Sabtu, 14 Oktober 2023

Bercuti ke Pulau Tioman



Saya dan dua teman bercuti di Pulau Tioman selama lima hari dan tujuan utama kami ke sini adalah untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Hampir 20 tahun dulu saya datang ke Pulau Tioman untuk bercuti, maka berputiklah hasrat untuk mendaki Gunung Nenek Semukut satu hari nanti. Kali ini saya cuba merialisasikan impian saya. Kami  menaiki feri ke Pulau Tioman dari Jeti Tanjung Gemok dan mengambil masa sekitar hampir dua jam perjalanan. Disebabkan feri dari Tanjung Gemok tidak berlabuh di Jeti Kampung Mukut, maka kami turun di Jeti Kampung Genting dan dari sana kami menaiki bot yang telah sedia menunggu kedatangan kami untuk dihantar ke penginapan.


Kami menginap di Tunamaya Resort. Hari pertama sampai, setelah check in kami berehat. Sebelah petang, kami berjalan ke Kampung Mukut. Jarak Tunamaya Resort ke Kampung Mukut sekitar sejam berjalan kaki. Walaupun Tunamaya Resort terletak di Kampung Mukut, namun jaraknya agak jauh dari kampung berdirinya Gunung Nenek Semukut. Petang itu kami bersiar di Kampung Mukut dan untuk pulang ke penginapan, kami menggunakan khidmat sewa motorsikal penduduk tempatan. Kami juga sepakat untuk menggunakan khidmat motosikal ini untuk memudahkan perjalanan kami ke Kampung Mukut memandangkan kami akan sering berkunjung ke sana dalam percutian kali ini.





Hari kedua, kami menaiki bot Naga Shuttle untuk ke Kampung Tekek. Di sini kami sarapan dan makan tengahari. Selain kedai bebas cukai yang sepi tiada apa yang menarik perhatian kami untuk berlama-lama di sini. Bot Naga Shuttle beroperasi dua kali sehari dengan tambang RM40 sehala buat masa sekarang. 




Di sebelah petang dan malam kami cuma berehat di pantai dan kawasan resort.




Hari ketiga adalah tujuan utama kami ke Pulau Tioman. Kami bersedia awal pagi menuju ke Kampung Mukut untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Kami keluar jam 07:00 pagi, trekking sekitar 10 minit menuju tempat motosikal menunggu dan meneruskan perjalanan ke Kampung Mukut. Kawan-kawan baru yang membawa motosikal menyarankan kami bersarapan di Warong Roti Canai Padang Kampung Mukut sebelum memulakan pendakian. Saya rekoman roti canai di warong ini kepada pembaca. Kami memulakan pendakian pada jam 08:30 pagi ditemani Amy, guide tempatan Kampung Mukut.



Kami mendaki Gunung Nenek Semukut melalui Uncle Sam Trails, jalur yang mempunyai 10 check point yang boleh didaki secara ringkas tanpa penggunaan peralatan teknikal. Jalur agak mendatar di permulaan pendakian namun semakin menegak setelah check point 4 sehingga ke check point 10. Kami mendaki secara santai sambil bercerita dan merakam gambar. Setelah 3 jam mendaki kami sampai di check point 9 di mana papan tanda Gunung Nenek Semukut 703mdpl dipacak. Kami akhiri pendakian gunung ini sehingga ke check point 10 iaitu tempat tertinggi yang boleh didaki tanpa penggunaan peralatan pendakian teknikal.








Kami kemudian terus turun sehingga ke pintu gerbang Dragon Horns dan sampai di sana sekitar jam 13:40 petang. Kami makan tengahari di Kampung Mukut dan selepas itu isteri Amy membawa kami mandi di Sungai Temu Jodoh Kampung Mukut.




Selepas mandi kami dijemput menghadiri majlis jamuan makan penduduk Kampung Mukut. Kebetulan kami di sana semasa majlis diadakan. Saya merasa serasi dengan keramahan penduduk Kampung Mukut sehingga terbit rasa ingin datang lagi ke kampung ini di masa akan datang. Setelah menjamu selera, kami pulang ke penginapan dengan menaiki motosikal sewa. Hari keempat, kami mengambil pakage snorkling dari Kampung Mukut. Kami dibawa ke empat tempat persinggahan dalam pakage ini. Tempat pertama, kami dibawa snorkling ke Pulau Rengis. Kami snorkling sepuasnya mengikut masa kami di sini memandangkan kami menyewa sebuah bot.





Tempat kedua adalah Taman Laut. Di sini terdapat gerai makan, tandas dan muzium. Kawasan untuk kanak-kanak berenang luas dan mendatar. Setelah melawat Taman Laut, pemandu bot bertanya samada kami ingin berhenti di Kampung Tekek yang menjadi destinasi ketiga dalam jadual kami. Memandangkan kami telah ke Kampung Tekek tempoh hari, jadi destinasi ketiga ini kami langkau dan kami terus ke destinasi keempat.





Destinasi keempat, kami dibawa snorkling ke Pulau Tomok yang berhadapan dengan Kampung Paya. Kami snorkling lagi di sini dan pakage snorkling kami berakhir setelah selesai snorkling di tempat keempat ini. Memandangkan kami mempunyai banyak masa, kami meminta pemandu bot menghantar kami ke Kampung Asah untuk ke Air Terjun Asah. Pemandu bot menerangkan kepada kami cara dan arah ke air terjun tersebut.



Kami bertiga meneruskan percutian kami di Kampung Asah untuk mandi manda. Dari Jeti Kampung Asah, kami berjalan sekitar 20 minit melalui trek yang dibina. Terdapat dua tempat penginapan percutian yang sedang dibina di Kampung Asah ini.



Trek ke Air Terjun Asah jelas, bersih dan terjaga. Kami bertiga berjalan melalui jalur bersimen sehingga ke Air Terjun Asah. Di sini kami mandi manda semahunya.








Terdapat tandas, wakaf, bangku dan meja di kawasan Air Terjun Asah ini. Setelah puas mandi manda di sini, kami terus pulang ke Kampung Mukut dengan berjalan kaki mengikuti arah papan tanda yang diterangkan oleh pemandu bot semasa menghantar kami di Jeti Kampung Asah tadi. Sekitar 30 minit berjalan kaki melalui jalan mini tar, kami sampai di Kampung Mukut. Kami berehat dan minum petang sebelum meminta kawan-kawan baru kami menghantar kami pulang ke Tunamaya Resort petang itu.







Hari kelima, kami berangkat pulang ke tanah besar sekitar jam 10:00 pagi dari Jeti Kampung Genting ke Jeti Tanjung Gemok. Saya mungkin akan datang lagi ke Pulau Tioman yang banyak cerita dan banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini pada masa akan datang. Pada masa itu, saya mungkin akan mendaki Gunung Kajang pula.

Contack Kampung Mukut:
1. Amy +60 13-713 9203 (guide gunung, diving, snorkling, penginapan dan percutian Kampung Mukut)
2. Fidah +60 13-912 7565 (operator percutian Kampung Mukut, Tioman)



Isnin, 9 Oktober 2023

Mendaki Gunung Nenek Semukut Pulau Tioman



Saya pernah datang ke Pulau Tioman dulu, lama dulu, sekitar tahun 2004. Saya memang teringin mendaki ke Gunung Nenek Semukut ini, tapi pada masa itu saya kekurangan info dan kunjungan saya hanya melihat dua batu tinggi menjulang seperti tanduk di Gunung Nenek Semukut dari dalam bot. Pada akhir September 2023, saya dan dua teman merancang mendaki gunung ini sambil bercuti di Pulau Tioman.


Kami bercuti di Pulau Tioman selama lima hari. Hari pertama sampai, di sebelah petang, kami berjalan ke Kampung Mukut untuk melihat suasana kampung ini. Kami menginap di Tunamaya Resort dan jarak ke Kampung Mukut agak jauh iaitu sekitar sejam berjalan kaki walaupun Tunamaya Resort terletak di Mukut. Petang itu kami bersiar dan melihat pintu gerbang Gunung Nenek Semukut di kaki gunung. Kami berkenalan dengan penduduk kampung dan telah menggunakan khidmat bonceng motorsikal berbayar untuk pulang ke resort. Kami juga telah sepakat menggunakan khidmat motorsikal ini untuk berulang alik ke Kampung Mukut nanti.





Hari ketiga di Pulau Tioman, kami bangun awal untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Jam 7:00 pagi kami mula trekking sekitar 10 minit dari Tunamaya Resort sehingga sampai ke jalan mini tar tempat motosikal sewa yang kami janji tempoh hari menanti. Baki perjalanan ke Kampung Mukut kami naik motosikal. Kawan baru yang membawa motosikal membawa kami bersarapan di Warung Roti Canai Padang di Kampung Mukut sebelum kami mendaki. 




Setelah mendengar sedikit taklimat kami mula mendaki sekitar jam 08:30 pagi ditemani guide tempatan bernama Amy melalui  Uncle Sam Trails. Terdapat 10 check point di jalur ini yang boleh didaki secara ringkas dan selebihnya pendakian memerlukan peralatan teknikal untuk terus ke puncak sepasang tanduk yang menjulang tegak 90 darjah. Dari pintu gerbang Dragon Horns, kami menyusuri jalur yang agak landai sehingga ke check point 2. Meneruskan pendakian ke check point 4, jalur sedikit menegak.



Di check point 4 terdapat bongkah batu besar yang dinamakan Batu Kapal. Amy membawa kami naik ke puncak batu besar ini. Tangga besi melekat kukuh di dinding batu memudahkan kami memanjat ke atas dan berada di atas batu besar ini merupakan titik awal kepuasan bagi saya. Cuaca yang cerah dan bergambar sambil disapa angin laut sungguh menyenangkan. Kami berada sekitar 15 minit di atas bongkah batu besar ini dan kemudian turun untuk meneruskan pendakian.






Sampai di check point 5 kami berehat sebentar. Di sini terdapat batu besar yang dinamakan batu berlian kerana bongkah batu yang besar ini menyerupai bentuk potongan berlian. Kami berehat sebentar sambil mendengar cerita tentang Gunung Nenek Semukut dan pengalaman Amy sebagai penunjuk arah di Gunung mitos ini. 








Melepasi check point 7, kami mula memasuki kawasan hutan buluh. Jalur agak menegak, redup, jelas dan terjaga. Menghampiri check point 8, terdapat batu menjulur keluar dari trek yang memberi peluang pendaki untuk menyaksikan pemandangan laut di bawah. Kami berhenti di sini, berehat sebentar sambil merakam gambar. Saya merasa agak gayat berada di atas batu besar yang menjelir keluar dari hutan ini.










Kemudian kami meneruskan pendakian ke check point 9, di mana papan tanda Gunung Nenek Semukut dipahat diatas batu besar menghadap laut. Kami sampai di check point 9 sekitar jam 11:30 pagi setelah 3 jam mendaki secara santai. Lokasi ini amat tepat untuk melihat pemandangan di bawah. Permandangan Kampung Mukut dan Kampung Asah jelas kelihatan di bawah sana. Kami juga melihat batu tanduk dengan jelas. Terpapar dengan jelas kesukaran untuk mencapai puncak tanduk tersebut. Gunung Nenek Semukut yang dapat didaki sekitar 703mdpl, puncak Gunung Nenek Semukut yang sebenar berada di hujung kedua belah tanduk tersebut hanya boleh didaki menggunakan peralatan teknikal mendaki seperti tali dan harness.




Menurut lagenda, Pulau Tioman terbentuk dari susuk naga jantan dari Tasik Chini, Pahang yang mati dan menjelma menjadi pulau dalam usaha untuk hidup bersama belahan jiwanya naga betina yang juga mati dan menjelma menjadi Pulau Daik di kepulauan Riau. Dua tanduk naga jantan menjadi sepasang batu yang tegak berdiri di atas Gunung Nenek Semukut. Saya juga melihat dengan jelas batu berlekuk seperti muka manusia di dinding batu tanduk tersebut.





Kami bergambar semahunya di check point 9 ini sehingga Amy mengajak kami ke check point 10. Mendaki ke check point 10, kami menjumpai banyak keluarga pokok periuk kera.





Terdapat dinding batu besar di check point 10 ini dan menurut Amy, jika ada rezeki akan ada air meleleh di dinding batu tersebut dan air itu boleh diambil untuk minum jika perlu. Check point 10 juga merupakan titik terakhir yang boleh didaki secara ringkas tanpa menggunakan peralatan teknikal di Gunung Nenek Semukut ini. Kita juga boleh menulis kata syukur atau sebarang kata-kata yang ingin diluahkan di dalam buku yang disediakan di check point 10 ini sebagai kenangan.





Setelah puas merakam gambar di check point 10, kami turun ke check point 9 dan seterusnya ke kaki gunung. Kami sampai di pintu gerbang Dragon Horns sekitar jam 13:40 petang. Kami kemudian makan tengahari di Kampung Mukut dan isteri Amy mempelawa kami mandi di Sungai Temu Jodoh di Kampung Mukut. Petang itu kami pulang ke penginapan dengan menaiki motorsikal yang dipandu isteri Amy dan rakan- rakannya.







Jika tujuan utama anda ke Pulau Tioman untuk mendaki Gunung Nenek Semukut, saya cadangkan anda tinggal di Kampung Mukut untuk menjimatkan wang tambang pengangkutan air. Anda juga dicadangkan bertanya pada orang kampung tentang jarak lokasi penginapan anda dengan Kampung Mukut sebelum anda membuat tempahan.

Contack Kampung Mukut:
1. Amy +60 13-713 9203 (guide gunung, diving, snorkling, penginapan dan percutian Kampung Mukut)
2. Fidah +60 13-912 7565 (operator percutian Kampung Mukut, Tioman)