Ada lebih seratus buah air terjun di Gunung Jerai Kedah. Fakta yang mengejutkan saya. Semasa taklimat sebelum menerokai air terjun di Gunung Jerai, guide bercerita tentang banyaknya bilangan air terjun di sana. Walaupun saya tahu terdapat banyak air terjun di Gunung Jerai tetapi tidak menjangka melebihi seratus buah. Selesai taklimat ringkas kami membuat sedikit senaman regangan otot sebelum memulakan aktiviti redah hutan. Saya bersama sembilan teman berkumpul di Surau 1 Taman Gurun Jaya pada awal August 2026. Hari ini kami akan meredah hutan dan singgah di 15 air terjun di Gunung Jerai ditemani dua orang penunjuk arah.
Kami memulakan perjalanan sekitar jam 08:35 pagi. Menyusuri jalur melintasi kebun kelapa sawit, kawasan terbuka sehingga ke pencawang Tenaga National. Seperti biasa saya berjalan di dalam kumpulan terakhir.
Permulaan jalur agak mendatar sehingga kami sampai di sungai seperti kawasan perkelahan. Terdapat beberapa buah gerai yang masih belum dibuka waktu pagi. Mungkin mereka berjualan waktu petang. Menyeberangi sungai, jalur mulai menaik meredah hutan. Setelah trekking sekitar sejam kami sampai di air terjun pertama iaitu Air Terjun Batu Hampar.
Kami merakam gambar sebentar di Air Terjun Bukit Dinding dan meneruskan trekking ke Air Terjun Kotak Lego. Kami sampai di sana sekitar pukul 11:00 pagi.

Di sini kami tidak dapat menahan diri untuk mandi manda setelah berpeluh meredah hutan. Air Terjun Puteri Bersiram mencurah dari tebing batu yang tinggi dan di sambut kolam air yang agak besar sebagai tempat berendam. Air yang jernih dan sejuk memikat kami untuk berada agak lama di sini. Kemudian kami meneruskan redah hutan ke air terjun kelima iaitu Air Terjun Embun.
Kami sampai di air terjun Batu Bertindan pada jam 13:05 tengahari. Di sini kami berehat agak lama. Kami makan tengahari, solat, masak maggi, air panas dan merakam gambar.
Air Terjun Gua Tembus yang jernih muncul dari lubang di atas gua. Air terjun mengalir di dalam gua separuh terbuka. Airnya sejuk dan jernih menyakinkan saya untuk minum. Kami merakam gambar secara bergilir-gilir kerana ruang di dalam gua yang agak terhad. Kemudian kami bergerak ke Air Terjun Lego.
Kami sampai di Air Terjun Lego pada jam 15:15 petang. Kami merakam gambar sebentar dan kemudian bergerak ke Air Terjun Batu Bertangga yang tidak berapa jauh di atas Air Terjun Lego.
Seterusnya kami meredah hutan ke Air Terjun Rock Garden dan sampai di sana pada pukul 15:45 petang. Air Terjun Rock Garden mengalir di atas batu berwarna keperangan dan pemandangan di sini indah dikelilingi pokok renek.
Setelah puas menikmati pemandangan di Air Terjun Rock Garden, kami bergerak ke Air Terjun Hening Senja. Perjalanan agak jauh dan kami berhenti rehat di Check Point KRC Bersidang sebentar. Setelah pasti semua anggota hadir kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun yang ke 12 hari itu.
Kami sampai di Air Terjun Hening Senja sekitar jam 16:40 petang. Kami mandi lagi di kolam air terjun dingin dan segar yang sepadan dengan namanya Hening Senja.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Langkasuka. Trek ke sana agak jauh dan jalur menuruni curam. Di sini peranan lutut memainkan peranan utama. Bawalah tongkat untuk menyokong kaki jika anda sedikit bermasalah bila berjalan menuruni bukit. Kami sampai di Air Terjun Langkasuka pada pukul 17:25. Kami berehat sebentar di air terjun ini sebelum meneruskan perjalanan.
Jalur ke air terjun seterusnya masih menuruni curam. Kami sampai di Air Terjun Kunyit 2 pada jam 18:25 petang. Kawan-kawan masih mandi manda semasa sampai di air terjun ke 14 ini petang itu.
Kami sampai di Air Terjun Kunyit 1 pada pukul 19:00. Kami berehat dan merakam gambar. Beberapa teman berendam buat kali terakhir di air terjun ini sebelum kami keluar dari jajaran air terjun di Gunung Jerai.
Kami sampai semula di Surau 1 Taman Gurun Jaya pada pukul 19:30 beberapa minit sebelum laungan azan magrib. Saya berharap berpeluang datang lagi ke air terjun lain di Gunung Jerai. Terima kasih Allah.
Air Terjun Batu Hampar
Air Terjun Bukit Dinding
Air Terjun Batu Kotak Lego
Air Terjun Puteri Bersiram
Air Terjun Embun
Air Terjun Jeram Batu
Air Terjun Batu Bertindan
Air Terjun Gua Tembus
Air Terjun Lego
Air Terjun Batu Bertangga
Air Terjun Rock Garden
Air Terjun Hening Senja
Air Terjun Langkasuka
Air Terjun Kunyit 2
Air Terjun Kunyit 1
Guide: Zaim KRC - 011 59689528



























































