Selasa, 27 Mac 2018

Penang dan basikal



Berbagai cara pelancong mengelilingi Penang. Kebiasaannya pelancong mengelilingi pulau ini dengan motosikal dan kereta. Saya juga sering mengelilingi pulau ini dengan kenderaan berinjen. Kali ini saya ingin kongsi cerita saya mengelilingi Pulau Mutiara dengan basikal bersama seorang teman yang sering melakukan aktivity berbasikal mengelilingi pulau ini. Kami berdua memulakan perjalanan ini dari Bayan Lepas sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Penang memandangkan saya tinggal di kawasan ini. Kami menuju ke Teluk Kumbar dan menyusuri jalan baru menghala ke Balik Pulau.


Jalan baru yang dibina di atas "flyover" ini amat selesa dan menyajikan pemandangan indah. Dari jalan ini kita dapat menyaksikan lautan biru. Tetapi mengayuh basikal di jalan lebar ini harus berhati-hati kerana kenderaan dipandu laju di kawasan ini. Jalan sedikit mendaki memaksa kami memerah keringat sehingga sampai di Bukit Genting. Kemudian kami menuruni bukit sehingga sampai ke Balik Pulau. Kami meneruskan kayuhan ke Sungai Rusa dan kebiasaannya kami akan singgah sebentar di warung tepi jalan di kawasan ini untuk makan. Kemudian kami meneruskan kayuhan menyusuri jalan pinggir sawah padi menghala ke Sungai Pinang.


Kami singgah sebentar di Teratak Sri Pinang yang terletak hadapan Balai Polis Sungai Pinang. Teratak Sri Pinang ini menarik perhatian kami kerana terdapat banyak himpunan basikal tua yang dipamer di luar pagar rumah ini. Penjaga rumah itu berkata, asalnya rumah yang menghimpunkan banyak barang lama dan antik itu disediakan untuk lawatan, namun ia kelihatan seperti tertangguh. Di Teratak Sri Pinang ini juga terdapat banyak mesin getah dan lesung batu kisar.





Kami kemudiannya meneruskan kayuhan menghala ke Teluk Bahang. Jalan ke Teluk Bahang sedikit mendaki bukit dan melalui jalan hutan dan bengkang bengkok. Kami memerah keringat untuk meneruskan kayuhan semasa melalui jalan ini. Dalam perjalanan ke Teluk Bahang ini kami singgah di Titi Kerawang yang menjadi antara "spot" lawatan sekiranya pelancong melawat Penang.



Kami berehat agak lama di sini. Bertegur sapa dengan beberapa orang pengayuh basikal yang juga melakukan aktivity yang sama kami lakukan. Terdapat deretan gerai menjual buah-buahan dan minuman di kiri jalan di sini.





Kami meneruskan kayuhan secara santai dan singgah di beberapa tempat untuk berehat dan merakam gambar. Antara tempat wajib singgah jika berkayuh menghala Teluk Bahang adalah "spot" yang dikenali sebagai Point 800 meter.



Kami teruskan kayuhan menghala ke Teluk Bahang, jalan agak menurun dan redup namun agak berbahaya kerana berbelok-belok. Terdapat banyak gerai menjual buah durian di pinggir jalan dan ramai pelancong menikmati buah durian ketika kami menyusuri jalan ini. Kami kemudian sampai ke Dam Teluk Bahang yang indah. Kami berehat sebentar di Kawasan Tadahan Air Pulau Pinang ini sambil merakam gambar.



Kemudian kami teruskan kayuhan menghala ke "roundabout" Teluk Bahang dan mengambil jalan menghala ke Batu Peringgi. Dalam perjalanan ke sana kami singgah sebentar di pintu masuk Hutan Rimba Teluk Bahang dan Butterfly Farm untuk merakam gambar.



Dari Batu Peringgi kami menuju ke Tanjung Bungah dan singgah sebentar di gerai pinggir jalan untuk berehat dan makan Laksa. Kemudian kami berkayuh ke Tanjung Tokong dan terus ke Gurney Drive ataupun dikenali juga sebagai Padang Kota Baru. Mengayuh menuju ke Gurney Drive, pengayuh harus berhati-hati kerana terdapat banyak kenderaan yang dipandu laju dan suasana di bandar agak sibuk kerana melalui kawasan popular pelancong di Penang.



Kami teruskan kayuhan menuju Padang Kota Lama menyusuri jalan tepi laut, ke Kota Cornwallis dan terus menghala ke Jetty Terminal. Dari sana kami mengayuh menuju Jelutong melalui lebuhraya pinggir laut dan mulai Stesen Minyak Shell di lebuhraya tepi laut Jelutong, kami menyusuri jalan trek basikal yang disediakan.



Mengayuh di trek basikal yang disediakan pinggir laut dan di sisi jalan raya yang sibuk amat menyelesakan bagi saya. Rasa amat selamat dari deruan injen kenderaan yang dipandu laju. Kami mengayuh di trek ini dan memintas di bawah jambatan pertama. Terdapat ramai pemancing dan pengunjung beriadah di bawah Jambatan Pertama Pulau Pinang ini.


Jambatan pertama Penang


Menyusuri trek berbasikal ini kami menuju ke Queenbay Mall yang merupakan salah satu pusat beli belah terkenal di Penang. Kami terus menyusuri trek berbasikal ini sehingga binaan trek berakhir iaitu di susur masuk jambatan ke 2 Penang. Setelah laluan berbasikal berakhir di susur jambatan ke 2, saya meneruskan kayuhan melalui jalan besar menuju ke Batu Maung dan tamat di Bayan Lepas.

Jambatan ke 2 Pulau Pinang



Jika anda berkayuh di Penang dan mempunyai masalah dengan basikal boleh hubungi atau cari  kedai basikal di bawah ini. Pekerja di kedai ini ramah dan pakar dalam urusan basikal.


Tidak sabar menunggu litar berbasikal keliling Penang siap dibina untuk keselamatan pengayuh yang suka aktivity berbasikal dan saya berharap litar berbasikal itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Terima kasih Allah kerana rezeki kesihatan yang baik untuk melakukan aktivity ini.


Tiada ulasan: