tumarind Night Market yang beroperasi pada hari tersebut sahaja. Daun Canabis mudah didapati di pasar malam.


Keesokkan paginya kami meneruskan perjalanan menaiki kereta sewa ke Bangkok. Memandangkan kami bertiga, harga tambang bas dan kereta sewa tidak banyak berbeza, jadi kami mengambil keputusan menyewa kereta sewa yang lebih mudah dan berbaloi.

Nota:
Tempat lawatan di Hua Hin masih belum pulih sepenuhnya untuk tujuan percutian buat masa sekarang. Banyak tempat masih belum beroperasi sepenuhnya sejak wabak covid melanda kecuali pasar malam.



Tiada ulasan: