Isnin, 10 Ogos 2026

Bercuti ke Koh Lanta


Inilah kali pertama saya bercuti ke Koh Lanta. Rencana ke sini dirancang di saat akhir bila seorang teman dari Johor datang bertandang ke Penang. Kami sepakat melanjutkan percutian dia ke negara jiran dan saya memilih lokasi Koh Lanta. Saya mempelawa dua lagi teman menyertai kami dan setelah sepakat saya menyusun jadual perjalanan secara ringkas. Kami memulakan perjalanan sekitar jam 11:00 pagi pada pertengahan July 2026. Kami singgah makan tengahari di Bandar Bertam dan melanjutkan perjalanan ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Setelah semua urusan memasuki negara Thailand selesai, kami memandu ke sempadan Sadao dan seterusnya ke Had Yai. Kami singgah di Had Yai membeli makanan dan buah-buahan di gerai-gerai hadapan Lee Garden.


Kemudian kami meneruskan perjalanan ke bandar Phatthalung. Malam pertama kami menginap di Dusit Princess Phatthalung. Hotel baru yang selesa ini meleraikan letih kami hari itu. Rancangan melawat ke tasik teratai Thale Noi subuh hari kedua kami batalkan kerana keletihan dan sekarang bukan musim teratai berbunga. Hari kedua setelah check out, kami memandu menyusuri Jambatan Chaloem Phrakiat 80 Phansa Bridge. Dalam perjalanan ke sana kami singgah makan di gerai tepi jalan.



Setelah mengisi perut kami melanjutkan perjalanan ke Jambatan Chaloem Phrakiat yang juga dikenali sebagai Ekachai Bridge yang melintangi Tasik Thale Noi sepanjang 5.5 kilometer. 






Selesai sesi merakam gambar di sepanjang Jambatan Chaloem Phrakiat kami meneruskan perjalanan ke Jeti Hua Hin untuk menyeberang ke Pulau Lanta. Dalam perjalanan ke sana kami singgah beberapa kali di bandar yang kami lalui. Kebetulan sekarang musim buah-buahan. Kami tiba di Jeti Hua Hin sekitar jam 17:00 petang. Kaunter ticket ke Pulau Lanta terletak sekitar 500 meter sebelum jeti. Harga ticket untuk empat orang dan sebuah kereta adalah TB260





Dari Jeti Hua Hin di tanah besar ke Jeti Saladan di Koh Lanta mengambil masa sekitar 20 minit. Di Koh Lanta kami menginap di Twin Lotus Resort & SPA selama 4 hari 3 malam.



Setelah check in kami berehat dan di sebelah malam kami keluar untuk makan malam. Kami menjamu selera di kedai makan Thai Malaysia.


Hari ketiga saya dan dua teman mengambil pakage Island Hopping manakala seorang lagi teman memilih untuk berehat di hotel. Pakage Island Hopping ini merangkumi empat pulau persinggahan. Pagi itu wakil tour pakage menjemput kami dan kami berkumpul dengan peserta lain di Jeti Old Town Koh Lanta. Di sini kami perlu membayar TB200 seorang untuk permit taman negara.



Tempat persinggahan pertama kami adalah Koh Mook. Di sini kita diajak berenang melalui Emerald Cave sekitar 80 meter dan tembus di bahagian belah sana. Terdapat lagon pasir putih di bahagian sebelah pulau. Masa ini saya tidak berapa sehat dan air laut hari itu agak dalam dan berwarna agak gelap. Saya hanya menunggu di dalam bot sementara pelancong lain menyertai aktiviti ini. Tidak berapa lama tiga pelancong dari China berpatah balik. Menurutnya keadaan di bawah sana agak menyeramkan kerana air pasang dan agak gelap.



Selesai lawatan ke Pulau Mook dan Emerald Cave kami ke persinggahan kedua iaitu Koh Chueak. Di sini aktiviti snorkling. Kerana kami ke Koh Lanta semasa peralihan musim monson, air laut tidak begitu jernih. Saya turun ke air dan terdapat banyak ikan. Mungkin jika kami ke sini di musim panas, pemandangan bawah laut lebih menarik. Saya terus berenang ke pantai untuk berehat sehingga kami dipanggil untuk meneruskan perjalanan. Kemudian kami singgah ke Koh Ngai untuk makan tengahari.






Persinggahan terakhir kami hari itu adalah Koh Hai. Terdapat gerai menjual minuman. Di sini kami cuma berehat dan mandi manda di laut biru sementara menunggu waktu pulang. Pakage ini tidak termasuk Pulau Kradan kerana masa membeli pakage ini saya diberitahu cuaca sekarang tidak begitu baik dan pakage Pulau Kradan bergantung pada keadaan cuaca.




Dalam pukul 17:45 kami sampai di Jeti Old Town Koh Lanta dan pakage tamat di sini. Kemudian kami dihantar pulang ke hotel penginapan.


Malam itu kami keluar makan di kedai makan tidak berapa jauh dari hotel. Kaw Kwang Seafood Restaurant ini terletak tepi laut dan pekerjanya boleh berbahasa melayu. Selesai makan kami singgah di rumah urut untuk merehatkan badan dengan urutan pengurut tempatan.



Hari keempat seawal pagi saya bersarapan di hotel. Makanan di hotel ini tidak halal. Saya cuma makan buah-buahan kerana sarapan termasuk dalam pakage penginapan.


Hari keempat saya bercadang trekking ke Mu Ko Lanta National Park dan melawat Old Town Koh Lanta. Kerana agak keletihan dan rasa malas kami cuma bersemangat ke Old Town. Kami memandu ke Old Town dan mencari kedai makanan halal di sana.





Selesai menikmati makan tengahari, kami berjalan dan menjengah kedai-kedai yang menjual cenderahati di deretan kiri dan kanan Old Town Koh Lanta sambil merakam gambar.




Petang itu kami cuma berehat di hotel sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Malam ini kami bercadang ke pasar malam Saladan. Setelah puas mencari kami masih tidak menjumpai night market Saladan. Malam itu sekali lagi kami mengulangi kedai makan Kaw Kwang Seafood Restaurant.  




Saya bertanya tentang pasar malam Saladan kepada juruwang di Restauran Kaw Kwang dan dia mengatakan pasar malam tidak beroperasi di musim kurang pelancong. Menurutnya lagi di musim puncak pelancong pasar malam beroperasi dengan sangat meriah. Keesokkan paginya iaitu hari kelima kami bergerak balik ke Had yai. Sampai di Had yai kami ke Restauran Marada untuk makan tengahari.





Hidangan di restauran ini bersaiz besar. Beberapa hidangan kami bungkus kerana tidak habis. Selepas makan kami meneruskan perjalanan ke hotel. Kami menginap di Laguna Grand Hotel & SPA Songkhla.




Malam itu kami ke Night Market Lee Garden. Menjamu selera di gerai-gerai di sekitar sana. Sebelum balik kami ke rumah urut sekali lagi.






Hari keenam hari terakhir percutian kami. Setelah check out kami ke Kim Yong Market Had Yai. Kami membeli sedikit buah tangan, buah-buahan dan makanan.




Sebelum pulang kami singgah makan tengahari di Bingsu Nom6. Percutian kami kali ini lebih kepada jalan-jalan cari makan. Itulah cara Thailand memikat pelancong Malaysia agar berkunjung ke sana berulang kali. Rasa enak makanan Thailand adalah senjata mereka. 



Kemudian kami meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia melalui sempadan Sadao ke Bukit Kayu Hitam. Kami sampai di Penang lewat petang dan percutian pun berakhir di sini. Terima kasih Allah.