Selasa, 27 Mac 2018

Penang dan basikal



Berbagai cara pelancong mengelilingi Penang. Kebiasaannya pelancong mengelilingi pulau ini dengan motosikal dan kereta. Saya juga sering mengelilingi pulau ini dengan kenderaan berinjen. Kali ini saya ingin kongsi cerita saya mengelilingi Pulau Mutiara dengan basikal bersama seorang teman yang sering melakukan aktivity berbasikal mengelilingi pulau ini. Kami berdua memulakan perjalanan ini dari Bayan Lepas sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Penang memandangkan saya tinggal di kawasan ini. Kami menuju ke Teluk Kumbar dan menyusuri jalan baru menghala ke Balik Pulau.


Jalan baru yang dibina di atas "flyover" ini amat selesa dan menyajikan pemandangan indah. Dari jalan ini kita dapat menyaksikan lautan biru. Tetapi mengayuh basikal di jalan lebar ini harus berhati-hati kerana kenderaan dipandu laju di kawasan ini. Jalan sedikit mendaki memaksa kami memerah keringat sehingga sampai di Bukit Genting. Kemudian kami menuruni bukit sehingga sampai ke Balik Pulau. Kami meneruskan kayuhan ke Sungai Rusa dan kebiasaannya kami akan singgah sebentar di warung tepi jalan di kawasan ini untuk makan. Kemudian kami meneruskan kayuhan menyusuri jalan pinggir sawah padi menghala ke Sungai Pinang.


Kami singgah sebentar di Teratak Sri Pinang yang terletak hadapan Balai Polis Sungai Pinang. Teratak Sri Pinang ini menarik perhatian kami kerana terdapat banyak himpunan basikal tua yang dipamer di luar pagar rumah ini. Penjaga rumah itu berkata, asalnya rumah yang menghimpunkan banyak barang lama dan antik itu disediakan untuk lawatan, namun ia kelihatan seperti tertangguh. Di Teratak Sri Pinang ini juga terdapat banyak mesin getah dan lesung batu kisar.





Kami kemudiannya meneruskan kayuhan menghala ke Teluk Bahang. Jalan ke Teluk Bahang sedikit mendaki bukit dan melalui jalan hutan dan bengkang bengkok. Kami memerah keringat untuk meneruskan kayuhan semasa melalui jalan ini. Dalam perjalanan ke Teluk Bahang ini kami singgah di Titi Kerawang yang menjadi antara "spot" lawatan sekiranya pelancong melawat Penang.



Kami berehat agak lama di sini. Bertegur sapa dengan beberapa orang pengayuh basikal yang juga melakukan aktivity yang sama kami lakukan. Terdapat deretan gerai menjual buah-buahan dan minuman di kiri jalan di sini.





Kami meneruskan kayuhan secara santai dan singgah di beberapa tempat untuk berehat dan merakam gambar. Antara tempat wajib singgah jika berkayuh menghala Teluk Bahang adalah "spot" yang dikenali sebagai Point 800 meter.



Kami teruskan kayuhan menghala ke Teluk Bahang, jalan agak menurun dan redup namun agak berbahaya kerana berbelok-belok. Terdapat banyak gerai menjual buah durian di pinggir jalan dan ramai pelancong menikmati buah durian ketika kami menyusuri jalan ini. Kami kemudian sampai ke Dam Teluk Bahang yang indah. Kami berehat sebentar di Kawasan Tadahan Air Pulau Pinang ini sambil merakam gambar.



Kemudian kami teruskan kayuhan menghala ke "roundabout" Teluk Bahang dan mengambil jalan menghala ke Batu Peringgi. Dalam perjalanan ke sana kami singgah sebentar di pintu masuk Hutan Rimba Teluk Bahang dan Butterfly Farm untuk merakam gambar.



Dari Batu Peringgi kami menuju ke Tanjung Bungah dan singgah sebentar di gerai pinggir jalan untuk berehat dan makan Laksa. Kemudian kami berkayuh ke Tanjung Tokong dan terus ke Gurney Drive ataupun dikenali juga sebagai Padang Kota Baru. Mengayuh menuju ke Gurney Drive, pengayuh harus berhati-hati kerana terdapat banyak kenderaan yang dipandu laju dan suasana di bandar agak sibuk kerana melalui kawasan popular pelancong di Penang.



Kami teruskan kayuhan menuju Padang Kota Lama menyusuri jalan tepi laut, ke Kota Cornwallis dan terus menghala ke Jetty Terminal. Dari sana kami mengayuh menuju Jelutong melalui lebuhraya pinggir laut dan mulai Stesen Minyak Shell di lebuhraya tepi laut Jelutong, kami menyusuri jalan trek basikal yang disediakan.



Mengayuh di trek basikal yang disediakan pinggir laut dan di sisi jalan raya yang sibuk amat menyelesakan bagi saya. Rasa amat selamat dari deruan injen kenderaan yang dipandu laju. Kami mengayuh di trek ini dan memintas di bawah jambatan pertama. Terdapat ramai pemancing dan pengunjung beriadah di bawah Jambatan Pertama Pulau Pinang ini.


Jambatan pertama Penang


Menyusuri trek berbasikal ini kami menuju ke Queenbay Mall yang merupakan salah satu pusat beli belah terkenal di Penang. Kami terus menyusuri trek berbasikal ini sehingga binaan trek berakhir iaitu di susur masuk jambatan ke 2 Penang. Setelah laluan berbasikal berakhir di susur jambatan ke 2, saya meneruskan kayuhan melalui jalan besar menuju ke Batu Maung dan tamat di Bayan Lepas.

Jambatan ke 2 Pulau Pinang



Jika anda berkayuh di Penang dan mempunyai masalah dengan basikal boleh hubungi atau cari  kedai basikal di bawah ini. Pekerja di kedai ini ramah dan pakar dalam urusan basikal.


Tidak sabar menunggu litar berbasikal keliling Penang siap dibina untuk keselamatan pengayuh yang suka aktivity berbasikal dan saya berharap litar berbasikal itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Terima kasih Allah kerana rezeki kesihatan yang baik untuk melakukan aktivity ini.


Ahad, 18 Mac 2018

Piha Beach dan Air Terjun Kitekite Auckland

Berkenalan dengan dua pemuda semasa makan di Restaurant Uncle Man di Auckland telah membawa saya dan lima teman yang dalam perjalanan menerokai Pulau Utara New Zealand ke Pantai Piha yang terkenal ini. Pelawaan ikhlas mereka membawa kami ke pantai yang terletak 40 kilometer di barat bandaraya Auckland. Perjalanan ke sana menaiki kereta mengambil masa hampir sejam.


Jalan ke Piha Beach atau Pantai Piha seperti jalan ke Batu Peringgi di Penang yang berbelok-belok menyusuri tepi laut. Di beberapa bahagian, bahu jalan dilebarkan supaya pengunjung boleh memakir kenderaan untuk melihat panorama indah dalam perjalanan ke pantai ini. Kami juga tidak melepaskan peluang berhenti di salah satu perhentian untuk menyaksikan pemandangan indah Pantai Piha dari jauh. Selepas melalui jalan yang bengkang bengkok, akhirnya kami sampai di perkampungan Pantai Piha. Berderet kereta dipakir kiri dan kanan jalan menunjukkan pantai ini popular di kalangan penduduk tempatan dan orang luar. Kami juga memakir kereta di celah-cerah kenderaan yang terdapat di deretan tepi jalan itu. Memandangkan tapak pakir yang disediakan agak jauh dari pantai, kami memilih untuk pakir di tepi jalan seperti kebanyakan pengunjung lain.



Terdapat tandas awam di kawasan pakir tepi jalan sebelum kami memasuki kawasan Pantai Piha. Kami berjalan ke arah Pantai Piha yang berpasir halus berwarna hitam. Pasirnya panas dan terdapat sebongkah batu besar yang dinamakan Lion Rock di Pantai Piha ini. Ia digelar Lion Rock kerana bentuknya yang menyerupai kepala singa. Ketinggian Lion Rock adalah 101 meter dan pengunjung boleh mendakinya untuk melihat keindahan Pantai Piha dari aras yang tinggi.


Kami mengambil kesempatan mendaki Lion Rock tersebut untuk menyaksikan keindahan Piha Beach yang terkenal di Auckland ini. Walaupun ketinggiannya cuma 101 meter, pengunjung tidak dibenarkan mendaki hingga ke puncak Lion Rock ini. Ada sempadan yang dipangar dan ditanda agar pengunjung cuma berada di had yang dibenarkan sahaja namun dari paras tersebut, pengunjung berpeluang melihat keseluruhan pantai piha.





Mendaki ke had yang dibenarkan di Lion Rock ini mengambil masa sekitar 10  hingga 15 minit sahaja. Kami berehat di sana sekitar 30 minit dan selepas turun kami dibawa ke Air Terjun Kitekite yang berjarak sekitar 15 minit memandu dari Piha Beach.



Setelah sampai di tapak pakir di Air Terjun Kitekita, kami perlu trekking sekitar 30 minit untuk ke air terjun tersebut. Jalur trekking ke air terjun tersebut landai dan hampir 20 minit trekking, kami nampak Air Terjun Kitekite yang kelihatan bertingkat tiga. Kami juga nampak beberapa orang sedang gembira mandi manda di puncak air terjun yang cantik itu.




Kami berehat di air terjun ini sekitar 30 minit. Merakam gambar kenangan dan bermain dengan air terjun yang dingin ini seketika. Kemudian kami meninggalkan air terjun dengan peminatnya yang sedang mandi manda untuk pulang ke Bandaraya Auckland. Sampai di tapak pakir kami berehat sebentar menghilang penat dan mengeringkan peluh setelah trekking 30 minit lagi. Terdapat tandas di tapak pakir ini.




Tiada pengangkutan awam untuk ke Piha Beach ini. Pengunjung boleh ke sini dengan menyewa kenderaan atau mengambil pakage dari tour agency jika mahu ke sini atau pilihan lain seperti berbasikal. Terima kasih kepada Tivan dan Rosli yang ikhlas membawa kami ke sini, semoga kalian berjaya mencatur hidup di bumi indah di sana. Selesa menerokai Pulau Utara New Zealand ini. Pakir kereta dan tandas awamnya percuma dan bersih. Terima kasih Allah.

Khamis, 8 Mac 2018

Pulau Utara New Zealand yang unik dan mempesonakan


Ramai yang kata, Pulau Selatan New Zealand lebih cantik daripada Pulau Utara. Ada yang bertanya,  kenapa pergi pulau utara sebab pemandangan yang cantik di pulau selatan. Pada saya semua tempat di muka bumi ini cantik, ada keunikkan tersendiri, budaya mereka sendiri dan punya cerita mereka sendiri.


Saya dan sembilan orang teman menerokai keindahan Pulau Utara New Zealand ini di akhir bulan November 2017 selama lapan hari. Seorang penyambut tetamu hostel di Rotorua berkata, "kamu memerlukan masa lapan bulan untuk menerokai pulau utara yang menarik ini". Dengan kenyataan orang tempatan yang mengenali tempat mereka, pasti pulau utara ini sangat menarik dan banyak keistimewaannya. Kami sampai di Auckland sekitar jam 5:00 petang. Setelah semua bersedia, kami menaiki van sewa pandu sendiri dari airport bagi memudahkan pergerakan kami ketika di sana. Kami singgah sebentar di pasaraya Countdown sekitar 5 minit memandu dari airport untuk membeli makanan dan keperluan sebelum perjalanan menarik ini bermula. Kemudian kami terus bergerak ke bandar Matamata untuk bermalam. Keesokan paginya sekitar jam 7:00 pagi selepas sarapan dan "check out", kami melawat Hobbiton yang sangat popular di serata dunia.




Hobbiton merupakan perkampungan imaginasi pencipta dan karyawan yang berjaya mempengaruhi peminat-peminat filem tentang dunia orang kerdil yang memecah rekod perfileman abad ini. Perkampungan di ladang milik persendirian ini dibina beberapa tahun sebelum pengambaran siri filem "The Lord Of The Ring" dan rangkaian filem "The Hobbit" dilakukan. Kami sampai di tapak parkir sekitar jam 9:00 pagi dan mendapat ticket menaiki bas ke perkampungan ini pada jam 11:05 pagi. Sementara menunggu giliran menaiki bas, kami merakam gambar dan membeli cederamata product kedua-dua filem ini. Setiap bas membawa sekitar 40 orang penumpang dan seorang guide menemani sambil menerangkan tentang perkampungan filem ini sepanjang lawatan berlangsung.






Terdapat sebanyak 44 buah rumah Hobbit yang dibina di perkampungan ini. Guide di Hobbiton ini menceritakan setiap adengan yang dirakam di tempat yang kami singgah. Dia juga menunjukkan tasik buatan dan pokok tiruan yang boleh bercakap di dalam filem ini. Setiap adengan yang menarik di dalam filem ini diceritakan dengan jelas dan soalan yang diajukan kepada pelawat mendapat sambutan. Nampaknya saya yang tidak pernah menonton kedua-dua siri filem ini perlu menontonnya bila pulang nanti. Sebelum pulang kami dijamu segelas air percuma dalam lawatan di Hobitton ini.








Selesai lawatan di Hobbiton, kami ke bandar Matamata untuk makan tengahari. Matamata bandar yang kurang sibuk dan sebuah restaurant iaitu Fez Kebab di bandar ini halal. Terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata di deretan Fez Kebab ini.




Selesai makan kami meneruskan perjalanan ke Te Waihou Blue Spring. Te Waihou Blue Spring ini merupakan sungai jernih yang mengalir dari dataran tinggi Mamaku dan mempunyai hidupan rumpai yang tumbuh segar seperti taman di dasarnya. Ia digelar Blue Spring disebabkan airnya yang jernih kebiruan.





Selesai melawat Te Waihou Blue Spring, kami meneruskan perjalanan ke Rotorua untuk bermalam. Sampai di Rotorua cuaca masih cerah kerana kami ke sini pada musim panas di mana siang lebih panjang dari waktu malam. Sebelum "check in" ke hostel, kami ke Sulphur Point Walkway. Berjalan di Sulphur Point Walkway yang terletak di tepi Tasik Rotorua ini agak menyesakkan nafas kerana bau belerang yang menusuk hidung. Kami berjalan di Walkway ini sekitar 30 minit menyaksikan beberapa buah kawah kecil yang terbentuk dari muntahan gas bumi secara semulajadi.



Mengakhiri jadual kami di hari kedua, kami berhenti sebentar di hentian tepi Tasik Rotorua yang luas ini. Terdapat ramai pengunjung yang sedang merakam gambar dan berehat sambil menunggu matahari terbenam. Di hentian ini terdapat tandas awam dan jetty pendek tetapi yang mengindahkan lagi suasana di sini adalah kerana kehadiran burung camar yang banyak berterbangan melayani angin yang nyaman petang itu. Setelah puas melayani camar, kami pulang ke hostel dan bermalam di bandar Rotorua.



Hari ke tiga selepas sarapan kami bersiar sebentar di Jetty Tasik Rotorua. Terdapat perkhidmatan ferry untuk bersiar di tasik ini. Selain perkhidmatan ferry dan bot laju, perkhidmatan kapal terbang kecil juga tersedia di sini untuk pelancong menyaksikan keindahan Tasik Rotorua dan gunung berapi.





Kemudian kami ke Wai-O-Topu Thermal. Ada persembahan Lady Knox Geyser setiap hari pada jam 10:15 pagi. Berjalan kaki menyusuri trek yang dibina dan dijaga rapi di sini memudahkan kami melawat kawah-kawah sulfur berbagai warna dan saiz namun bau sulful yang menyesakkan nafas menyebabkan kami bergerak agak laju. Wai-O-Topu Themal ini dibuka setiap hari sepanjang tahun.











Kemudian kami ke Skyline Rotorua dan mencuba Sky Luge Rotorua di taman hiburan ini. Memandu kereta tanpa injen paras lantai menuruni bukit sedikit sebanyak menakutkan saya kerana gayat. Kami diberi sedikit tunjuk ajar bagaimana mengendalikan kenderaan tanpa injen ini dan pertama kali memandu kami cuma dibenarkan memandu di trek amatur. Kali kedua barulah kami dibenarkan memandu di trek pro dan kami membeli ticket untuk 3 pusingan bermain di sini.






Selesai aktivity di Sky Luge Rotorua, kami ke Redwood Rotorua. Di sini kami trekking sekitar 30 minit melihat keindahan hutan pokok yang tegak lurus menjulang ke langit. Di Redwood Rotorua berbagai aktivity riadah dilakukan penduduk setempat seperti berjogging, berbasikal dan sebagainya. Dikatakan tempat ini lebih cantik jika dilawati di waktu pagi ketika matahari terbit kerana pokok-pokok besar ini akan kelihatan kemerah-merahan.





Setelah merakam gambar di tempat cantik ini kami kembali semula ke bandar Rotorua untuk bermalam di backpackers hostel. Keesokkan pagi kami terus "check out" dan meneruskan perjalanan kami menerokai Pulau Utara New Zealand ini.


Hari ke empat kami ke Huka Falls. Huka Falls yang jernih kehijauan ini mengalir di Sungai Waikato iaitu sungai terpanjang di New Zealand. Huka Falls terjadi apabila aliran air Sungai Waikato yang lebar sekitar 100 meter menjadi sempit ketika melalui tebing gunung berapi di utara Tasik Taupo. Lebar sungai mengecil menjadi sekitar 15 meter menyebabkan air berpusu-pusu ketika melalui tebing ini dan menghasilkan arus yang deras menggila memukul tebing lalu membentuk ombak yang sangat bergelora. Aktivity Huka Jett sangat popular dan menjadi tarikan utama di sini. Huka Falls merupakan tempat mesti lawat jika anda berkunjung ke Rotorua. Tiada bayaran dikenakan untuk melawat ke sini dan kami menghabiskan masa sekitar 2 jam trekking menyusuri Sungai Waikato dan berehat sambil menikmati keindahan alam semulajadi di sini.





Kemudian kami singgah di bandar Turangi membeli makanan dan ke Lake Taupo untuk berkelah di tepi tasik terbesar di New Zealand ini. Tasik Taupo terbentuk dari letusan gunung berapi dan keluasannya menyamai saiz Singapura. Berbagai aktivity air dilakukan di Tasik Taupo ini seperti meluncur air, berlayar, berkayak dan yang paling popular adalah memancing. Bandar Turangi di sini merupakan bandar perikanan ikan Trout terbesar di dunia.





Setelah makan dan berehat sebentar,  kami meneruskan perjalanan ke Tongariro Alpine Crossing Track yang terletak di Taman Negara Tongariro yang merupakan tapak warisan dunia UNESCO. Trek ini merupakan antara trek paling popular di New Zealand. Semasa kami sampai di "head trail" Tongariro Alpine Crossing Track ini, hujan sedang lebat dan kami menunggu di pondok perhentian sehingga hujan berhenti. Kami mula trekking dari "head trail" Ketatahi Car Park dan penjalan kaki cuma dibenarkan memakir kenderaan selama 4 jam maksimum sahaja di sini. Ini bermakna para penjalan kaki cuma dibenarkan trekking selama 4 jam sahaja pergi dan pulang di Tongariro Alpine Crossing Track. Agak sukar membuat Tongariro Alpine Crossing selama 4 jam menyebabkan kami mengambil keputusan untuk pergi sejauh yang mampu sahaja.




Trekking di Tongariro Alpine Crossing ini memang mengujakan dan tidak hairan ia merupakan trek tercantik atau antara 10 "trek daypack" tercantik di New Zealand. Trekking di sini agak mudah dan pemandangan sungguh mempesonakan. Tongariro Alpine Crossing Track sepanjang 19.4 kilometer ini dipendekkan waktu trekking kerana keadaan cuaca di sini tidak menentu dan ia berubah secara mendadak. Jika mahu membuat Tongariro Alpine Crossing sepenuhnya penjalan kaki harus mengambil pakage dari agen berlesen yang mengendalikan aktivity di sini. Dari tempat terakhir kami berhenti trekking, kami melihat tasik Rotoaira yang terbentang luas.








Turun dari trekking di Tongariro Alpine Crossing kami terus ke Turangi untuk bermalam. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di tepi jalan yang dipenuhi bunga liar berwarna kuning. Sepanjang perjalanan kami di pulau utara ini terdapat banyak kawasan yang diliputi bunga kuning liar yang sedang berkembang dan kami berhenti sebentar untuk merakam gambar kerana teruja.




Hari ke lima, jadual kami trekking di Banjaran Pouakai yang terletak di Taman Negara Egmont. Perjalanan ke Taman Negara Egmont ini mengambil masa sekitar 5 jam termasuk 3 jam memandu di Forgotten World Highway yang terkenal di pulau utara ini. Jika anda mengembara di pulau utara ini, jangan lepaskan peluang menyusuri Fogetton World Highway yang menarik dan punya cerita unik di sepanjang perjalanan di sini. Highway ini sepanjang 150 kilometer yang bermula dari Taumarunui di Bandar Taranaki ke Stratford di King Country atau sebaliknya dan highway ini dibina pada abad ke-19. Dalam perjalanan di highway ini kami melalui satu terowong yang unik. Terowong Makahu ini merupakan terowong perintis yang dibina awal tahun 1900 yang menghubungkan Lembah Makahu dan Puniwhakau.





Kami berhenti sebentar selepas melalui Terowong Makahu yang hanya boleh dilalui satu kenderaan sahaja dalam satu masa untuk merakam gambar. Terowong tradisional ini kelihatan klasic, disangga dengan kayu menampakkan teknologi masa lampau lebih seabad yang lalu masih mampu bertahan hingga hari ini. Kemudian kami meneruskan perjalanan di Fogetton Wolrd Highway yang merupakan jejak warisan tertua di New Zealand dan singgah di bandar Whangamomona.


Bandar ini bukan sekadar bandar sepi seperti bandar koboi sahaja. Bandar unik ini merupakan sebuah Republik di Pulau Utara New Zealand yang mempunyai presidentnya sendiri. Republic Whangamomona mula menjadi republic pada tahun 1988 apabila Dewan Tempatan merancang untuk memecah Whangamomona menjadi dua wilayah iaitu daerah Taranaki dan daerah Manawatu-Wanganui. Mengenai Republic Whangamomona yang menarik adalah cerita tentang presidentnya. President pertama Republic Whangamomona adalah seorang manusia bernama Ian Kjestrup dari tahun 1989 sehingga 1999 selama 10 tahun. President keduanya adalah Billy The Kid iaitu seekor kambing dari tahun 1999 sehingga 2001. Dia menang pilihan raya dengan memakan undi pencabar lain. Nampak tak betapa uniknya Republic Whangamomona ini di mana presidentnya bukanlah hanya dari kalangan manusia.





Setelah menyusuri Forgetton World Highway sekitar 3 jam lebih, kami sampai di Taman Negara Egmont dan memulakan aktivity trekking di Banjaran Pouakai melalui Mangorei Track. Perancangan awal kami ke New Zealand adalah mendaki Gunung Reapahu tetapi gunung tersebut tidak dibenarkan mendaki buat masa sekarang, jadi kami beralih ke "plan b" iaitu mendaki Gunung Taranaki. Namun permohonan mendaki ke gunung ini juga tidak mendapat balasan dan akhirnya Apip sebagai ketua kumpulan mengambil keputusan untuk "halfday trek" di Banjaran Pouakai ini.


Banjaran Pouakai terkenal dengan pemandangan Gunung Taranaki yang cantik dan trek hutan berlumutnya yang mempesonakan. Ada banyak trek di Banjaran Pouakai ini dan terdapat juga kolam di salah satu trek di sini yang cukup cantik bila membias bentuk Gunung Taranaki di airnya. Kami trekking dari Mangorei Track. Dari "headtrail" berjarak 5 kilometer ke Pouakai Hut dan mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit trekking.





Kami memulakan trekking di jalur yang cantik, pokok-pokok diliputi lumut dan trekking di atas pelantar kayu yang dijaga rapi menyebabkan kami merasa nyaman dan santai. Menghampiri Pouakai Hut, trek agak terbuka dan kami bebas menyaksikan pemandangan indah di Banjaran Pouakai ini. Setelah lebih 2 jam trekking, kami sampai di Pouakai Hut yang boleh memuatkan 16 orang untuk bermalam. Kami berehat sebentar di pondok ini dan kemudian meneruskan pendakian sekitar 10 minit menuju ke atas.






Wow!!!. Perkataan pertama bila saya sampai di satu kawasan rata di atas. Pemandangan di atas tidak saya duga. Saya terpegun sebentar menyaksikan Gunung Taranaki yang indah berdiri dengan gayanya yang tersendiri. Di dataran yang lapang pertembungan persimpangan trek di Banjaran Pouakai ini, kami melihat Gunung Taranaki yang indah menyambut kedatangan kami di petang yang cerah dalam cuaca yang sangat bersahabat.




Semasa kami sampai di kawasan lapang ini, puncak Taranaki ditutupi sedikit awan. Seolah-olah dia mengintai kami yang teruja menyaksikan ciptaan indah Maha Pencipta. Kami menerokai setiap arah dan sudut di kawasan lapang ini. Pemandangan terbuka 360 darjah sungguh mempesonakan. Terbayang jika kami boleh berkhemah di kawasan ini, pasti saya tidak akan sia-siakan waktu di sini untuk tidur.







Kami berada di sini lebih sejam, merakam gambar sepuasnya dengan berbagai aksi dan gaya. Hampir jam 7:00 petang, awan yang melindungi puncak Gunung Taranaki memberi peluang kami melihat puncak gunung ini yang putih dilitupi salji. Kami mengambil kesempatan merakam gambar gunung ini yang kelihatan penuh tanpa awan. Kami akhirnya bergerak turun ke "headtrail" pada jam 7:30 petang walaupun kaki berat melangkah meninggalkan tempat dan pemandangan yang cantik ini.




Kami sampai di tapak pakir hampir jam 9:00 malam ditemani cahaya lampu suluh. Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar New Plymouth untuk bermalam. New Plymouth bandar tepi laut dan suasana di sini sungguh aman dan damai. Hari ke enam, selepas sarapan kami bersiar sebentar di bandar New Plymounth. Kami ke Paritutu Rock tetapi tidak mendaki ke puncak batu gunung berapi yang hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Kami sekadar mengambil gambar di pelantar kaki Peritutu Rock ini yang terletak di sebelah tapak pakir.





Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Wind Wand di New Plymouth kurang 10 minit memandu dari Paritutu Rock. Wind Wand merupakan arca kinetik setinggi 48 meter dan merupakan ikon utama New Plymouth. Pada waktu malam, wand angin berwarna merah di hujungnya akan menyala. Dari tempat pakir, kami melintasi landasan keretapi dan di dataran tepi laut ini ramai penduduk tempatan berjogging, berbasikal dan memancing.





Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Coromandel. Sepanjang perjalanan kami di pulau utara New Zealand selama 8 hari ini, kami menyaksikan pemandangan yang cantik, bunga kuning liar menghiasi jalan sunyi di sana dan ladang-ladang ragut binatang ternakan sepanjang lebuhraya.





Sampai di Coromandel kami terus ke Hot Water Beach. Sampai di sini kami makan tengahari, berehat dan mandi di laut yang berombak besar ini. Pasir di sini panas dan jika kita menekan kaki ke dalam pasir semasa mandi di dalam laut, kita akan merasa panasnya pasir di bawah sana.





Selesai mandi-manda di Hot Beach Coromandel, kami meneruskan perjalanan ke bandaraya Auckland untuk bermalam. Dalam perjalanan ke sana kami singgah sebentar di taman permainan di  Coromandel.




Hari ke tujuh selepas sarapan, kami ke Mount Eden. Kami menaiki train kerana van yang kami sewa telah dipulangkan semalam. Kami merakam gambar di bandaraya Auckland yang kurang sibuk semasa berjalan kaki ke stesen keretapi. Dari stesen keretapi Britomart ke Mount Eden tambang adalah NZD 3.50 sehala. Dari stesen train Mount Eden kami berjalan kaki ke arah Gunung Eden dan mula mendaki secara santai.





Mount Eden atau Maugawhau merupakan gunung tertinggi di Auckland walaupun cuma setinggi 196 meter. Ia merupakan gunung berapi mati dan terdapat bekas kawah gunung di puncaknya. Mendaki ke puncaknya tidaklah sesukar mana. Kami menyusuri jalan tar dan beberapa anak tangga semasa mengikuti jalan pintas.




Di puncak Mount Eden yang terbuka ini, terdapat penanda ketinggian, pelantar melihat pemandangan dan dari sini kami menyaksikan bandaraya Auckland 360 darjah yang maju, menara Auckland, pelabuhan dan laut yang biru.




Kemudian kami turun dan kami terbahagi kepada dua kumpulan bila jadual perjalanan berakhir di Gunung Eden ini. Empat dari kami bercadang ke One Tree Hill manakala kami yang lain kembali ke bandar Auckland untuk mencari makan tengahari. Kami ke Restaurant Uncle Man citarasa Malaysia yang popular di Auckland.




Ketika di restaurant ini, teman kami yang ramah bertegur sapa dengan dua pemuda yang telah habis menjamu selera di sini. Mereka adalah rakyat Malaysia yang telah bertahun merantau ke sini. Kami ditawarkan untuk dibawa bersiar di Auckland oleh mereka berdua dan kami gembira menerima pelawaan ikhlas dari mereka. Mereka kembali ke rumah untuk membawa sebuah lagi kereta memandangkan kami enam orang. Mereka mengajak kami ke Piha Beach yang berjarak 40 kilometer di barat Auckland. Perjalanan ke Piha Beach mengambil masa hampir sejam dari pusat bandar Auckland.



Piha Beach berpasir hitam dan terdapat Lion Rock, batu yang menyerupai kepala singa di pantainya. Lion rock setinggi 101 meter dan boleh didaki untuk melihat pemandangan Piha Beach. Kami berjalan di pantai yang berpasir halus berwarna hitam ini. Pasirnya panas dan kami mengambil kesempatan mendaki Lion Rock untuk menyaksikan pemandangan indah Pantai Piha.





Sebenarnya, pelancong tidak dibenarkan mendaki hingga ke puncak Lion Rock ini. Terdapat sempadan dan had yang dibenarkan sahaja dan dari tempat terakhir itu, pengunjung dapat melihat Pantai Piha yang terkenal ini.



Kemudian dua pemuda baik hati ini membawa kami ke air terjun Kitekite yang berjarak sekitar 15 minit memandu dari Piha Beach. Dari tapak pakir kami menyusuri Kitekite Track kurang lebih 30 minit untuk ke air terjun ini.






Setelah berehat dan merakam gambar kenangan di sini, kami pulang ke pusat bandar dan dalam perjalanan kami singgah solat di sebuah masjid di pinggir bandar Auckland. Sebelum berpisah dengan dua pemuda Malaysia ini, kami menjamu selera di Paparich Restaurant. Terima kasih kepada Rosli dan Tivan semoga bahagia menjalani hidup di bumi asing.




Hari ke lapan, hari terakhir kami di pulau utara ini. Memandangkan penerbangan pulang kami waktu petang, pagi itu kami bebas bersiar mengikut kemahuan sendiri. Saya dan dua teman bersiar sekitar bandar dan membeli sedikit cenderahati. Kami memasuki setiap kedai "ourdoor' yang kami jumpa dan di sini barang "ourdoor" agak mahal namun masih mampu milik.


Jika ada rezeki, saya mungkin ke sini lagi menyempurnakan trekking di Tongariro Alpine Crossing Track yang sejauh 19.4 kilometer, bermula dari "headtrail" Mangatepopo dan berakhir di Ketetahi.  Menyaksikan puncak Reapehu, Red Crater, Blue Lake dan berbagai keindahan di sepanjang trek terkenal ini. Mungkin juga ke Banjaran Pouakai, trekking di Pouakai Circuit atau Pouakai Crossing Track atau mungkin juga mendaki Gunung Taranaki yang memukau dari trek Hutan Goblin. Benarlah kata si penyambut tetamu di hostel di Rotorua dahulu, "anda memerlukan masa lapan bulan untuk menerokai Pulau Utara New Zealand yang indah ini". Perjalanan ini sungguh mempesonakan. Jangan jadi pelancong, jadilah pengembara. Terima kasih Allah.

Itenerary:
Day 1- Sampai Auckland, memandu terus ke bandar Matamata dan bermalam di Matamata.
Day 2- Hobitton, Te Waihou Blue Spring, Sulphur Point Walkway, Lake Rotorua, bermalam di Rotorua.
Day 3- Jetty Lake Rotorua, Wai-O-Topu Thermal, Sky Luge Rotorua, Redwood bermalam di Rotorua.
Day 4- Huka Fall, Lake Taupo (lunch), Tangario Alpine Crossing Track , bermalam di Tangario.
Day 5- Drive ke Pouakai Track, Forgotten World Highway (Republic Whangamomona), Halfday Hike Poukai track, bermalam di New Plymouth.
Day 6- Bandar New Plymouth, Paritutu Rock, Wind Wand dan meneruskan perjalanan ke  Coromandel, Waitomo Hot Beach, Auckland bermalam.
Day 7- Mt. Eden, city tour, Piha Beach, air terjun Kitekite, Auckland bermalam.
Day 8- Pagi city tour, petang penerbangan balik.

Nota:
1- Rakyat Malaysia yang melancong kurang 3 bulan ke New Zealand tidak memerlukan visa.
2- Jika anda mempunyai group 8 hingga 10 orang dan ingin bercuti ke Pulau Utara New Zealand, ingin jadual padat seperti di atas atau mengikut selera anda, boleh ambil pakage #piptrip ( 013-3508508).