Khamis, 6 Julai 2017

Makanan halal dan cenderahati di Chengdu


      Jika anda peminat makanan halal luar negara, Chengdu merupakan antara bandar yang patut dikunjungi. Tidak sukar mencari makanan halal di bandar ini memandangkan penduduk Negara China ramai yang beragama Islam. Tempat paling menarik yang anda patut kunjungi jika ke sini adalah ke Masjid Besar Chengdu atau juga dikenali Masjid Huangcheng yang terletak bersebelahan Muzium Chengdu di Tianfu Square. Kita boleh ke sini dari pusat bandar Chengdu dengan menaiki bas, teksi ataupun keretapi.



     Terdapat beberapa restoran dan kedai makanan halal di sekitar Masjid Huangcheng ini, tetapi jika kita datang ke sini pada hari Jumaat keadaan dan suasana di sini sungguh berbeza dari hari-hari biasa. Ini kerana pada hari Jumaat terdapat gerai-gerai makanan di hadapan masjid ini. Gerai-gerai ini dibuka setiap hari Jumaat sekitar 8:00 pagi dan sunyi pada waktu Solat Jumaat tetapi kembali meriah setelah selesai waktu Solat Jumaat.







     Sebaik-baik masa ke sini adalah sekitar 10:00 pagi kerana jika kita ke sini terlalu awal, kebanyakan makanan masih belum tersedia. Ini kerana makanan dimasak di sini dan gerai-gerai ini beroperasi sehingga petang.









      Meja makan disediakan di belakang gerai untuk pengunjung menjamu selera di sini namun bilanganya agak terhad untuk pengunjung yang berpusu-pusu datang sekitar tengahari sebelum waktu Solat Jumaat. Jika kita ke sini dengan kumpulan yang ramai, pasti sukar mencari meja makan untuk kumpulan dan cara terbaik adalah duduk sahaja di bangku yang kosong.




      Berbagai jenis makanan dijual di gerai-gerai ini terutamanya daging kambing bakar, nasi beriani, roti, buah-buahan kering, kekacang dan bermacam jenis makanan tempatan. Gerai-gerai yang cuma berurus niaga pada hari Jumaat ini mendapat sambutan bukan sahaja dari penduduk tempatan, malah dari berbagai bangsa yang tinggal dan melawat Chengdu.






      Terdapat beberapa buah gerai menjual daging halal di hujung gerai-gerai makanan ini yang membentuk pasar kecil. Kepada penduduk Islam tempatan, pasar kecil ini merupakan tempat mendapatkan daging halal untuk keperluan harian.


       Beberapa restoran juga terdapat di sekitar masjid ini. Antaranya sebuah kedai menjual makanan halal seperti mini market di hujung gerai di hadapan jalan besar. Di sini terdapat mee segera halal dan kuih dingin beku selain roti dan kebab yang menjadi menu utama.







      Kami tinggal di Hello Chengdu Youth Hostel di bandar Chengdu. Terdapat beberapa buah restoran halal di sekitar hostel dan salah satu yang sering kami kunjungi adalah restoran halal di kanan pintu keluar Hello Chengdu Youth Hostel sekitar 300 meter. Di restoran ini, mee sup tarik memang sedap.



      Seharian berjalan kaki di bandar Chengdu kami jumpa banyak kedai makanan halal. Walaupun peniaga di sini tidak paham dan tahu berbahasa Inggris, namun mereka melayan dan cuba membantu sedaya yang boleh untuk memudahkan kami.





      Ketika pulang dari Relong ke Chengdu, kami singgah di sebuah restoran halal di luar bandar Chengdu. Surau disediakan di tingkat 3 restoran ini namun berkomunikasi dalam bahasa Inggris agak sukar di sini dan kami banyak menggunakan bahasa isyarat dan gambar. Pemilik dan pekerja restoran amat ramah dan membantu. Kedudukan restauran ini tidak dapat dipastikan kerana kesemua papan tanda bertulisan cina.


    Terdapat juga makanan halal yang di packing di Chengdu jika kita mengunjungi kedai-kedai sekitar Chengdu. Buah-buahan juga boleh didapati dengan mudah dan murah.







       Selesai mengisi perut, kami mengunjung Wuhau Temple. Di sini tempat terbaik mencari cenderahati dan kedai outdoor terdapat di kanan dan kiri jalan sekitar Wuhau Temple ini. Di Wuhau Temple banyak gerai menjual hasil kraf tangan, cenderahati, perhiasan, gerai makanan, pertunjukan dan berbagai lagi. Harga barangan juga agak berpatutan. Separuh hari diperlukan jika kita ingin menjelahan di setiap gerai di sekitar Wuhau Temple ini.








      Kedai-kedai outdoor di kanan dan kiri jalan sekitar Wuhau Temple dijual dengan harga agak mahal. Hari terakhir di Chengdu kami mengunjungi Masjid Huangcheng lagi sekali dan selesai makan dan solat Jumaat kami mengambil teksi ke Decathlon yang mengambil masa sekitar 40 minit. Di Decathlon barangan outdoor lebih banyak dengan harga mampu milik.


     Jika ada rezeki saya pasti berkunjung ke Chengdu lagi, mungkin mendaki puncak selain Da Feng di Gunung Siguniang yang memukau mata, menjamu selera di gerai sekitar masjid Huangcheng atau menerokai tasik-tasik jernih di wilayah Sinchuan ini. Terima kasih ALLAH.


Nota:
1- rakyat malaysia memerlukan visa untuk melawat china.