Selasa, 27 November 2018

Dari Bursa ke Istanbul


Hari ke sepuluh kami di Turkey, kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Bursa. Selepas sarapan kami memandu dahulu ke Karahayit sebelum keluar dari bandar Dinizli. Karahayit juga kejadian alam semulajadi seperti Cotton Castle. Air panas yang mengalir dari perut bumi sebagai mata air membentuk teres bertingkat-tingkat berwarna keperangan menyebabkan Karahayit juga dikenali sebagai Red Hot Spring.


Dalam perjalanan menuju Bursa, kami bercadang singgah sebentar di bandar Alasehir untuk menziarahi teman kami yang telah berkahwin dengan orang tempatan dan menetap di sana. Perjalanan menuju bandar Bursa, kami masih melalui kawasan penanaman buah-buahan di kiri dan kanan jalan. Gerai tembikai di bahu jalan masih banyak terdapat di sepanjang lebuhraya memandangkan sekarang musim menuai hasil pertanian. Kami juga melintasi kawasan ladang kapas dan singgah sebentar untuk melihat kapas yang sedang mulai berkembang.





Kami sampai di rumah teman di Alasehir sekitar jam 11:30 pagi. Mereka sekeluarga menyambut kedatangan kami dengan ramah, menjamu kami dengan berbagai jenis anggur sementara menunggu makan tengahari disediakan. Terima kasih Kak Ollie.




Selepas makan tengahari, suami Kak Ollie mengajak kami ke bandar Alasehir sebelum kami meneruskan perjalanan ke bandar Bursa. Bandar Alasehir terkenal sebagai "bandar anggur" dan Alasehir merupakan kota penghasil kismis dari anggur sultana. Kami ke bandar Alasehir sebentar dan dibawa melawat ke "Love Street", jalan popular di bandar Alasehir yang sibuk dengan berbagai kedai jualan. Kami singgah sebentar di kedai kebab kenalan suami Kak Ollie dan dijamu kebab percuma. Bandar Alasehir di zaman kuno dikenali dengan nama "Filadelfia" yang membawa maksud "kota kasih sayang persaudaraan" dan terletak di Lembah Kuzucay.





Jam 17:00 petang kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Bursa dan sampai di sana sekitar jam 22:00 malam. Di Bursa kami bermalam di rumah kenalan yang menetap di sana. Hari ke 11 kami di Turkey, kami melawat Kampung Cumalikizik di Bursa. Kami bersarapan di kampung ini dan dikatakan Gozleme di sini popular.




Bandar Bursa merupakan salah satu kota tertua di Turkey dan dikenali sebagai bandar ke empat  terbesar selepas Istanbul, Ankara dan Izmir. Kampung Cumalikizik merupakan perkampungan Uthmaniyyah tertua dan juga antara kampung tertua di Turkey. Ia terletak di kaki Gunung Uludug sekitar sepuluh kilometer dari bandar Bursa.




Jalan di kampung ini disusun baik dengan batu namun tidak begitu rata dan kebanyakan aktivity penduduk kampung ini adalah berniaga memandangkan perkampungan ini merupakan salah satu kawasan lawatan pelancong serata dunia. Kampung Cumalikizik terjaga sejak 700 tahun dan telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 2014.






Kemudian kami melawat Ulu Camii atau Bursa Grand Mosque. Masjid Besar Bursa ini dibina dari tahun 1396 hingga 1399 pada zaman pemerintahan Sultan Uthmaniyyah ke 4 iaitu Sultan Yildrim Beyazid. Keistimewaan masjid ini adalah atap masjid ini terbentuk dari binaan 20 buah kubah yang sama saiz. Selain itu air pancuran di dalam masjid juga merupakan tempat mengambil wuduk.




Kemudian kami ke Nilufer Koylu Pazari yang terletak di belakang Grand Mosque. Bazzar ini menjual fabrik berbagai kuality dengan harga yang agak berpatutan. Di sebelah bazzar fabrik adalah pasar buah-buahan. Memandangkan sekarang musim panas, banyak buah-buahan dijual dengan harga yang agak murah.







Kemudian kami ke Pasar Sutera atau Silk Market yang terletak di antara Bursa Grand Mosque dan Orhan Mosque. Pasar Sutera dua tingkat ini dibina oleh jurutera Abdul Ula Bin Pulat Sah pada tahun 1491 di zaman pemerintahan Uthmaniyyah. Bursa dahulu dikenali sebagai Prusa dan terkenal dengan pembuatan tekstil. Barangan popular di Silk Market ini adalah kain tudung atau selendang dan skaf yang dijual dengan berbagai harga mengikut kuality bahan. Mengikut pendapat "kaki shopping", selendang dan sutera di Bursa lebih murah berbanding di Istanbul.




Selesai membeli belah di Bursa, kami memulangkan semula kereta sewa yang kami pandu selama 6 hari dan kami bergerak ke pelabuhan untuk melanjutkan perjalanan menuju Istanbul dengan menaiki ferry atau bot laju. Kami menaiki ferry ke Istanbul pada jam 18:00 petang dan sampai di Istanbul pada jam 19:40 malam. Di Istanbul kami menginap di hotel kawasan Sultan Ahmed.



Hari ke 12 di Turkey, kami memulakan aktivity agak lewat kerana keletihan. Kami keluar sekitar jam 10:00 pagi dan berjalan kaki ke tempat tarikan pelancong utama di Turkey iaitu Aya Sophia atau Hagia Sophia dan kembarnya Blue Mosque yang terkenal dan menarik itu. Jarak dari hotel ke sini adalah sekitar 10 minit berjalan kaki. Aya Sophia merupakan antara binaan bangunan tercantik di dunia dan ia dibina dengan kubah yang besar pada tahun 532 hingga 537 SM sebagai Gareja Kristian Ortodoks atas arahan kerajaan Byzentine. Pada tahun 1453, Aya Sophia telah diubahsuai menjadi sebuah masjid oleh kerajaan Uthmaniyyah. Kerajaan Republik Turkey pula telah menjadikan Aya Sophia sebuah muzium pada tahun 1935.


Masjid Sultan Ahmed juga dikenali sebagai Blue Mosque atau Masjid Biru terletak di sebelah Aya Sophia. Blue Mosque dibina pada tahun 1609 hingga 1616 sewaktu zaman pemerintahan Ahmed 1. Binaannya yang megah menggabungkan beberapa elemen Byzentine dari Aya Sophia dan senibina Islam tradisional. Masjid Sultan Ahmed dikenali sebagai Masjid Biru kerana jubin biru dindingnya di bahagian dalam.


Kami bersiar di kawasan Masjid Biru dan Aya Sophia sehingga puas. Kemudian kami berjalan kaki ke Restaurant Malaysia Nurmuhammad di bandar Turkey untuk menjamu selera. Makan di sini agak enak dan harganya juga munasabah.


Selesai menjamu selera kami berjalan kaki ke Grand Bazzar dan Spice Bazzar untuk membeli belah di sana. Grand Bazzar merupakan Bazzar tertua dan terbesar di dunia. Grand Bazzar dibuka pada tahun 1461, terdapat 61 jalan dan lebih 4000 buah kedai di bazzar ini. Berbagai barangan diniagakan di sini seperti pakaian, perhiasan diri seperti emas dan berlian, rempah, tembikar, cenderamata dan lain-lain lagi. Kebanyakkan barangan dijual dengan harga agak mahal berbanding di tempat lain seperti di Taksim atau di kedai-kedai cederamata sepanjang jalan ke Galata Tower.





Kemudian saya dan seorang teman bersiar di Selat Bosphorus, manakala seorang teman mengikut sahabatnya ke Taksim dan seorang lagi mengambil keputusan untuk pulang ke hotel kerana kurang sehat. Kami berdua berjalan kaki di Galata Bridge menyeberangi selat bosphorus yang memisahkan benua eropah dan asia ini. Dari atas jambatan ini kami melihat bot-bot persiaran yang membawa pelancong menyusuri Selat Bosphorus untuk menyaksikan matahari terbenam. Di hujung kedua belah jambatan pula terdapat ramai pemancing sedang asyik memancing ikan.




Kami berdua kemudian melawat pasar ikan yang terletak di hujung Galata Bridge dan membeli kebab ikan yang dijual di luar pasar. Kami makan di tepi Selat Bosphorus sambil melihat matahari terbenam senja itu.




Kemudian kami berjalan kaki ke Galata Tower sambil membeli cenderamata di kedai sepanjang jalan  ke sana. Nampaknya harga barang di sini lebih murah dari di Grand Bazzar. Kami berehat sebentar di dataran Galata Tower sambil merakam gambar dan kemudian berjalan pulang melalui jalan lain ke Aya Sophia.





Dalam perjalanan pulang ke hotel kami membeli cenderamata di kedai sekitar dataran Blue Mosque. Hari ke 13 kami di Turkey, kami bersarapan nasi lemak di Restaurant Malaysia Nurmuhammad, kami sekali lagi berjalan kaki di dataran Blue Mosque untuk melawat kedai-kedai di dataran sana. Kami kemudian ke Grand Bazzar untuk lawatan kali terakhir.






Kami berangkat ke airport pada jam 16:00 petang dan terbang pulang ke Malaysia malam itu. Kami sampai di Kuala Lumpur pada jam 18:00 petang hari ke 14 perjalanan kami. Saya berharap akan datang lagi ke negara dua benua yang menarik dan mempunyai empat musim ini. Terima kasih ALLAH.