Selasa, 10 Januari 2023

Menara Jam Condong Telok Intan

Memandangkan kampung saya tidak berapa jauh dari Telok Intan, maka dari kecil saya kerap ke Telok Anson atau sekarang dikenali sebagai Telok Intan. Mercu tanda Menara Condong Telok Intan memang sering saya lintas tanpa pernah masuk dan melawat di dalamnya. Saya mengambil kesempatan melawat ke dalam menara condong ini baru-baru ini. Ticket masuk adalah Rm2.00 seorang.




Di dalam menara condong tersebut dipaparkan cerita dan sejarah Telok Intan. Terdapat tangga spiral atau tangga berputar  untuk naik ke tingkat atas dan cuma tiga tingkat sahaja boleh dilawati walaupun kita melihat seolah bangunan ini mempunyai lapan tingkat dari luar.


Menara Condong Telok Intan, ada yang mengelarnya Menara Jam Condong Telok Intan mula dibina pada tahun 1885 dan siap pada tahun 1892 dan lengkap setelah dipasang jam berkunci yang diimport dari London pada tahun 1895. Jam di menara ini merupakan jam bangunan pertama di Malaysia. Tujuan bangunan berbentuk seperti pagoda ini dibina ialah untuk menakung air hujan bagi keperluan bandar jika berlaku kebakaran dan kegunaan di musim kemarau. Setelah dilengkapi jam, fungsi bangunan ini bertambah sebagai mengukur waktu dan penunjuk arah kapal ke Pelabuhan Telok Anson satu ketika dulu.

Akibat dari bebanan air yang berat di tingkat teratas bangunan ini dan struktur tanah yang lembut maka menara yang setinggi 25 meter ini telah condong ke Barat Daya. Setelah bangunan ini berdiri agak condong, satu keputusan telah dibuat untuk mengosongkan tangki air tersebut. Walaupun tujuan asal bangunan ini dibina telah tidak berfungsi, namun bangunan yang serasa seperti bangunan Pisa di Itali tetap menarik dan menjadi kebanggaan Telok intan.



Khamis, 5 Januari 2023

Mendaki Bukit Engku Busu Lumut, Perak


Bukit ini mengambil nama Raja Engku Busu daripada Selangor yang dijemput Sultan Perak untuk mengawal keselamatan Selat Dinding pada tahun 1842 dari gangguan lanun. Ia merupakan bukit tertinggi di Lumut. Saya dan seorang teman mendaki bukit ini pada awal January 2023. Dengan menggunakan Google map dan bertanya pada seorang yang sedang berjogging, kami sampai di tapak parkir kaki Bukit Engku Busu. 



Kami memulakan pendakian pada jam 08:00 pagi. Keseluruhan jalur ke puncak agak menegak. Jalur jelas, bertanda dan redup. Di beberapa bahagian jalur yang agak sukar, trek disokong ikatan tali untuk pendaki  berpaut semasa proses pendakian. Sepanjang trek menuju puncak terdapat banyak simpang namun jalur akan bertemu di beberapa bahagian dalam perjalanan.





Terdapat 8 check point untuk sampai ke  puncak. Sekitar sepuluh minit sampai ke puncak, terdapat simpang dan ruang untuk melihat pemandangan.



Saya dan teman sampai di Puncak Bukit Engku Busu 331.4 mdpl pada jam 09:00 pagi. Kawasan puncak agak luas, redup namun pemandangan tidak dapat dilihat dengan jelas kerana dilindungi pokok.




Kami berehat di puncak bukit Engku busu sekitar 25 minit dan bergerak turun pada jam 09:25 pagi. Kami sampai semula di tapak parkir pada jam 10:10 pagi.


Bukit Engku Busu tidak memerlukan khidmat guide buat masa sekarang. Parkir berdekatan sebuah Kuil Hindu Dewa Sri Muniswaran. Pembaca boleh Google map kuil ini untuk ke starting point Bukit Engku Busu. Pakir percuma dan selamat. 


Selasa, 3 Januari 2023

Mendaki Bukit 300 Telok Batik, Lumut Perak


Bukit yang sesuai untuk memanaskan badan dan memecahkan lemak. Memulakan aktiviti mendaki pada tahun 2023 ini saya dan dua teman mendaki Bukit 300 di Telok Batik, Perak. Menggunakan Google map kami terus sampai di tapak parkir di kaki Bukit 300. Setelah memakir kenderaan dan bersedia, kami mula mendaki pada jam 10:00 pagi. Trek ke Puncak Bukit 300 jelas bertanda dan redup.

Proses pendakian agak santai. Trek ringkas, banyak mendatar dan sedikit menaik berselang seli. Ada sembilan check point sepanjang trek menuju puncak dan check point sembilan adalah puncak. Di setengah bahagian trek terdapat tali untuk berpaut selain akar pokok yang kukuh. Sepanjang perjalanan ke puncak kami berselisih dengan ramai pendaki yang mendaki bersama keluarga dan anak kecil.






Kami sampai di Puncak Bukit 300 pada jam 11:05 pagi. Di puncak Bukit 300 lapang dan redup, terdapat beberapa tempat berehat yang beratap dan sebuah pondok. Tidak terdapat view puncak kerana puncak dikelilingi pokok-pokok yang agak besar dan rendang.


Setelah berehat sambil berbual dengan pendaki lain. Mereka menyarankan kami mendaki Bukit Engku Busu tidak berapa jauh dari Bukit 300 yang kebetulan kami rancang esok. Kami bergerak turun pada jam 11:35 dan sampai semula di tapak parkir pada jam 12:25 tengahari. 


Pendakian ke puncak mengambil masa kurang lebih satu jam secara sederhana. Parkir di kaki bukit ini percuma dan pendakian ke puncak bukit tidak memerlukan khidmat guide.