Selasa, 10 Januari 2023

Menara Jam Condong Telok Intan

Memandangkan kampung saya tidak berapa jauh dari Telok Intan, maka dari kecil saya kerap ke Telok Anson atau sekarang dikenali sebagai Telok Intan. Mercu tanda Menara Condong Telok Intan memang sering saya lintas tanpa pernah masuk dan melawat di dalamnya. Saya mengambil kesempatan melawat ke dalam menara condong ini baru-baru ini. Ticket masuk adalah Rm2.00 seorang.




Di dalam menara condong tersebut dipaparkan cerita dan sejarah Telok Intan. Terdapat tangga spiral atau tangga berputar  untuk naik ke tingkat atas dan cuma tiga tingkat sahaja boleh dilawati walaupun kita melihat seolah bangunan ini mempunyai lapan tingkat dari luar.


Menara Condong Telok Intan, ada yang mengelarnya Menara Jam Condong Telok Intan mula dibina pada tahun 1885 dan siap pada tahun 1892 dan lengkap setelah dipasang jam berkunci yang diimport dari London pada tahun 1895. Jam di menara ini merupakan jam bangunan pertama di Malaysia. Tujuan bangunan berbentuk seperti pagoda ini dibina ialah untuk menakung air hujan bagi keperluan bandar jika berlaku kebakaran dan kegunaan di musim kemarau. Setelah dilengkapi jam, fungsi bangunan ini bertambah sebagai mengukur waktu dan penunjuk arah kapal ke Pelabuhan Telok Anson satu ketika dulu.

Akibat dari bebanan air yang berat di tingkat teratas bangunan ini dan struktur tanah yang lembut maka menara yang setinggi 25 meter ini telah condong ke Barat Daya. Setelah bangunan ini berdiri agak condong, satu keputusan telah dibuat untuk mengosongkan tangki air tersebut. Walaupun tujuan asal bangunan ini dibina telah tidak berfungsi, namun bangunan yang serasa seperti bangunan Pisa di Itali tetap menarik dan menjadi kebanggaan Telok intan.



Tiada ulasan: