Sabtu, 27 April 2019

Pulau Aur dan Pulau Dayang yang memikat



Bila bercerita tentang Pulau Aur dan Pulau Dayang, cuma satu yang saya akan kata, saya rekomen!. Kepada pencinta laut dan pemburu karang, jangan lepaskan percutian ke pulau ini. Saya dan tiga orang rakan berehat sambil bercuti ke Pulau Aur dan Pulau Dayang pada pertengahan bulan April 2019. Pada jam 11:00 pagi kami menaiki bot dari jeti yang dikenali penduduk setempat dengan nama Jeti Lazam atau Jeti Batu di Mersing. Perjalanan dari Jeti Lazam ke Pulau Aur mengambil masa sekitar 90 minit hingga 2 jam menaiki "speedboat". Hari itu pemandu bot kami tersasar hingga ke Pulau Tinggi kerana cuaca tidak begitu cerah dan pandangan  kurang jelas. Hanya berpandukan kompas dan pengalaman di laut akhirnya kami sampai di Pulau Aur pada jam 13:30 petang.



Setelah "checkin" di Sebukang Bay Resort, kami makan tengahari dan berehat. Jam 16:30 selepas minum petang, kami dibawa trekking ke Kampung Telok Berhala. Trekking ke Kampung Telok Berhala atau sekarang dikenali sebagai Kampung Sakinah mengambil masa sekitar 30 minit melalui jalur yang agak landai di tepi laut.  Dalam perjalanan ke sana kami melawat sebuah rumah penduduk kampung yang ramah mempelawa kami singgah di rumahnya. Setelah trekking sekitar 45 minit, kami sampai di Kampung Telok Berhala, terdapat balai polis, masjid, sekolah dan beberapa buah gerai. Kawasan perkuburan terletak di sebelah masjid. Mengikut cerita orang tempatan, dahulu, Pulau Aur pernah mempunyai penduduk sekitar 600 orang lebih tetapi jumlah penduduk sekarang cuma lebih seratus orang akibat dari penghijrahan penduduk ke tanah besar atas dasar ekonomi dan pendidikan.




.
Nama Kampung Telok Berhala diambil sempena terdapat sebuah bongkah batu besar yang berbentuk seperti seorang yang sedang duduk bersimpuh atas bukit di kampung itu. Di Kampung Telok Berhala ini kami mencuba "air batu campur tabur milo". Jam 19:00 petang kami kembali ke Sebukang Bay Resort dengan menaiki bot.








Hari kedua selepas sarapan kami dibawa melakukan aktivity snorkling di tiga tempat iaitu di Pulau Lang, Telok Pahanan dan Telok Mariam. Snorkling di sini seperti melawat taman di dasar laut. Karang- karang yang indah dan berwarna warni memukau pandangan kami. Walaupun dari atas bot, karang-karang ini jelas kelihatan. "Table coral" terdapat banyak di kawasan Pulau Aur, sayangnya saya tidak mempunyai camera yang boleh berfungsi di dalam air. Sekitar jam 12:00 tengahari, kami kembali ke Sebukang Bay Resort untuk makan tengahari dan berehat.







Jam 16:20 selepas minum petang kami ke Pulau Dayang. Pulau Dayang mempunyai pantai pasir putih halus. Coralnya juga sungguh cantik memukau. Jika pengunjung tidak berminat untuk hiking, mereka boleh snorkling dan mandi manda di Pulau Dayang. Kami memilih untuk hiking di Pulau Dayang sekitar 20 minit menuju ke Bukit Letak Semalu. Kami memanjat bongkah-bongkah batu besar termasuk sebuah bongkah batu yang tinggi dengan menggunakan tali.





Wow!! sampai di Puncak Bukit Semalu, saya sedikit terpaku melihat indahnya pemandangan di bawah sana. Air laut di pantai Pulau Dayang jernih berkaca. Kami berehat agak lama di atas Bukit Letak Semalu ini sambil merakam gambar dan menjamu mata. Pemandangan dari atas ini sungguh mempesonakan.






Hampir sejam di atas bukit ini kami bergerak turun melalui jalur yang sama. Saya singgah sebentar di rangka tulang ikan paus yang terdapat di belakang Pulau Dayang Blues Resort. Menurut guide rangka tulang tersebut mungkin anak ikan paus.


Sebelum pulang saya meminta guide singgah sebentar di Kampung Telok Berhala untuk mandi dan bergambar di buaian air. Malam itu makan malam kami adalah BBQ.





Selesai makan malam kami cuma berehat, bercerita di jeti dan merakam kenangan. Jika pembaca ingin percutian bersama keluarga, atau menghabiskan masa bersama kawan-kawan tanpa gangguan, di sini mungkin tempat yang sesuai. Di Sebukang Bay Resort, liputan internet dan wifi sangat rendah berbanding di Kampung Telok Berhala dan adakalanya langsung tak dapat liputan. Jadi, kita mempunyai masa yang banyak bersama teman-teman. Sebukang Bay Resort juga menyediakan penginapan serba sederhana dan ringkas.







Keesokan harinya selepas sarapan kami berangkat pulang sekitar jam 10:00 pagi dan sampai di jeti Lazam pada jam 11:30 pagi. Kami kemudian kembali ke Johor Baharu untuk bermalam di sana sebelum pulang ke Penang. Saya pasti ke sini lagi jika ada rezeki. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Masa sesuai ke pulau ini adalah dari April hingga October.
2- Contack: Lily +60127922134

Selasa, 2 April 2019

Camping di Pantai Kerachut Taman Negara Pulau Pinang



Memenuhi janji saya kepada anak-anak teman pada cuti sekolah kali ini, saya merancang camping dan bermalam di Pantai Kerachut Taman Negara Pulau Pinang. Saya suka berkhemah di Pantai Kerachut berbanding di Teluk Duyung di taman negara ini kerana selain terdapat Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu dan Tasik Meromiktik di sini, pemandangan matahari terbenam di pantai ini selalu melengkapkan hari indah kami di sini. Saya ke sini bersama 4 orang teman dan 6 orang anak mereka pada akhir March 2019. Kami berkumpul di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang pada jam 12:00 tengahari.


Setelah urusan melaporkan diri dan menempah bot pergi dan pulang selesai kami memulakan agenda. Memandangkan kami membawa berbagai kelengkapan, tidak semua kami boleh menaiki bot. Empat dari kami menaiki bot dan membawa semua barang keperluan, manakala saya dan enam ahli yang lain seperti biasa trekking ke Pantai Kerachut. Kami memulakan trekking pada jam 13:00 tengahari dan sampai di Pantai Kerachut pada jam 14:30 petang.



Sampai di Pantai Kerachut kami berehat sebentar dan teman-teman yang menaiki bot baru sahaja sampai sekitar 15 minit kerana mereka bertolak lewat agar kami sampai dalam masa hampir serentak. Tasik Meromiktik seperti biasa, saya masih tidak berpeluang menyaksikan kejadian alam di mana tasik ini dipenuhi dua lapisan air tawar dan air masin.


Kemudian kami mendirikan khemah, masak petang dan kami ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu. Petang itu anak-anak ini menghabiskan masa dengan bermain di pantai, berehat di jetty dan memancing ikan. Di Pantai Kerachut tidak dibenarkan mandi laut dan berenang kerana terdapat terlalu banyak obor-obor.




Di tapak perkhemahan Pantai Keracut, disediakan tapak khemah yang luas, redup dan bersih, bilik mandi untuk perempuan dan lelaki berasingan, tandas, surau, dewan, singki dan paip untuk memasak. Jika bermalam di sini, taman negara mewajibkan kita mengambil guide namun permit masuk dan berkhemah adalah percuma. Petang itu kami melengkapkan hari dengan menyaksikan matahari terbenam. Malam pula kami meriahkan dengan acara BBQ.




Keesokan harinya selepas sarapan, guide membawa kami trekking sekitar 30 minit untuk ke air terjun untuk mandi. Inilah kali pertama saya ke air terjun ini walaupun saya sering trekking ke Pantai Kerachut. Meskipun air terjun ini tidak besar dan tinggi, namun ia tetap mengembirakan anak-anak ini.






Setelah pulang dari air terjun, kami makan dan berkemas kerana bot pulang akan menjemput kami pada jam 14:00 petang. Berangkat pulang, kami semua menaiki bot kerana banyak barang makanan telah habis, tambahan pula saya ingin anak-anak ini melihat objek Batu Arnab, Batu Penyu dan Batu Kepala Buaya dari atas bot nanti.


Kami semua selamat sampai di pintu masuk taman negara pada jam 14:30 petang dan seterusnya bergerak pulang ke rumah masing-masing. Sebelum berpisah anak-anak ini mengajak saya datang ke sini lagi. Saya mungkin akan membawa anak-anak ini melihat alam indah di tempat lain di masa akan datang. Jangan lupa bawa sampah anda keluar dari taman negara. Terima Kasih Allah.

Nota:
1- Setiap pengunjung wajib melaporkan diri di kaunter pejabat pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang.
2- Permit trekking adalah percuma.
3- Bermalam di taman negara wajib ambil guide.
4- Tambang bot sehala dari pintu masuk taman negara ke Pantai Kerachut RM 90 sebuah.
5- Terdapat tapak pakir kenderaan berbayar di sebelah pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang.
6- Perkhimatan bas Rapip No 101 dari Georgetown ke taman negara.