Selasa, 15 Ogos 2023

Trekking di Kashmir Great Lake



Trekking di Kashmir Graet Lake, itulah tujuan utama saya ke India buat pertama kali pada akhir July 2023. Hari pertama sampai di Srinagar, saya dan tiga teman sepatutnya meneruskan perjalanan ke Sonamarg tetapi kami menghadapi sedikit masalah menyebabkan kami terpaksa bermalam di Srinagar dan meneruskan perjalanan keesokkan harinya. Dipendekkan cerita, kami bertolak ke Sonamarg awal pagi esoknya sekitar jam 5:00 pagi. Sonamarg terletak sekitar 80 kilometer dari Srinagar dan mengambil masa kira-kira tiga ke empat jam untuk sampai, jalan dari Srinagar ke Sonamarg hanya boleh dilalui sehingga jam 15:00 petang sahaja. 



Hari pertama.
Srinagar - Sonamarg 2730 meter - Nichnai Camp Side 3475 meter.
Hampir sejam perjalanan, kami sampai di tempat sekatan jalanraya yang dikelolakan oleh pihak tentera. Di sinilah tempat dimana perjalanan tidak dapat diteruskan ke Sonamarg dan bandar lain selepas jam 15:00 petang. Kami menunggu agak lama di sini sehingga pintu halangan dibuka dan kenderaan dibenarkan meneruskan perjalanan. Kemudian kami singgah di sebuah kedai makan untuk bersarapan. 


Selepas sarapan, kami menuju ke Sonamarg di mana jalur pendakian bermula. Dalam perjalanan ke sana pemandu menunjukkan kepada kami simpang ke Naranag, tempat di mana trekking kami akan berakhir nanti. Kami akhirnya sampai di Shitkari, Sonamarg tempat permulaan trekking sekitar jam 08:30 pagi. Setibanya di sana kami diperkenalkan kepada guide dan pembantunya yang akan menemani kami sepanjang tujuh hari trekking di Banjaran Himalaya bahagian Kashmir India nanti. Kami dijamu segelas teh panas dan bekalan makan tengahari sebelum memulakan pendakian.


Kami memulakan pendakian sekitar jam 09:00 pagi. Cuaca pagi itu agak redup dan jalur agak menegak menyebabkan saya tercungap-cungap. Tiba di atas bukit yang tinggi itu saya sedikit pening kerana mungkin mula diserang AMS. Di atas bukit sana kami disambut sekumpulan tentera dan menyerahkan passport untuk diperiksa. Pemeriksaan tidak mengambil masa kerana sekadar memenuhi tugas. Kemudian kami meneruskan pendakian sehingga sampai di atas sebuah bukit yang dipanggil Top Table pada jam 12:30. Terdapat sebuah gerai di sini, kami berehat sebentar sambil minum dan makan maggi.



Sekitar jam 13:00 kami meneruskan perjalanan. Kami melalui hutan yang redup dikenali sebagai Shodakari Birth Forest dan kemudian menyusuri jalur menurun selari arus sungai. Kami juga mula melintasi tompok- tompok salji yang masih beku dan kami singgah makan tengahari di tepi sungai.








Tujuan hari pertama ini adalah bermalam di Nichnai Camp Side 3475 meter. Kami sampai di tapak khemah sebelah sungai ini pada jam 16:00 petang. Terdapat beberapa kumpulan lain yang mendirikan khemah di sebelah sungai sana. Sepanjang trekking hari ini, kadang-kala perjalanan kami dilanda hujan. Sampai di camp side, hujan mula berhenti dan di sebelah malam jutaan bintang bertaburan di langit gelap. Saya yakin esok cuaca akan kembali cerah kerana terdapat banyak bintang di langit.




Hari kedua. 
Nichnai Camp Side - Nichnai Pass 4100 meter - Vishensar Camp Side 3658 meter.
Hari ni kami akan melintasi puncak banjaran iaitu Nichnai Pass yang berketinggian 4100 meter. Pagi itu hujan yang melanda sejak awal pagi tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Jam 09:00 kelihatan kumpulan lain meninggalkan tapak perkhemahan. Kami bertolak agak lewat pagi itu sekitar 09:10 pagi dalam cuaca yang masih gerimis. Sepanjang perjalanan cuaca masih hujan dan kami sampai di Nichnai Pass sekitar jam 16:30 petang. Terdapat gerai minuman di puncak banjaran itu dan kami singgah di sana untuk berteduh seketika sambil minum, makan roti telor dan maggi. Terdapat ramai pendaki tempatan di dalam gerai tersebut dan kumpulan mereka terpaksa berpatah balik setelah menunggu dua malam di Vishensar Camp Side kerana hujan dan perjalanan tidak dapat diteruskan.






Setelah melintasi Nichnai Pass 4100 meter, trek menurun dan agak landai tetapi jauh. Saya agak lega bila melihat khemah kami didirikan 30 minit sebelum sampai di Vishensar Camp Side. Tempat khemah di sini bersih dan pemandangan di sini juga cantik. Kami sampai di sini sekitar jam 19:00 petang.








Hari ketiga. 
Terdampar di Vishensar Camp Side 3685 meter.
Walaupun semasa sampai di camp side hujan telah berhenti dan cuaca semakin baik, tapi setelah tengah malam hujan mula turun. Menurut ramalan cuaca, dua hari awal pendakian kami hujan, hari ketiga dan seterusnya cuaca baik. Hari ketiga adalah hari paling sukar kerana kami akan menyeberangi puncak banjaran yang paling tinggi di Kashmir Great Lake ini. Guide mengambil keputusan menggunakan hari extra (buffer day) di sini sementara berharap cuaca kembali baik keesokkan harinya untuk meneruskan pendakian. Kami berehat semahunya di sini. Cuaca di gunung sukar diramal.




Hari keempat
Vishensar Camp Side 3685 meter - Gadsar Pass 4200 meter - Gadsar Camp Side 3567 meter.
Hari paling mencabar dalam carta trek Kashmir Great Lake kerana trek hari ini menyeberangi puncak banjaran Gadsar Pass. Kami memulakan perjalanan sekitar jam 08:00 pagi. Kami melintasi tasik Vishensar dan tasik Kishensar dalam pendakian ke Gadsar Pass. Dalam perjalanan menuju Gadsar Pass kami berselisih dengan kumpulan pendaki tempatan yang berpatah balik kerana kuda mereka enggan turun ke sebelah sana disebabkan trek bahaya dan licin. Saya berdoa pengembala kuda kumpulan kami berjaya memujuk kuda agar nasib kami tidak seperti mereka. Setelah sampai di puncak Gadsar Pass kami meneruskan perjalanan turun di sebelah sana dan melintasi pula Tasik Gadsar dan kami bermalam di Lembah Gadsar 3567 meter. Kami sampai di Gadsar Camp Side sekitar jam 16:50 petang.



































Hari kelima
Gadsar Camp Side 3567 meter - Mengan Dob 3600 meter.
Hari ini kami mula trekking sekitar jam 09:20 pagi, kami melintasi Lembah Satsar,  Dhoobha Pani dan melintasi tiga buah Tasik Satsar yang cantik. Hari ini tiada sempadan banjaran yang kami lintas tetapi trek tetap menaik dan menarik. Trek hari ini dipenuhi bunga-bunga kuning yang cantik. Setelah melalui tiga buah Tasik Satsar, kami sampai di Mengan Dob Camp Side sekitar jam 15:00 petang.


















Hari keenam
Mengan Dob 3600 meter - Zacheball Pass 4150 meter - Nundkol Lake 3400 meter.
Kami memulakan trekking hari ini awal sekitar jam 07:30 pagi, melintasi puncak banjaran Zacheball Pass 4150 meter dan menyaksikan dua tasik yang popular di trek Kashmir Great Lake ini iaitu Tasik Gangbal dan Tasik Nundol yang dikenali sebagai Twin Lake. Kami sampai di Nundkol Camp Side sekitar jam 14:00 petang. Di tasik ini pembantu guide kami berjaya memancing Ikan Troat dan menjamu kami ketika makan malam.



















Hari ketujuh
Nudkhol Lake 3400 meter - Naranag 2275 meter.
Hari terakhir ini kami memulakan trekking pada jam 08:30 pagi. Trek hari ini kami melalui Trail Butsheri dan trek banyak menurun. Melayan trek zigzag sehingga ke Kampung Naranag sungguh menduga kesabaran. Kami sampai di Naranag sekitar jam 13:30 petang. Perjalanan trekking kami di Kashmir Great Lake selama tujuh hari berakhir di sini.













Kashmir Great Lake Trek dibuka tiga bulan  setahun dari bulan July hingga September bergantung keadaan cuaca. Trek bermula dari Sonamarg dan berakhir di Naranag atau sebaliknya. Berjarak sekitar 65 kilometer dan mengambil masa tujuh hari termasuk satu hari extra (buffer day). Menyeberangi tiga puncak di Banjaran Himalaya dalam enam hari trekking di mana ketinggian setiap puncak melebihi ketinggian Gunung Kinabalu. Di banjaran ini pemandangan sungguh indah, bunga-bunga mengembang mewarnai gunung yang kehijauan, ribuan mungkin jutaan biri-biri jinak meragut rumput, jutaan bintang bertaburan di langit, air gunung dan air terjun yang bersih sehingga boleh terus di minum, salji mencair mengalir di sungai yang jernih, trek yang cantik terutama tasik yang menjadi tarikan pesona utama di banjaran ini. Semua ini pasti tiada di tempat lain, datanglah trekking di sini. Jalur di sini sungguh indah dan lebih cantik dari dalam gambar. Terima kasih Allah.

Contact: Nawab:+918825034611.
Itinerary:
Hari 1- Srinagar- Shitkari, Sonamag 2730 meter - Nichnai Camp Side 3475 meter.
Hari 2- Nichnai Camp Side - Nichnai Pass 4100 meter - Vishensar Camp Side 3683 meter.
Hari 3 - Terdampar di Vishensar Camp Side (hujan).
Hari 4 - Vishensar Camp Side - Gadsar Pass 4200 meter - Gadsar Camp Side 3567 meter.
Hari 5 - Gadsar Camp Side - Mengan Dob 3600 meter.
Hari 6- Mengan Dob - Zacheball Pass 4150 meter - Nundkol Camp Side 3400 meter.
Hari 7- Nundkol Camp Side - Naranag 2275 meter.