Isnin, 9 Oktober 2023

Mendaki Gunung Nenek Semukut Pulau Tioman



Saya pernah datang ke Pulau Tioman dulu, lama dulu, sekitar tahun 2004. Saya memang teringin mendaki ke Gunung Nenek Semukut ini, tapi pada masa itu saya kekurangan info dan kunjungan saya hanya melihat dua batu tinggi menjulang seperti tanduk di Gunung Nenek Semukut dari dalam bot. Pada akhir September 2023, saya dan dua teman merancang mendaki gunung ini sambil bercuti di Pulau Tioman.


Kami bercuti di Pulau Tioman selama lima hari. Hari pertama sampai, di sebelah petang, kami berjalan ke Kampung Mukut untuk melihat suasana kampung ini. Kami menginap di Tunamaya Resort dan jarak ke Kampung Mukut agak jauh iaitu sekitar sejam berjalan kaki walaupun Tunamaya Resort terletak di Mukut. Petang itu kami bersiar dan melihat pintu gerbang Gunung Nenek Semukut di kaki gunung. Kami berkenalan dengan penduduk kampung dan telah menggunakan khidmat bonceng motorsikal berbayar untuk pulang ke resort. Kami juga telah sepakat menggunakan khidmat motorsikal ini untuk berulang alik ke Kampung Mukut nanti.





Hari ketiga di Pulau Tioman, kami bangun awal untuk mendaki Gunung Nenek Semukut. Jam 7:00 pagi kami mula trekking sekitar 10 minit dari Tunamaya Resort sehingga sampai ke jalan mini tar tempat motosikal sewa yang kami janji tempoh hari menanti. Baki perjalanan ke Kampung Mukut kami naik motosikal. Kawan baru yang membawa motosikal membawa kami bersarapan di Warung Roti Canai Padang di Kampung Mukut sebelum kami mendaki. 




Setelah mendengar sedikit taklimat kami mula mendaki sekitar jam 08:30 pagi ditemani guide tempatan bernama Amy melalui  Uncle Sam Trails. Terdapat 10 check point di jalur ini yang boleh didaki secara ringkas dan selebihnya pendakian memerlukan peralatan teknikal untuk terus ke puncak sepasang tanduk yang menjulang tegak 90 darjah. Dari pintu gerbang Dragon Horns, kami menyusuri jalur yang agak landai sehingga ke check point 2. Meneruskan pendakian ke check point 4, jalur sedikit menegak.



Di check point 4 terdapat bongkah batu besar yang dinamakan Batu Kapal. Amy membawa kami naik ke puncak batu besar ini. Tangga besi melekat kukuh di dinding batu memudahkan kami memanjat ke atas dan berada di atas batu besar ini merupakan titik awal kepuasan bagi saya. Cuaca yang cerah dan bergambar sambil disapa angin laut sungguh menyenangkan. Kami berada sekitar 15 minit di atas bongkah batu besar ini dan kemudian turun untuk meneruskan pendakian.






Sampai di check point 5 kami berehat sebentar. Di sini terdapat batu besar yang dinamakan batu berlian kerana bongkah batu yang besar ini menyerupai bentuk potongan berlian. Kami berehat sebentar sambil mendengar cerita tentang Gunung Nenek Semukut dan pengalaman Amy sebagai penunjuk arah di Gunung mitos ini. 








Melepasi check point 7, kami mula memasuki kawasan hutan buluh. Jalur agak menegak, redup, jelas dan terjaga. Menghampiri check point 8, terdapat batu menjulur keluar dari trek yang memberi peluang pendaki untuk menyaksikan pemandangan laut di bawah. Kami berhenti di sini, berehat sebentar sambil merakam gambar. Saya merasa agak gayat berada di atas batu besar yang menjelir keluar dari hutan ini.










Kemudian kami meneruskan pendakian ke check point 9, di mana papan tanda Gunung Nenek Semukut dipahat diatas batu besar menghadap laut. Kami sampai di check point 9 sekitar jam 11:30 pagi setelah 3 jam mendaki secara santai. Lokasi ini amat tepat untuk melihat pemandangan di bawah. Permandangan Kampung Mukut dan Kampung Asah jelas kelihatan di bawah sana. Kami juga melihat batu tanduk dengan jelas. Terpapar dengan jelas kesukaran untuk mencapai puncak tanduk tersebut. Gunung Nenek Semukut yang dapat didaki sekitar 703mdpl, puncak Gunung Nenek Semukut yang sebenar berada di hujung kedua belah tanduk tersebut hanya boleh didaki menggunakan peralatan teknikal mendaki seperti tali dan harness.




Menurut lagenda, Pulau Tioman terbentuk dari susuk naga jantan dari Tasik Chini, Pahang yang mati dan menjelma menjadi pulau dalam usaha untuk hidup bersama belahan jiwanya naga betina yang juga mati dan menjelma menjadi Pulau Daik di kepulauan Riau. Dua tanduk naga jantan menjadi sepasang batu yang tegak berdiri di atas Gunung Nenek Semukut. Saya juga melihat dengan jelas batu berlekuk seperti muka manusia di dinding batu tanduk tersebut.





Kami bergambar semahunya di check point 9 ini sehingga Amy mengajak kami ke check point 10. Mendaki ke check point 10, kami menjumpai banyak keluarga pokok periuk kera.





Terdapat dinding batu besar di check point 10 ini dan menurut Amy, jika ada rezeki akan ada air meleleh di dinding batu tersebut dan air itu boleh diambil untuk minum jika perlu. Check point 10 juga merupakan titik terakhir yang boleh didaki secara ringkas tanpa menggunakan peralatan teknikal di Gunung Nenek Semukut ini. Kita juga boleh menulis kata syukur atau sebarang kata-kata yang ingin diluahkan di dalam buku yang disediakan di check point 10 ini sebagai kenangan.





Setelah puas merakam gambar di check point 10, kami turun ke check point 9 dan seterusnya ke kaki gunung. Kami sampai di pintu gerbang Dragon Horns sekitar jam 13:40 petang. Kami kemudian makan tengahari di Kampung Mukut dan isteri Amy mempelawa kami mandi di Sungai Temu Jodoh di Kampung Mukut. Petang itu kami pulang ke penginapan dengan menaiki motorsikal yang dipandu isteri Amy dan rakan- rakannya.







Jika tujuan utama anda ke Pulau Tioman untuk mendaki Gunung Nenek Semukut, saya cadangkan anda tinggal di Kampung Mukut untuk menjimatkan wang tambang pengangkutan air. Anda juga dicadangkan bertanya pada orang kampung tentang jarak lokasi penginapan anda dengan Kampung Mukut sebelum anda membuat tempahan.

Contack Kampung Mukut:
1. Amy +60 13-713 9203 (guide gunung, diving, snorkling, penginapan dan percutian Kampung Mukut)
2. Fidah +60 13-912 7565 (operator percutian Kampung Mukut, Tioman)


Tiada ulasan: