Saya dan seorang teman memanaskan badan di trek Rawang Bypass ini pada awal September 2025 semasa kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Kami berdua bermalam di Sahara Hotel Rawang. Berpandukan Google map, jarak Sahara Hotel dengan starting point trek Rawang Bypas sekitar 3 minit sahaja.
Pagi itu kami menuju starting point trek Rawang Bypass. Terdapat beberapa buah kereta yang parkir di bahu jalan di kawasan sedikit lapang. Kami memakir kenderaan dan bertegur sapa dengan sepasang cina yang kami fikir telah selesai mendaki. Kami bertanya arah jalur Rawang Bypass untuk memastikan kami menuju arah yang betul walaupun kami telah membaca di internet tentang jalur ke sana.
Kami menyusuri jalan mini tar yang landai sehingga bertemu dua orang lelaki cina yang sedang berjalan dari arah bertentangan. Kami bertanya lagi arah ke Rawang Bypass dan mereka memberitahu kami perlu berjalan sehingga berjumpa tembok batu dan perlu menuju ke arah kanan dan turun ke bawah. Kemudian kami diberitahu supaya menyusuri terowong yang terdapat di bawah lebuhraya untuk ke jalur Rawang Bypass seperti yang kami baca di internet.
Kami kemudian mendaki tangga-tangga simen sedikit menaik. Terdapat tali yang diikat untuk pendaki berpaut di lereng bukit yang bersimen ini.
Akhirnya setelah mendaki sekitar 30 minit kami sampai di Rawang Bypass yang berketinggian 58.2 meter. Disebabkan kami ke sini pada hari bekerja, cuma beberapa orang pendaki sahaja yang berada di Rawang Bypass pagi itu. Kami berehat semahunya di sana sambil menjamu mata melihat kenderaan yang lalu lalang di lebuhraya pagi itu.
Setelah puas berehat kami turun melalui jalur kami ke sini tadi. Trek bersimen ini mungkin licin jika basah atau hari hujan. Pendaki yang ingin ke Rawang Bypass sebaiknya memakai kasut yang sesuai untuk mendaki. Elakkan memakai selipar walaupun ketinggian Rawang Bypass sekadar 58mdpl. Petua pendakian yang saya pegang "jangan meremehkan ketinggian sesuatu bukit".
Mendaki ke Rawang Bypass tidak memerlukan permit dan guide tetapi harus berjaga-jaga ketika mendaki di bahagian bersimen dan berbatu besar menuju ke atas bukit yang agak bahaya. Sekitar 20 minit trekking, kami sampai di tapak parkir. Kami kembali ke hotel dan bersedia untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Terima kasih Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan