Isnin, 25 Januari 2016

Kawah Ijen

     
        Gunung Ijen atau Kawah Gunung Ijen banyak berbakti kepada penduduk kebupaten Bondowoso Jawa Timur, Indonesia. Belerang atau sulfur yang dimuntahkan dari perut buminya saban hari memberi rezeki kepada keluarga pelombong sejak pemerintahan Belanda sehingga kini, dan proses perlombongan secara tradisional masih diamalkan lagi. Gunung Ijen atau lebih dikenali sebagai Kawah Ijen terletak di wisata Gunung Ijen bahagian Taman Nasional Baluran di perbatasan kabupaten Bondowoso dan Bayuwangi.


         Saya bersama seorang teman pendaki ke Kawah Ijen ini pada tahun 2009. Pendakian ke kawah Gunung Ijen ini sebenarnya tidak dirancang kerana kami berdua baru sahaja pulang dari Taman Negara Komodo di Pulau Flores. Memandangkan cuti kami masih berbaki 3 hari, kami menghubungi teman di Surabaya dan terus merancang mendaki Gunung Ijen. Dari Pulau Bali kami menaiki bas malam hingga ke Bayuwangi dan perjalanan mengambil masa lebih 3 jam termasuk menaiki feri selama 45 minit menyeberangi pulau. Kami sampai di Bayuwangi sekitar jam 2 pagi, kemudian kami meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Ijen bersama 2 teman yang sedia menanti kami di Bayuwangi. Perjalanan ke kaki gunung mengambil masa kurang lebih 2 jam menaiki van yang kami sewa.

Pos pendakian Kawah Ijen.
        Setelah melaporkan diri dan membayar yuran pendakian di pos pendakian, kami mula mendaki ke Kawah Ijen. Pendakian secara santai ini mengambil masa kurang lebih 2 jam. Di pertengahan jalan ke puncak, saya berselisih dengan ramai penduduk setempat yang memikul belerang. Mereka menawarkan kami belerang yang berbagai bentuk pelik seperti istana sebagai perhiasan dengan harga yang murah.








        Trek agak landai namun semakin hampir kami ke puncak, semakin kuat bau belerang yang tidak menyenangkan. Saya dan teman tidak membawa pelindung muka, maka saya terpaksa menutup hidung menggunakan skaf dan tisu. Asap belerang ini juga memedihkan mata.



         Kami sampai di puncak Kawah Ijen 2380 mdpl setelah mendaki kurang lebih 2 jam dan dari sini kami nampak sebahagian kawah Ijen yang berwarna kuning. Di kawah inilah pelombong tempatan akan mengambil belerang dan memikulnya hingga ketempat pengumpulan belerang di kaki gunung.







         Kami tidak berada lama di puncak ini kerana bau yang tidak menyenangkan. Selepas merakam gambar dan melihat kawah belerang yang terletak 20 minit berjalan kaki ke bawah, di dalam perut Gunung Ijen, kami terus turun melalui jalur yang sama kami mendaki tadi. Dalam perjalanan turun kami singgah di pondok tempat pengumpulan belerang.

Teman pendaki bergambar bersama bakul belerang.



        Di gunung ini saya melihat betapa peritnya mencari rezeki halal. Di mana kekuatan tenaga dan semangat menjadi modal dan pertaruhan. Terima Kasih Allah.


Tiada ulasan: