Khamis, 10 Mac 2022

Mendaki Bukit Chabang di Perlis



Mungkin ramai yang akan membayangkan dan berfikir masa yang diperlukan untuk mendaki ke bukit setinggi 390 mdpl agak singkat dan mudah. Tapi tahukah pembaca, ketinggian sesuatu puncak tidak menceritakan jalur yang perlu dilalui. Saya dan lima teman menyertai sekumpulan pendaki ke Bukit Chabang di Perlis ini di saat akhir. Kami berkhemah di Santuary Ikan Air Tawar Timah Tasoh sehari sebelum hari mendaki. Dari tapak khemah ini saya melihat Bukit Chabang yang berdiri teguh. Ia kelihatan agak tegak dari jauh sehingga saya terpikir jalur yang juga pasti pacak. 



Kami diminta berkumpul di IKM Beseri awal pagi pada hari mendaki. Setelah semua bersedia kami bergerak ke kaki Bukit Chabang dan kenderaan di pakir dalam kebun getah secara percuma. Pendakian ke puncak Bukit Chabang bermula di sini. Kami memulakan pendakian pada jam 04:10 pagi setelah melakukan sedikit senaman regangan otot. Ditemani seorang guide dan seorang sweeper di belakang, kami sejumlah sembilan orang mula memanjat bongkah- bongkah batu ditemani cahaya headlamp. Seperti biasa saya mendaki di kumpulan belakang dan tiada gambar yang saya rakam sepanjang pendakian ini kerana gelap. Kami di kumpulan akhir sampai di puncak pada jam 06:40 pagi setelah memerah keringat. 







Kami berehat agak lama di puncak yang mempunyai permukaan batu-batu tajam menyaksikan matahari terbit pagi itu. Pendakian ke Bukit Chabang 390 mdpl pada pandangan saya seperti mendaki Gunung Pulai di Baling dan Gunung Pinnacle di Serawak. Namun Bukit Chabang lebih mencabar berbanding Gunung Pinnacle walaupun tinggi Bukit Chabang sekadar 390 mdpl. Ini kerana jalur Bukit Chabang lebih alami ataupun lebih semulajadi. Tidak seperti Gunung Pinnacle, di setengah jalur terdapat tangga besi. Jalur pendakian di Bukit Chabang hanya terdapat beberapa utas tali untuk berpaut. Pendaki terpaksa berhati-hati, menggunakan sepenuh tenaga semasa mendaki dan turun sepanjang pendakian. Otot tangan mesti kuat untuk memegang dan memaut batu-batu tajam dan otot kaki pula memainkan peranan untuk melonjakkan badan ke atas. Pendakian ke Bukit Chabang tidak sesuai kepada pendaki yang mempunyai tahap gayat yang tinggi dan agak sukar juga kepada pendaki bertubuh rendah kerana di sesetengah bahagian batu-batu agak besar dan tempat berpijak agak berjarak. 





Kami bergerak turun pada jam 08:20 minit pagi. Sepanjang perjalanan turun kami mengambil kesempatan merakam gambar. Cuaca hari itu amat baik dan cerah. Kami melihat Tasik Timah Tasoh yang melebar di bawah sana. Perjalanan turun juga agak mencabar bagi saya kerana saya juga seorang yang mempunyai perasaan gayat. 







Kami di kumpulan akhir sampai semula di tapak pakir sekitar jam 10:45 pagi. Jika mendaki ke Bukit Chabang sebaiknya mendakilah bersama teman walaupun ketinggian bukit ini tidak seberapa, namun jalur pendakian agak bahaya tanpa alat keselamatan seperti helmet. Baik juga sekiranya mengambil khidmat guide yang mahir tentang jalur dan selok belok bukit. Sedikit peralatan seperti sarong tangan mungkin baik bagi memudahkan pendakian anda ke sini.

Nota:
1-Guide Khayril - 012 5826858
2-Santuary Ikan  Air Tawar Timah Tasoh - 011 57600702


Ahad, 6 Mac 2022

Mendaki Bukit Bendera dari Bat's Cave Trail



Disebabkan saya kurang arif mendaki Bukit Bendera dari Bat's Cave trail, saya mengajak teman yang sering mendaki di sini untuk menemani saya. Saya dan enam orang teman mendaki ke Bukit Bendera dari jalur Bat's Cave Trail ini pada akhir February 2022. Kami memulakan pendakian sekitar jam 09:00 pagi menyusuri Jalan Pokok Ceri di kawasan perumahan di sebelah kanan stesen bawah Bukit Bendera. Terdapat papan tanda Bat's Cave Temple di beberapa  simpang dan setelah kami melepasi Tokong Bat's Cave atau Tokong Tua Pek Kong tersebut, jalur pendakian semakin kecil dan memasuki kawasan kampung trek mulai menaik.




Masih terdapat rumah-rumah kampung sehingga ke air terjun pinggir hutan. Kemudian kami menyusuri jalur mini tar dan jalur ini kami kongsi bersama penunggang mounting bike. Sepanjang menyusuri jalur ini kami mendengar deruan air sungai yang mengalir dari Bukit Bendera. Sekali sekala kami melintasi titi sempit yang dibina untuk menyeberangi sungai kecil yang jernih di bukit ini. 





Saya sedikit termengah-mengah trekking di belakang kerana mendaki dengan kawan-kawan yang agak laju pergerakannya. Akhirnya mereka mengalah dan memperlahankan langkah mengikut rentak gerakan saya. Kami singgah beberapa kali di sepanjang pendakian ini. Terdapat banyak simpang dan jalur memandangkan Bukit Bendera boleh didaki dari berbagai arah. Kami berehat agak lama di pertemuan simpang Hye Keay Trail, arah puncak Bukit Bendera dan Bat's Cave Trail. Terdapat pelantar yang dibina untuk para pendaki berehat sambil melihat pemandangan Bandar Air Hitam sambil  menikmat udara yang nyaman.


Kami kemudian meneruskan pendakian sehingga sampai kawasan Golden Stupa. Di sini terdapat banyak binaan berwarna keemasan berbentuk seperti lonceng yang merupakan simbol penganut ajaran Budha diletakkan di atas setiap batu di kawasan bukit ini. Bilangan Stupa yang puluhan banyak itu agak menarik perhatian saya dan kami merakam gambar semasa melintasi kawasan ini untuk ke Middle Station. Di Middle Station kami berehat sebentar sambil menyaksikan pemandangan di bawah, terdapat tandas percuma di sini.





Kemudian kawan saya mencadangkan kami meneruskan pendakian melalui trek Moniot Trail 1825. Jika kita meneruskan pendakian melalui jalur di sebelah kanan  Middle Station, kita akan meneruskan pendakian melalui Haritage Trail atau Trek Warisan. Kami meneruskan pendakian melalui trek di sebelah kiri Middle Station untuk ke trek Moniot Trail 1825. Trek ini lebih jauh berbanding Trek Warisan menuju Puncak Bukit Bendera.



Moniot Trail 1825 merupakan antara trail terawal di Bukit Bendera dan ia siap dibuka pada tahun 1825 dan trek ini dikenali sempena nama seorang Gabenor Jules M Moniot. Kami menyusuri trek di pinggir bukit sambil menyaksikan pemandangan bangunan dan bandar di bawah sana. Kemudian kami singgah berehat di sebuah tokong. Meneruskan pendakian akhirnya kami sampai di pintu masuk Moniot Trail 1825 pada jam 13:00 tengahari. 




Kami kemudian meneruskan trekking melalui jalan raya sekitar dua kilometer untuk sampai ke Medan Selera di puncak Bukit Bendera. Dalam perjalanan ke sana, kami melintasi Cafe Kopi Hutan dan jalanraya mulai sibuk kerana terdapat banyak kenderaan membawa pelancong ke cafe yang popular ini. Setelah itu kami melintasi The Habitat, satu lagi tempat menarik untuk melihat pemandangan dengan binaan pelantar tinggi di dalam hutan yang berbentuk bulat jika kita berkunjung ke Bukit Bendera.




 Akhirnya saya sampai di kawasan Astaka Bukit Bendera sekitar jam 13:30 tengahari. Seperti biasa ada potongan harga kepada para pendaki di gerai air di medan selera ini. Kami menjamu selera di sini sebelum turun menaiki keretapi dengan harga ticket Rm6.00 seorang sehala perjalanan.

Nota:
Guide shamsul 016 4963000