Isnin, 8 Februari 2016

Gunung Galunggung

       Gunung ini bukanlah tergolong dalam G7 Indonesia, bukan juga gunung yang melebihi 3000 mdpl yang sering menjadi target pendaki yang obsesi mendaki untuk melihat keindahan alam dari titik yang tinggi. Gunung ini hanya mencecah ketinggian 2167 mdpl namun keindahan penoramanya bisa menarik pengunjung berulang kali ke sini. Saya bersama enam teman dari Malaysia dan 2 teman pendaki Indonesia ke gunung ini pada Februari 2009 setelah selesai mandaki Gunung Ciremai.


         Gunung yang berjarak kurang lebih 20 km dari kota Tasik Malaya ini tidak memerlukan stamina yang tinggi untuk ke puncaknya. Penduduk sekitar mengumpanakan gunung ini "singa sedang tidur lelap". Gunung Galunggung pernah meletus pada April 1982 dan akibat dari letusan tersebut, puncaknya telah runtuh.


        Untuk sampai ke kaki Gunung Galunggung, kami menaiki van yang disewa dari Linggajati hingga ke kota Tasik Malaya dan seterusnya ke pintu masuk wisata Gunung Galunggung. Setelah membayar tiket masuk sebanyak 5000 Rp, kami menyewa ojek (motosikal) untuk ke kaki Gunung Galunggung dan kami tiba di kaki gunung agak lewat petang. Terdapat deretan warung di kaki gunung ini, surau dan tandas juga disediakan.


          Mendaki Gunung Galunggung agak santai dan sesuai untuk aktivity keluarga. Sebanyak 620 anak tangga perlu didaki untuk ke tebing kawah dan saya melakukannya selama kurang lebih 30 minit secara santai dan sesekali berhenti untuk melihat keindahan alam. Setibanya saya di anak tangga teratas, jam menghampiri pukul 8.00 malam dan nasib baik malam itu cahaya bulan agak terang. Teman yang sampai awal sedang mendirikan khemah. Menurut pemandu ojek, jika kami hendak berkhemah di lantai kawah, kami perlu berjalan kaki mengikut arah kanan kawah ke bawah kurang lebih 40 minit. Malam itu kami tidur dalam kesejukan dan angin bertiup agak kencang walaupun tiada hujan. Bonusnya pagi itu, kami bangun dengan suasana yang aman dan damai, dijamu dengan permandangan serba hijau, dari hutan hingga ke air di kawah Gunung Galunggung.






         Pagi itu kami merakam gambar kenangan sambil melihat permandangan indah Gunung Galunggung dan tasiknya yang tenang. Kota Tasik Malaya juga jelas kelihatan dari sini. Di lantai kawah pula terdapat surau dan tapak perkhemahan. Terfikir pula untuk datang lagi dan bermalam di tapak khemah di bawah jika diberi rezeki di masa akan datang, bersantai sambil memancing di tasik Galunggung. Terdapat juga warung di atas tebing kawah namun tidak beratap. Menurut penjual di situ angin kencang telah menerbangkan atap warung dan atap akan dibaiki setelah musim angin kencang berlalu beberapa bulan lagi. Setelah puas bersantai, kami pun berangkat turun dan terus ke Cipanas untuk mandi air panas.


        Mandi air panas di Cipanas setelah mendaki memang amat selesa dan merehatkan badan. Kemudian kami ke kota Garut yang terkenal dengan dodol. Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya berharap datang lagi ke sini di masa akan datang.




Tiada ulasan: