Isnin, 29 Mei 2023

Bercuti di Pulau Perhentian



Setelah mendaki Gunung Sarut, saya dan dua teman bercuti ke Pulau Perhentian pada pertengahan May 2023. Kami menaiki bot dari jeti Kuala Besut dan perjalanan menaiki bot mengambil masa sekitar 40 minit  dengan tambang Rm70 pergi dan pulang. Kami menginap di Coral View Island Resort di Pulau Perhentian Besar.



Petang itu setelah check-in, kami berehat dan bersiar di sekitar pantai. Coral View Island Resort menyediakan penginapan yang selesa, kebanyakan bilik mempunyai mini kolam renang persendirian. Kolam renang besar dan taman tema untuk kanak-kanak juga tersedia untuk keluarga berhibur.



Kami berjalan di pantai dan ke jeti. Petang itu kami juga mencari pakage snorkling untuk aktivity keesokkan harinya.





Hari kedua, kami menyertai aktivity snorkling. Kami mengambil Pakage Long Trip. Disebabkan malam tadi hujan, air laut tidak begitu jernih dan agak beralun hari ini. Tempat pertama lawatan kami adalah Turtle Beach. Kami tidak berlama-lama di sini dan aktivity di Turtle Beach adalah mandi manda. 



Kemudian kami ke spot kedua iaitu Coral Garden untuk snorkling. Kami snorkling di sini sekitar 30 minit. Setelah snorkling kami singgah di Fisherman Village untuk makan tengahari.



Selepas makan dan berehat di Fisherman Village, kami meneruskan lawatan ke Turtle Point. Kami tidak bernasib baik kerana tiada penyu yang menyambut kedatangan kami hari itu. Spot terakhir adalah Shark Point. Jerung di kawasan ini tidak menyerang kami yang snorkling dan berenang di kawasannya. Namun saya yang sedikit sangsi tidak berlama-lama di dalam air kerana setiap kali melihat jerung, saya merasa sedikit gerun. Pakage snorkling berakhir sekitar jam 15:00 petang dan kami kembali ke resort untuk berehat.


Petang itu kami keluar sekitar jam 17:30 petang. Kami bercadang ke Long Beach untuk berehat dan ke Kincir Angin di Pulau Perhentian Kecil. Menurut pengusaha bot yang kami jumpa di pantai, kami agak terlewat untuk ke Kincir Angin kerana dari Long Beach kami perlu trekking sekitar 45 minit untuk ke puncak Kincir Angin. Kerana keletihan, kami membatalkan niat dan bercadang ke sana keesokkan paginya. Malam itu kami makan dan berehat di pantai di kawasan resort.





Hari ketiga, seawal jam 07:00 pagi kami menaiki teksi bot ke Long Beach. Menyaksikan matahari terbit dari dalam bot kami kemudian menyusuri pantai dan mengikuti papan tanda ke Kincir Angin.



Kami trekking dari pantai Long Beach ke puncak Kincir Angin sekitar 20 minit. Trek jelas. Ramai pelawat naik dan turun di sepanjang trek kerana inilah cara ke sana memandangkan jety yang dibina di kaki tangga runtuh dan bot tidak dapat menurunkan penumpang melalui jalan air untuk ke Kincir Angin ini.




Setibanya di atas bukit kami nampak dua kincir angin yang besar di dalam kawasan berpagar. Kami kemudian menyusuri jalur sisi pagar untuk ke tangga menghala ke bawah. Pemandangan seterusnya adalah bonus pagi itu setelah mengeluarkan peluh.




Pemandangan di bawah sana sungguh cantik. Sayangnya jety tempat bot menurunkan penumpang telah roboh dan pelantar simen yang dibina untuk pengunjung yang datang dengan bot ke kincir angin juga rosak teruk. Pengunjung tidak digalakkan datang ke tempat yang agak berbahaya ini kerana beberapa kemalangan telah berlaku dan pengunjung telah tercedera. Keselamatan adalah tanggungjawap sendiri jika ke sini. Di sebabkan binaan pelantar yang telah musnah, pengunjung hanya boleh turun separuh jalan sahaja dan di tengah bahagian pelantar telah dihadang dari dimasuki.









Kami berehat agak lama di sini sambil menyaksikan panorama indah dan merakam gambar. Kemudian kami turun melalui jalur kami datang tadi dan setelah kami sampai di Long Beach, kami mengambil teksi bot menuju ke Fisherman Village untuk sarapan. Kami meminta pemandu bot menurunkan kami di Masjid Terapung Kampung Nelayan tersebut.




Kami melawat sebentar Masjid Terapung Ar-Rahman di Pulau Perhentian ini. Setelah melawat masjid terapung, kami bersarapan di astaka dan setelah itu kami mengambil teksi bot untuk pulang ke resort penginapan kami. Kami kemudian berangkat pulang dan berharap berkunjung lagi ke sini. Moga kali itu nanti, jety dan pelantar kincir angin telah dibaik pulih dengan lebih rapi dan menarik.


 Nota: 
Terdapat banyak jenis penginapan di Pulau Perhentian. Jika anda suka tempat yang meriah, Pulau Perhentian Kecil mungkin memenuhi selera anda dan jika anda suka tempat yang lebih aman untuk bersantai, Pulau Perhentian Besar mungkin pilihan yang baik untuk anda. Sekadar  pandangan saya.


Berkhemah dan trekking air terjun di Lata Kolam



Saya dan lima teman berehat sambil berkhemah di Lata Kolam Air Deru pada pertengahan May 2023. Semalaman memandu dari Penang ke Lata Kolam Air Deru Eko Park yang terletak di Daerah Jerteh, tidak terasa letih setelah mendirikan khemah dan berehat di tepi sungai yang cantik, jernih dalam suasana nyaman dan amat menenangkan jiwa kami.





Petang hari pertama di sini, kami cuma berehat, makan dan mandi manda di sungai tempat kami berkhemah. Hari kedua, saya dan seorang teman merancang trekking di sungai untuk menjejaki lata dan air terjun yang terdapat di hulu sungai. Pagi itu dua lagi teman bersemangat menyertai kami menyusuri sungai dan setelah bersedia kami berempat ditemani dua orang guide bergerak menyusuri sungai menuju ke hulu. Kami menyusuri tepi sungai hingga ke Pengkalan Raja.







Kemudian trek memasuki hutan dan jalur mula menaik sedikit sehingga kami sampai di Lata Kelong. Pemakaian haruslah sesuai jika ingin melakukan activity ini dan sedikit latihan mungkin perlu kepada yang kurang suka aktivity lasak.





Di Lata Kelong terdapat kawasan untuk berkhemah dan kawasan untuk mandi manda juga amat cantik. Dua teman kami menyerah diri di sini dan mereka berdua  sepakat menunggu kami sambil mandi  manda di kawasan ini. 




Saya bersama seorang teman dan dua orang guide meneruskan trekking ke air terjun seterusnya. Kami sampai di Lata Pelangi sekitar 10 minit trekking. Air terjun di sini tinggi. Ketika cahaya matahari membias ke air terjun, kami melihat bayangan pelangi terbentuk di sini.





Setelah berehat sebentar dan merakam gambar, Sharil guide kami bertanya sekiranya saya ingin ke Gua Permata. Saya bersetuju dan di pertemuan dua sungai kami  menyusuri sungai di belah kiri. Kami meneruskan perjalanan meniti batu- batu besar di sungai sehingga sampai di muka Gua Permata. Berehat sebentar di sini, kami yang telah lencun mengambil kesempatan mandi di kolam hadapan pintu gua.









Shahril bertanya samada saya ingin menjelajah ke dalam gua, tetapi memikirkan dua teman yang menunggu di Lata Kelong, saya mengambil keputusan membatalkan penjelajahan ke dalam gua dan meneruskan perjalanan ke Lata Cetek.





Perjalanan menuju Lata Cetek sungguh pengujakan. Kami meniti batu-batu besar di tebing sungai dan pemandangan hutan dan air sungai yang jernih kehijauan amat memukau. Kami merakam gambar semahunya di sepanjang perjalanan walau di tempat yang sama namun masih merasa perlu rakam sebagai kenangan. 










Sepanjang perjalanan ke Lata Cetek, kami menyeberangi sungai dan melalui banyak air terjun. Sambil menyusuri sungai kami mengambil kesempatan mandi manda dan merakam gambar. Saya juga mendermakan darah pada keluarga pacat yang mengiringi perjalanan kami sebagai buah tangan.





Kami mandi manda di Lata Cetek yang jerneh dengan air separas paha ini. Lata Cetek merupakan destinasi terakhir yang kami jejaki dan kemudian kami berpatah balik ke Lata Kelong melalui laluan kami datang tadi. Setelah berkumpul semula dengan dua teman yang menunggu di Lata Kelong, kami berenam berangkat pulang ke Lata Kolam Air Deru tempat kami berkhemah dan bermalam.





Petang itu setelah pulang dari trekking lata dan air terjun, kami mandi lagi di sungai berhadapan kawasan khemah dan malam pula acara BBQ. Keesokan paginya, setelah sarapan dan mandi sungai, kami berangkat ke tujuan masing-masing pada jam 13:00 petang.




Lata Kolam Air Deru menyediakan keperluan asas seperti tempat bermalam seperti bilik penginapan, banglo, cabin Dom, tapak perkhemahan dan sebagainya. Berbagai activity boleh dilakukan di sini selain berendam di sungai yang jerneh, bersih dan dingin activity lain seperti atv, pinball, trekking, river tubing, fun booting dan berbagai lagi. Di sini juga terdapat bilik air, tandas dan surau. Lata Kolam Air Deru merupakan destinasi riadah pasti ulang.

Contack Lata Kolam Air Deru- 019 6931662
Shahril - 013 9178633