Rabu, 4 November 2020

Mendaki Gunung Elvira via Air Hitam Dam

 


Ada banyak trek ke puncak gunung ini. Awal November 2020, saya dan sebelas orang teman mendaki ke gunung ini dari Air Hitam Dam dan berakhir juga di sini. Mengikut penilaian Hamzah yang telah ke Gunung Elvira ini, jalur dari Air Hitam Dam ke puncak dianggarkan sekitar 11 kilometer pergi dan pulang. Trek pula sekitar 80 peratus melalui jalan mini tar manakala 20 peratus merentasi hutan belukar. Kami memakir kenderaan di tapak pakir di Air Hitam Dam. Setelah semua bersedia, kami memulakan perjalanan pada jam 08:40 pagi melalui jalan mini tar yang dibina mengelilingi Dam sebagai tempat berjogging sehingga bertembung di persimpangan belah kiri jalan.



Melalui simpang ke kiri yang masih diturap dengan mini tar, kami berjalan sehingga sampai di sebuah tokong. Jalan menegak sekitar 30 darjah. Kami berehat sebentar di sebuah pondok berbumbung zink di hadapan tokong tersebut sekitar 20 minit, tambahan pula hujan renyai pagi itu.

Kemudian kami meneruskan trekking melalui mini tar di sebelah kiri tokong sehingga kami jumpa  sebuah lagi pondok dan kami berehat lagi di pondok tersebut. Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di kawasan kebun bunga milik persendirian. Saya dan teman-teman sangat teruja berada di kawasan ini. Kami bergambar semahunya di kawasan bunga yang sedang berkembang cantik ini.


Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga ke penghujung kawasan kebun bunga. Kawasan kebun bunga terdapat anjing. Pendaki harus hati-hati.





Di penghujung kawasan kebun bunga ini kami mulai trekking jalur hutan, trek agak menegak dan ditandai sedikit cat merah di beberapa tempat sehingga ke puncak Gunung Elvira. Kami sampai di puncak Gunung Elvira 720mdpl pada jam 11:15 pagi. Tiada pemandangan yang dapat dilihat dari puncak ini kerana dikelilingi pohon yang tinggi dan paku pakis yang tebal.


Kami kemudian bergerak turun pada jam 11:40 pagi melalui lorong pakis resam di sebelah kiri puncak. Dari sini, jika cuaca cerah kita akan dapat melihat Jambatan Pertama Pulau Pinang. Lorong agak semak namun masih boleh dilalui. Kami akhirnya bertembung semula dengan jalan mini tar dan meneruskan perjalanan turun dibelah kanan. Dalam perjalanan turun kami singgah sebentar di air terjun untuk bergambar.



15 minit kemudian kami meneruskan perjalanan turun dan singgah di sebuah anak sungai untuk makan tengahari. Jam13:30 setelah selesai makan, kami meneruskan perjalanan sehingga kami bertembung dengan jalan mini tar yang dibina mengelilingi Dam. Kami meneruskan perjalanan melalui mini tar di belah kiri sehingga sampai semula di tapak pakir kereta pada jam 14:15 petang. Ini bermakna kami juga telah mengelilingi Air Hitam Dam.




Terdapat banyak simpang semasa mendaki ke puncak dari jalur Air Hitam Dam. Jika anda tidak pernah melalui jalur ini, baik kiranya anda menggunakan khidmat guide atau ditemani teman yang pernah melalui jalur ini.

Nota:
1-Rekomen Guide: Hamzah : 019 4744752
2-Parkir kereta percuma.
Itenerary:
08:30-Berkumpul di tempat parkir Air Hitam Dam.
08:40-Mula trekking.
11:15-Sampai puncak Gunung Elvira 720 mdpl.
11:40-Bergerak turun.
12:35-Singgah di air terjun.
12:50-Singgah makan di tepi anak sungai.
13:30-Meneruskan perjalanan turun.
14:20-Sampai parkir Air Hitam Dam. Bersurai.

Ahad, 1 November 2020

Mendaki Gunung Tangga via Loging Gua Musang, Cameron Highlands


Trek gunung ini tiada bertangga walaupun nama gunung ini Gunung Tangga. Saya dan teman-teman mendaki ke gunung yang terletak di Kelantan ini pada akhir October 2020. Kami sampai di RnR Loging Gua Musang sekitar jam 3:00 pagi. Kami berehat dan membuat persiapan serba sedikit sementara menunggu masa mendaki. Jam 06:40 setelah berkenalan dengan penunjuk arah dan semua bersedia, kami menaiki powil ke starting point dan sampai di sana sekitar jam 07:00 pagi. Kami di temani dua orang Guide dari Silver Outdoor dan seorang guide tersohor Pak Kassim. 


Di permulaan trek, kami berkongsi jalur dengan paip air. Kami menyeberangi beberapa anak sungai dan setelah trekking sekitar 30 minit, kami sampai di Air terjun Sungai Wi Kecil. Kami berehat sebentar sambil merakam gambar di air terjun ini.



Kemudian kami meneruskan pendakian dan trek berpaip masih lagi merebut jalur menyebabkan saya sedikit bosan kerana saya tidak suka trekking di atas paip yang licin dan kawasan bertanah agak terhad dan becak. Jalur jelas dan menuju ke Kem Pakma jalur agak landai.



Jam 08:00 pagi kami sampai di Kem Pakma di mana sarang Bunga Refflesia sering berkembang. Antara sebab Gunung Tangga didaki adalah kerana bunga yang dikatakan antara bunga terbesar di dunia sering berkembang di sini. Bunga Refflesia menggambil masa sembilan bulan dari berputik sehingga kuncupnya matang untuk berkembang dan ia hanya berkembang mekar sekitar seminggu sebelum layu dan membusuk.


Kami mengambil masa sekitar setengah jam bergilir mengambil gambar di Bunga Refflesia ini sambil bercerita dengan Pak Kassim yang berpengalaman di hutan Semenanjung. Jam 08:30 kami meneruskan pendakian dan mendaki Bukit Meranti yang agak menegak. Di jalur ini kami bergambar dengan sepohon pokok meranti yang besar gagah mempasak bumi. Kami memerah keringat kerana trek ke puncak Gunung Tangga ini jauh dan agak menegak. Setelah melintasi Check Point 1, Check Point 2, Last Water Point, kami akhirnya sampai di Kem Tengah sekitar jam 12:30 tengahari. Kami berehat di sini, makan tengahari sebelum meneruskan pendaki ke puncak yang berbaki sekitar sejam setengah perjalanan.      




Jam 13:10 petang saya dan beberapa orang teman meneruskan pendakian sementara teman-teman yang lain mengambil keputusan menunggu dan berehat di Kem Tengah setelah penat memandu waktu malam dalam perjalanan ke sini malam tadi. Kebiasaannya Gunung Tangga didaki dua hari satu malam namun kerana pendemic Covid19, kami cuba mendaki secara daypack. Lumrah pergunungan di Cameron Highlands, semakin sampai ke puncak, jalur akan dihiasi hutan berlumut.





Kami menghabiskan banyak masa di kawasan serba hijau yang nyaman ini. Tambahan pula guide kami agak penyabar dan bertoleransi bila teman-teman saya galak bergambar di sini. Kami kemudiannya meneruskan baki pejalanan dan sampai di puncak Gunung Tangga di ketinggian 2014 mdpl pada jam 15:00 petang. Kami berehat dan merakam gambar di puncak comel ini sekitar 30 minit. Tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat dari puncak ini kerana ruang terbuka agak terhad. 







Kami kemudiannya turun pada jam 15:30 petang dan sampai di Kem Tengah sekitar jam 17:00 petang. Setibanya di Kem Tengah, teman-teman yang menunggu di sana telah berangkat turun seperti diarah oleh Guide dan mereka akan menunggu kumpulan kami di Kem Pakma nanti dan akan turun bersama ke tempat powil menunggu.



Kami sampai kembali RnR Loging Gua Musang sekitar jam 23:00 malam, setelah trekking selama 15 jam. Beberapa kali saya mendaki bersama Team Silveroutdoor beberapa tahun dahulu, walaupun Guide silih berganti, sememangnya saya merasa selesa dan selamat. Guide Udin berpengalaman, setiap soalan yang saya acukan mendapat jawapan tepat dan yakin manakala key seorang yang sabar, saya anggap mereka secara peribadi 'Guide Local Level International'. Tambahan dengan usia yang semakin meningkat, saya sangat menitik berat tentang pemilihan guide bila mendaki. Terima Kasih Allah.

Nota:
Contack guide:
Silveroutdoor +60194518380

Itenerary:
06:40 Naik powil.
07:00 Start mendaki.
07:30 AirTerjun Sungai Wi Kecil.
08:00 Kem Pakma.
08:30 Bukit Meranti.
12:40 Kem Tengah.
13;10 mendaki ke puncak
15:00 Sampai puncak Gunung Tangga.
15:30 Start turun.
22: 30 Sampai starting point mendaki, naik powil
23:00 sampai RNR Loging.

Selasa, 13 Oktober 2020

Mendaki Gunung Siku Cameron Highlands dari BHPertol.


Saya mengikuti seorang teman yang juga seorang guide yang membawa sekumpulan pendaki ke Gunung Siku Cameron Highlands ini pada awal October 2020. Perjalanan kami bermula di stesen minyak BHPetrol, sesudah sarapan di gerai sebelah Masjid Kampung Raja. Setelah semua bersedia, kami menyeberangi jalan raya di hadapan stesen minyak tersebut dan menyusuri kawasan kebun sayur milik persendrian. 

                                        

Sampai di tengah kawasan perkebunan, kami berkumpul semula dan Faizal selaku ketua guide pagi itu memberi sedikit taklimat dan penerangan mengenai jalur ke puncak yang akan kami lalui nanti. Setelah berkenalan sekadarnya, kami meneruskan perjalanan mendaki Gunung Siku ditemani tiga orang guide kerana bilangan kami sekitar 20 orang. 


                                       

Seperti kebanyakkan trek gunung di Tanah Tinggi Cameron Highlands, jalur menuju puncak Gunung Siku berbecak. Disebabkan kedudukkan gunung ini di tanah tinggi, semakin menghampiri puncak, lagi lebat hutan lumut yang kami tempuhi. Kebanyakan pendaki akan menghabiskan masa berfoto di kawasan yang sinonim dengan cerita wayang "Lord Of The Ring" ini.





Saya sampai di puncak Gunung Siku di ketinggian 1916 mdpl pada jam 11:15 pagi. Cuaca hari itu cerah dan kami dapat melihat puncak- puncak gunung lain seperti puncak Gunung Bah Gading, Yong Belar, Irau, Yellow dan beberapa puncak lain di Banjaran Titiwangsa yang menjadi tunjang dan pasak bagi mengukuhkan kedudukan Tanah Tinggi Cameron Highlands di peta Malaysia. 




Kami mulai turun sekitar jam 13:30 petang dan sampai di kebun sayur di hadapan Stesen Minyak BHPetrol pada jam 15:00 petang. Nasib kami agak baik kerana jalur yang dilalui kurang berlumpur. Setibanya kamu di bawah, hujan mula menyimbahi bumi. Terima kasih Allah.

Nota:
1. Pendakian ke Gunung Siku wajib mohon permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
2. Wajib ambil guide. 
Rekomen guide:
A. Faizal tel:011 21586990
B. Yoyo tel:013 5179192

Itinerary:
07:00 Sarapan di gerai sebelah Masjid Kampung Raja.
07:30 Bertolak ke BHPetrol. Parking kereta di sana.
08:20 Start mendaki.
11:15 Sampai Puncak Gunung Siku.
13:30 Bergerak turun.
15:00 Sampai bawah di BHPetrol.