Isnin, 22 Ogos 2016

Gunung Oku Hotaka dan Mea Hotaka


     Bagi melengkapkan XPDC Japan 1234, kami meneruskan perjalanan dari Kofu ke Matsumoto setelah mendaki Gunung Kitadake dan Ainodake. Kami sampai di Kofu pada pukul 4:00 petang dan bas terakhir ke Matsumoto telah berlepas. Untuk meneruskan perjalanan, kami mengambil keretapi local ke Matsumoto. Tambang keretapi local lebih murah dan sesuai dengan bugged kami. Keretapi local bertolak dari Kofu ke Matsumoto pada pukul 5:28 petang dengan tambang 1940 yen. Namun setelah menunggu 15 minit, keretapi tambang murah ini tidak juga sampai dan kami asyik bertanya kepada penumpang lain dan pekerja keretapi. Akhirnya kami menaiki keretapi local ini pada pukul 6:05 petang.



      Kami bermalam di Matsumoto dan meneruskan perjalanan ke Kamikochi keesokan paginya. Ada 2 cara untuk ke Kamikochi iaitu menaiki keretapi dari Matsumoto ke Shinshimashima dan meneruskan perjalanan menaiki bas ke Kamikochi atau cara ke 2 iaitu menaiki bas langsung dari Matsumoto ke Kamikochi. Kami memilih cara kedua dan keesokan paginya kami menaiki bas pertama ke Kamikochi pada pukul 5:30 pagi dengan bayaran tambang 2450 yen. Kami sampai di Kamikochi Bas Terminal pada pukul 7:00 pagi.




         Kamikochi Bas Terminal terletak bersebelahan Kamikochi Information Center. Terdapat berbagai kemudahan di sini seperti tandas, restoran, kedai, pejabat pos, balai polis, hotel dan lain-lain kemudahan lagi. Kami masak dan bersarapan di sini. Setelah bersiap sedia, kami melaporkan diri di Pejabat Informasi Pendakian dan meninggalkan barang yang tidak perlu di locker berbayar di sini. Kami memulakan perjalanan pada pukul 9:30 pagi. Setelah berjalan sekitar 5 minit kami sampai di Jambatan Kappa-Bashi yang terkenal itu. Saya terpaku melihat air Sungai Azusa yang jernih mengalir di bawah Jambatan Kappa-Bashi dan pemandangan di sini sungguh indah.






        Terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata, pakaian dan makan di sini. Kami kemudiannya menyeberangi Jambatan Kappa-Bashi ini untuk meneruskan perjalanan ke Dakesawa Hut. Di awal perjalanan kami masih menyusuri Sungai Azusa yang jernih dan kami singgah di beberapa 'spot' yang menjamukan pemandangan yang indah. Trek ke Dakesawa Hut dijaga rapi dan di beberapa bahagian trek dibina pelantar kayu untuk memudahkan pendaki.






     Berpandukan papan tanda dan sesekali bertanya kepada pendaki yang berselisih turun ke bawah, kami menuju ke Dakesawa Hut. Trek sederhana sukar dan agak redup kerana melalui hutan sehingga kami sampai kawasan berbatu berhampiran Dakesawa Hut. Kami sampai di Dakesawa Hut pada pukul 2:30 petang.





        Sampai di Dakesawa Hut, kami berehat dan minum petang. Kawasan khemah terletak agak jauh dari Dakesawa Hut namun air paip terdapat di kawasan khemah. Dakesawa Hut pernah rosak teruk kerana runtuhan salji pada tahun 2006 namun dibaik pulih semula pada tahun 2009 dan 2010. Setiap orang yang berkhemah di sini dikenakan bayaran 1000 yen. Kemudahan tandas, air bersih dan wifi terdapat di sini. Tapak khemah tidak begitu rata kerana kawasan datar yang terhad dan jika kita bercadang berkhemah di sini, baiklah kiranya memilih tempat mendirikan khemah sebaik tiba. 

Dakesawa Hut



      Keesokan paginya kami mula trekking pada pukul 6:15 pagi setelah sarapan. Trek awal agak menegak dan kami banyak mendaki mengunakan tangga. Sepanjang mendaki ke puncak, kami dapati pendaki tempatan memakai helmit. Ada juga yang membawa tali dan "harnest". 






      Trek dijaga rapi dan tangga kayu dibina di jalur tertentu. Seperti biasa jalur dibina "zigzag" untuk memudahkan pendaki dan mengurangkan batu jatuh semasa dipijak pendaki. Batu di banjaran ini agak longgar kedudukannya dan sering terjatuh jika pendaki tergelincir. Ini bermakna pendaki yang berada di bawah sering berada di dalam keadaan bahaya dan kebanyakan pendaki tempatan memakai helmit untuk keselamatan.







      Kami sampai di simpang Gunung Mae Hotakadake sekitar jam 10:00 pagi. Kami berehat di sini sebentar dan mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke puncak Oku Hotakadake dan akan ke puncak Mae Hotaka bila pulang nanti sekiranya mempunyai cukup masa. Kebanyakan pendaki akan mendaki puncak Mae Hotaka dahulu dan meneruskan pendakian ke Oku Hotaka kemudiannya.


Simpang ke puncak Mae Hotakadake



     Perjalanan dari simpang Mae Hotaka ke puncak Oku Hotaka kadang kala diselubungi kabus. Trek ditanda dengan jelas tetapi kedudukan trek di tebing yang curam amat menyeramkan. Pemandangan di waktu tidak berkabus amat indah. Kami singgah berehat sebentar di rabung Northern Alp ini dan dari banjaran ini kami melihat tapak khemah Karasawa hut yang masih terdapat tompok-tompok salji di belakangnya. Terlintas di hati saya untuk berkunjung ke Northern Alp ini lagi di masa akan datang dan bermalam di tapak khemah Karasawa Hut di bawah sana.


Karasawa hut /Goya
       Kami meneruskan pendakian ke puncak Oku Hotaka berpandukan tanda-tanda di batu trek yang jelas. Trek di pinggir tebing yang curam ini kadang kala agak mendatar sehinggalah kami sampai di bahagian trek paling bahaya pada pandangan saya. Di sini kami terpaksa mendaki tebing batu yang agak menegak 80 darjah menggunakan rantai besi sebagai tali dan melalui celah batu yang agak sempit.





      Setelah sampai di atas banjaran, saya nampak puncak Oku Hotaka dan terdapat beberapa pendaki sedang berehat di sana. Akhirnya kami sampai di puncak Oku Hotaka 3190 meter pada pukul 12:00 tengahari. Kami berehat, merakam gambar kenangan, berkongsi menyaksikan keindahan alam ciptaan YANG MAHA BESAR dan bertegur sapa dengan pendaki tempatan.


Bersama pendaki tempatan


        Gunung Oku Hotaka 3190 meter merupakan gunung ketiga tinggi di Japan. Ia terletak di Northern Alp, Chubu-Sangaku National Park, Pulau Honshu. Dari puncak yang tinggi ini kami melihat terdapat beberapa lagi puncak tinggi lain di sekitarnya. Salah satu puncak yang menarik perhatian saya adalah puncak yang terdapat di hadapannya. Kami melihat ada beberapa pendaki di puncak gunung yang saya tidak pasti namanya. Mereka kelihatan amat kecil di puncak yang tinggi itu, begitulah sebaliknya mereka melihat kami yang berada di puncak ketiga tinggi ini, pastilah kerdil juga.




       Setelah merakam gambar kenangan dan menikmati pemandangan yang mengagumkan ini kami turun dan berpatah pulang melalui jalur kami datang tadi. Kabus semakin menebal di waktu petang di Northern Alp ini.

Kami bertiga di puncak Oku Hotaka



        Setelah berjalan pulang hampir 2 jam, kami sampai semula di simpang Mae Hotaka pada pukul 2:30 petang. Seorang teman tidak mahu meneruskan pendakian ke puncak Mae Hotaka kerana keletihan, dia mengambil keputusan turun terus ke tapak khemah mengikuti pendaki tempatan yang lain. Saya dan seorang lagi teman singgah untuk meneruskan pendakian ke puncak Mae Hotaka. Papan tanda menunjukkan kami memerlukan 30 minit untuk ke puncak namun saya mengambil masa 1 jam memanjat bongkah-bongkah batu yang menegak hampir 80 darjah itu. Akhirnya saya dan teman sampai di puncak Mae Hotaka pada pukul 3:30 petang.




     Puncak Mae Hotakadake 3090 meter merupakan puncak ke 11 tinggi di Japan. Setelah merakam gambar kenangan dan berehat sebentar di puncak ini, kami turun semula dari arah kami mendaki tadi dan meneruskan perjalanan pulang ke tapak khemah di Dakesawa Hut untuk bermalam. Saya sampai di tapak khemah pada jam 6:00 petang. 
     Keesokan paginya kami bergerak turun pada pukul 6:30 pagi dan sampai di Jambatan Kappa-Bashi pada pukul 9:30 pagi. Kami singgah di sini, merakam gambar dan membeli cenderamata di kedai tepi sungai ini sebagai kenangan. 


Jambatan Kappa Bashi antara "spot" popular merakam gambar


      Kami kemudiannya mengambil bas ke Shinshimashima dan meneruskan perjalanan ke Matsumoto dengan menaiki keretapi. Kami sampai di Matsumoto pada pukul 1:15 tengahari dan meneruskan perjalanan ke Tokyo setelah membersihkan diri.




        Setelah berjaya sampai di puncak Oku hotakadake, maka lengkaplah XPDC Japan 1234 yang dirancang oleh seorang teman pendaki. Saya bercadang ke sini lagi untuk mendaki puncak Gunung Yari dan puncak lain yang terletak di Northern Alp jika ada rezki di masa akan datang. Jika ke sini lagi, saya bercadang mendaki dari jalur yang lain pula. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Ada 2 cara untuk ke Kamikochi dari Matsumoto iaitu menaiki keretapi ke Shinshimashima dan meneruskan perjalanan dengan bas kemudiannya dari shishimashima ke kamikochi atau langsung menaiki bas express dari Matsumoto ke Kamikochi.
2- Tidak memerlukan permit dan guide untuk mendaki gunung di Banjaran Kita.
3- Trek di tanda dengan jelas dan cara mudah adalah bertanya kepada pendaki lain yang seiring atau yang berselisih kerana terdapat banyak jalur di banjaran ini.
4- Sewa tapak khemah di Dakesawa Hut adalah 1000 yen seorang.
5- Batu-batu di gunung ini tidak kukuh kedudukannya, pemakaian helmet amat digalakkan untuk keselamatan (helmet boleh di sewa di Dakesawa Hut).