Khamis, 1 Disember 2016

Nalchik Rusia, tempat yang harus dikunjungi

       Peluang mengunjungi Rusia memang tidak saya lepaskan. Walaupun saya mengetahui penduduk Rusia tidak mengalukan kedatangan pelancong luar. Mereka jarang melemparkan senyuman apa lagi bertegur sapa dengan orang luar. Namun dalam perjalanan kami dari Nalchik ke Baksan Valley pada June 2012 semasa xpdc menawan puncak Gunung Elbrus, kami telah singgah di sebuah kawasan rehat untuk makan dan sebagainya. Semasa kami singgah di sana terdapat beberapa orang pemandu lori juga singgah dan mereka telah bertanya dari mana kami datang. Setelah mengetahui kami dari Malaysia, mereka menawarkan diri membuat persembahan hiburan menyambut kedatangan kami. Persembahan yang amat melucukan itu mengubah padangan saya terhadap masyarakat Rusia. Mereka juga ramah dan lucu.



      Kami berehat di Nalchik selama tiga hari setelah selesai xpdc mendaki Gunung Elbrus. Petang hari pertama sampai di Nalchik, kami bersiar-siar di Nalchik Park yang terletak berhampiran dengan hotel penginapan kami.


Nalchik Park
      Semasa kami di Nalchik Park ini terdapat majlis perkahwinan yang sedang dilangsungkan. Dalam majlis perkahwinan ini terdapat lebih lima pasangan yang meraikan perkahwinan mereka secara bergilir-gilir. Mereka diraikan oleh keluarga masing-masing dengan adat dan cara keluarga mereka sendiri, diiringi pemuzik dan penari masing-masing juga.




       Selepas puas menyaksikan istiadat perkahwinan mereka, kami meneruskan perjalanan kami bersiar-siar di taman yang besar ini sehingga sampai di tepi tasik. Terdapat ramai pengunjung mandi manda di tasik ini. Di sekitar tasik pula terdapat gerai makanan dan minuman. Kami menjamu selera di salah sebuah gerai di tepi tasik.






       Hari kedua di sini kami dibawa ke Blue Lakes. Tasik ini terletak di Kabardino-Balkaria, sekitar 50 kilometer selatan bandar Nalchik. Ia merupakan antara tasik terdalam di dunia walaupun saiznya tidak besar. Airnya jernih kebiruan, tenang dan suasana di sini aman dan damai. Tasik ini dikelilingi bukit.




       Kami bersiar di sekitar tasik ini beberapa jam. Terdapat deretan gerai menjual pakaian dan cenderamata di sini. Pakaian musim sejuk dari bulu binatang banyak dijual walaupun sekarang telah masuk musim panas. Pemandu pelancong menunjukkan kami cengkerang siput yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang dijumpai di tasik ini. Kami juga makan tengahari di sini.


Cengkerang siput yang berusia jutaan tahun




        Setelah bersiar-siar dan makan tengahari di Blue Lakes, kami meneruskan perjalanan melawat Nalchik. Kami kemudiannya dibawa ke tempat mandi air panas. Terdapat kolam renang yang besar di sini. Tentu kolam ini menjadi tempat tumpuan pelawat di musim sejuk kerana walaupun sekarang adalah musim panas, masih terdapat pengunjung tempatan yang sedang mandi.



        Kemudian kami ke Chegem Canyon. Tempat ini sangat menarik pada pandangan saya. Turun dari bas kami berjalan kaki mengikuti jalan tar yang dibina di celah batu gunung yang tinggi menjulang. Ia seolah-olah memasuki dunia lain. Dinding batu gunung yang tinggi di kiri dan kanan jalan menghalang pemandangan sehingga saya terfikir ke mana arah tujuan kami. Di kanan jalan pula terdapat sungai yang mengalir deras. Setelah berjalan sekitar sepuluh minit kami sampai di tengah gunung di mana terdapat deretan restoran, kedai menjual pakaian, cenderamata dan sebagainya.






      Saya sedikit tergamam melihat tamadun yang dibina di celah tebing tinggi ini tetapi yang lebih memukau saya, terdapat air terjun yang tinggi di sini. Pemandangan alam yang luar biasa ini tidak pernah saya lihat sebelum ini.







 
      Semasa di sini saya tidak melepaskan peluang bergambar dengan topi bulu binatang yang saya jangka amat popular ini. Kerana mahupun di Lembah Baksan atau pun di Nalchik, terdapat ramai peniaga yang menjual topi kembang ini. Caj untuk memakai topi dan bergambar sekitar Rm2 dikenakan tetapi kami diberi percuma untuk bergambar setelah mereka mengetahui kami dari Malaysia.




     Setelah puas melawat dan bergambar di sekitar tempat menarik di celah batu tinggi ini, kami menjamu selera di salah sebuah restoran di sini.




      Malam terakhir di Nalchik, kami ke Nalchik Park lagi. Kebetulan ada persembahan dari lapan buah negara diadakan di Nalchik Park. Persembahan bermula pada jam 7:30 petang dan ticket adalah percuma. Kami bernasib baik dapat menyaksikan persembahan lapan buah negara bekas jajahan Rusia ini yang kebetulan sedang berlangsung ketika kami berkunjung ke sana.












       Keesokan harinya iaitu hari ketiga di Nalchik kami berangkat pulang ke Moscow. Jika ada rezeki saya ingin ke sini lagi. Ingin menyaksikan kesudahan rupa masjid yang dalam pembinaan semasa saya ke sini. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk berkunjung ke Rusia.
2- Tidak sukar mencari makanan halal di Nalchik kerana terdapat ramai penduduknya yang beragama Islam di sini.