Isnin, 2 Disember 2019

Mendaki Bukit Bendera dari Trek Warisan



Ada banyak trek di Bukit Bendera ini dan saya bersama tiga teman mendaki dari Laluan Warisan atau Haritage Trail pada pertengahan November 2019. Kami memulakan pendakian sekitar jam 08:30 pagi. Jalur Warisan bermula di lorong sebelah kiri Stesen Keretapi Bukit Bendera (belakang counter ticket). Pada hari sabtu, ahad dan cuti umum ramai pendaki mendaki ke sana mengikuti jalur yang dianggap agak mudah ini.



Trek Warisan atau Haritage Trail bermula di lorong sebelah kiri Stesen Heretapi Bukit Bendera (belakang counter ticket). Menyusuri lorong bahagian belakang bangunan counter penjualan ticket, kita akan menyusup di laluan bawah Rel keretapi, seterusnya memanjat tangga kayu yang dibina sehingga ke kawasan tapak pakir kereta awam berbayar.



Mendaki sedikit jalan mini tar di kawasan tapak pakir, kita akan sampai di Pintu Gerbang Laluan Warisan Bukit Bendera. Trek jelas dan terdapat papan tanda arah ke puncak. Kami mendaki anak-anak tangga batu yang dibina dan diselenggara dengan baik. Beberapa buah pondok untuk pendaki berehat juga didirikan sepanjang trek.




Kami mendaki anak tangga melebihi 1300 tingkat untuk sampai di stesen tengah. Pendaki dinasihatkan memakai pakaian yang sesuai. Pemilihan kasut juga harus serasi dengan kaki. Jangan lupa membawa air minuman dan makanan ringan. Trek di Laluan Warisan ini redup dan berudara nyaman. 




Kami sampai di Stesen Tengah ini sekitar jam 09:30 pagi. Pada masa dahulu, stesen ini merupakan tempat transit keretapi dalam perjalanan pelancong ke puncak Bukit Bendera. Namun sekarang ia tidak beroperasi sebagai stesen transit kerana keretapi dari bawah boleh terus ke puncak Bukit Bendera. Di sini terdapat tandas dan kami berehat di sini hampir 20 minit.




Kemudian kami meneruskan pendakian melalui jalur di sebelah kanan stesen. Mendaki beberapa tingkat anak tangga batu, kami seterusnya trekking di laluan mini tar. Kami sampai di Claremont Station pada jam 10:10 pagi.  Di sini kami merakam gambar keretapi yang dalam perjalanan turun dan naik.




Kemudian kami mengikut arah papan tanda menghala ke Top Station. Di sini kami melalui trek hutan yang redup. Trek sedikit menaik sehingga kami bertembung semula dengan laluan Rel keretapi. Kami kemudian menyusuri trek laluan di bawah Rel dan meneruskan pendakian melalui laluan By Path G.






Menyusur laluan By Path G, akhirnya kami bertembung dengan jalan raya dan kami terus mengikut papan tanda ke Stesen Atas ataupun Upper Station. Di atas terdapat dua persimpangan. Kebiasaannya pendaki akan mengikuti arah kanan dan terus menuju ke puncak Bukit Bendera. Kami memilih arah ke kiri, melintasi bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad dan terus menaiki tangga menghala  ke Astaka Bukit Bendera dari arah belakang.





Kami sampai di Astaka Bukit Bendera sekitar jam 11:15 pagi dan di sini kami menjamu selera. Saya rekomen pendaki ke Gerai No B2-24, mereka akan memberi potongan harga untuk pendaki menjamu selera, kebiasaannya discount hanya untuk pendaki.




Kami turun ke bawah sekitar jam 13:00 petang dengan menaiki keretapi. Bayaran tiket sehala bagi November 2019 adalah Rm 6:00 seorang untuk warganegara Malaysia. Ticket turun dibeli semasa sampai di Stesen Bawah. Terima kasih Allah.