Hari kesembilan perjalanan kami di bumi Turkey, kami meneruskan pemanduan dari bandar tepi laut Fathiye menghala ke Pamukkale di Denizli. Perjalanan dianggarkan mengambil masa sekitar empat jam. Dalam perjalanan ke Pamukkale, kami singgah beberapa kali untuk ke tandas, membeli buah-buahan dan kacang di gerai tepi jalan. Salah satu tempat persinggahan membeli kacang terdapat gerai menjual 'pisau lipat' product tempat yang dijual dengan harga yang murah. Kami beli banyak pisau di sini sebagai cenderamata untuk teman-teman di Malaysia yang suka mendaki gunung dan riadah ke hutan.
Kami sampai di Pamukkale pada jam 2:00 petang dan terus menuju ke "Cotton Castle" ini. Dari jauh kami telah melihat teres Cotton Castle yang memutih ini berdiri kukuh seperti Istana Kapas yang tersergam besar dan megah. Masuk ke Pamukkale ini dikenakan bayaran ticket sebanyak 35 TL (Cotton Castle dan Hierapolis) seorang. Pamukkale bermaksud "Cotton Castle" dalam bahasa Turkey dan ia dibuka setiap hari dari jam 6:30 pagi hingga jam 9:00 malam di musim panas iaitu dari 1 june hingga pertengahan September.
Kami melawat ke Cotton Castle dahulu. Cotton Castle merupakan khazanah alam semulajadi yang terletak di atas bukit setinggi sekitar 100 meter. Ia adalah teres kalsium yang terbentuk dari hasil sisa yang ditinggalkan oleh air panas yang mengalir dari gunung di kawasan batu kapur. Warna teres yang putih seperti kapas itu menyebabkan ia dikenali sebagai Cotton Castle atau Istana Kapas. Asal kejadiannya yang unik ini menjadi salah satu tarikkan di Turkey.
Jika ke sini di musim panas, akan terdapat lebih banyak air yang mengalir di lopak-lopak yang terbentuk di teres-teres kalsium ini berbanding di musim sejuk kerana air ini membeku.
Di Cotton Castle ini terdapat kawasan yang dibenarkan pelawat merendam kaki dan mandi tetapi ada juga kawasan larangan pelawat masuk ke dalam air. Jika pelawat ingin bermandi manda, terdapat kawasan untuk mandi air panas iaitu Antique Pool, namun pelawat dikenakan bayaran tambahan mandi di kolam tersebut sebanyak 50 TL.
Kemudian kami melawat Hierapolis yang terletak di kawasan yang sama. Kota kuno Hierapolis ini didirikan pada masa pemerintahan Romani dan Byzantine dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 1988.
Hari ke sepuluh kami di Turkey, kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Bursa. Selepas sarapan kami memandu dahulu ke Karahayit sebelum keluar dari Denizli. Karahayit juga adalah khazanah alam semulajadi seperti Cotton Castle. Air panas yang mengalir dari perut bumi melalui mata air membentuk teres berwarna keperangan menyebabkan Karahayit juga dikenali sebagai "Red Hot Spring".
Selesai melawat Karahayit, kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Bursa. Pamukkale memang salah satu tempat yang unik dan menarik di Turkey. Di sini kebesaran MAHA PENCIPTA dapat dilihat dan dirasai. Jika ada rezki saya akan datang lagi ke Istana Kapas ini. Terima Kasih Allah.
Nota:
1- Ticket masuk ke Pamukkale adalah 35 TL seorang.
2- Tiada bayaran masuk ke Karahayit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan