Jalan mini tar berturap menuju ke Bukit Liman Kati ini membelah kawasan kebun getah. Kami memulakan pendakian dan tidak terlihat pendaki lain yang menuju ke puncak untuk kami bertanya bagi menyakinkan hala tuju kami. Mungkin kerana kami ke sana pada hari bekerja atau kerana agak lewat. Setelah mendaki sekitar lima minit, terdengar bunyi motosikal dari belakang. Kami menahan motosikal tersebut untuk bertanya arah puncak Bukit Liman Kati. Menurut penunggang motosikal tersebut kami memang di trek yang betul. Saya sedikit tergelak bila dia mengatakan yang dia merasa heran dan pelik (dengan dialek Bangladesh) bila semua orang memakir kenderaan di bawah sedangkan jalan mini tar berturap tersebut dibina hingga ke puncak Bukit Liman Kati. Kami berdua yang masih ketawa ketika dia berlalu pergi, berpandangan sesama sendiri dan berpatah balik ke tapak parkir.
Kami yang lewat memulakan pendakian pagi itu memandu ke puncak Bukit Liman Kati hingga jumpa tempat yang agak lapang untuk memakir kereta. Kami akhirnya memakir kereta di sisi jalan yang agak lapang sekitar kawasan rumah besar yang dalam proses pembinaan. Seorang pendaki yang dalam perjalanan turun mengusik kami dengan gelaran pengelat sebagai pembuka bicara untuk bertegur sapa. Menurutnya kami perlu mendaki sekitar sejam untuk sampai ke puncak Bukit Liman Kati bila kami bertanya jarak baki perjalanan.
Ini kami pertama kami mendaki Bukit Liman Kati. Jika ada rezeki, kami mungkin mengulangi pendakian ke bukit ini lagi. Mungkin kali itu kami akan mendaki sepenuhnya dari bawah. Terima kasih Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan