Ahad, 1 November 2020

Mendaki Gunung Tangga via Loging Gua Musang, Cameron Highlands


Trek gunung ini tiada bertangga walaupun nama gunung ini Gunung Tangga. Saya dan teman-teman mendaki ke gunung yang terletak di Kelantan ini pada akhir October 2020. Kami sampai di RnR Loging Gua Musang sekitar jam 3:00 pagi. Kami berehat dan membuat persiapan serba sedikit sementara menunggu masa mendaki. Jam 06:40 setelah berkenalan dengan penunjuk arah dan semua bersedia, kami menaiki powil ke starting point dan sampai di sana sekitar jam 07:00 pagi. Kami di temani dua orang Guide dari Silver Outdoor dan seorang guide tersohor Pak Kassim. 


Di permulaan trek, kami berkongsi jalur dengan paip air. Kami menyeberangi beberapa anak sungai dan setelah trekking sekitar 30 minit, kami sampai di Air terjun Sungai Wi Kecil. Kami berehat sebentar sambil merakam gambar di air terjun ini.



Kemudian kami meneruskan pendakian dan trek berpaip masih lagi merebut jalur menyebabkan saya sedikit bosan kerana saya tidak suka trekking di atas paip yang licin dan kawasan bertanah agak terhad dan becak. Jalur jelas dan menuju ke Kem Pakma jalur agak landai.



Jam 08:00 pagi kami sampai di Kem Pakma di mana sarang Bunga Refflesia sering berkembang. Antara sebab Gunung Tangga didaki adalah kerana bunga yang dikatakan antara bunga terbesar di dunia sering berkembang di sini. Bunga Refflesia menggambil masa sembilan bulan dari berputik sehingga kuncupnya matang untuk berkembang dan ia hanya berkembang mekar sekitar seminggu sebelum layu dan membusuk.


Kami mengambil masa sekitar setengah jam bergilir mengambil gambar di Bunga Refflesia ini sambil bercerita dengan Pak Kassim yang berpengalaman di hutan Semenanjung. Jam 08:30 kami meneruskan pendakian dan mendaki Bukit Meranti yang agak menegak. Di jalur ini kami bergambar dengan sepohon pokok meranti yang besar gagah mempasak bumi. Kami memerah keringat kerana trek ke puncak Gunung Tangga ini jauh dan agak menegak. Setelah melintasi Check Point 1, Check Point 2, Last Water Point, kami akhirnya sampai di Kem Tengah sekitar jam 12:30 tengahari. Kami berehat di sini, makan tengahari sebelum meneruskan pendaki ke puncak yang berbaki sekitar sejam setengah perjalanan.      




Jam 13:10 petang saya dan beberapa orang teman meneruskan pendakian sementara teman-teman yang lain mengambil keputusan menunggu dan berehat di Kem Tengah setelah penat memandu waktu malam dalam perjalanan ke sini malam tadi. Kebiasaannya Gunung Tangga didaki dua hari satu malam namun kerana pendemic Covid19, kami cuba mendaki secara daypack. Lumrah pergunungan di Cameron Highlands, semakin sampai ke puncak, jalur akan dihiasi hutan berlumut.





Kami menghabiskan banyak masa di kawasan serba hijau yang nyaman ini. Tambahan pula guide kami agak penyabar dan bertoleransi bila teman-teman saya galak bergambar di sini. Kami kemudiannya meneruskan baki pejalanan dan sampai di puncak Gunung Tangga di ketinggian 2014 mdpl pada jam 15:00 petang. Kami berehat dan merakam gambar di puncak comel ini sekitar 30 minit. Tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat dari puncak ini kerana ruang terbuka agak terhad. 







Kami kemudiannya turun pada jam 15:30 petang dan sampai di Kem Tengah sekitar jam 17:00 petang. Setibanya di Kem Tengah, teman-teman yang menunggu di sana telah berangkat turun seperti diarah oleh Guide dan mereka akan menunggu kumpulan kami di Kem Pakma nanti dan akan turun bersama ke tempat powil menunggu.



Kami sampai kembali RnR Loging Gua Musang sekitar jam 23:00 malam, setelah trekking selama 15 jam. Beberapa kali saya mendaki bersama Team Silveroutdoor beberapa tahun dahulu, walaupun Guide silih berganti, sememangnya saya merasa selesa dan selamat. Guide Udin berpengalaman, setiap soalan yang saya acukan mendapat jawapan tepat dan yakin manakala key seorang yang sabar, saya anggap mereka secara peribadi 'Guide Local Level International'. Tambahan dengan usia yang semakin meningkat, saya sangat menitik berat tentang pemilihan guide bila mendaki. Terima Kasih Allah.

Nota:
Contack guide:
Silveroutdoor +60194518380

Itenerary:
06:40 Naik powil.
07:00 Start mendaki.
07:30 AirTerjun Sungai Wi Kecil.
08:00 Kem Pakma.
08:30 Bukit Meranti.
12:40 Kem Tengah.
13;10 mendaki ke puncak
15:00 Sampai puncak Gunung Tangga.
15:30 Start turun.
22: 30 Sampai starting point mendaki, naik powil
23:00 sampai RNR Loging.

Tiada ulasan: