Pengusaha rumpai laut sedang memungut hasil. |
Sampai di Pulau Mataking, pemandu bot membawa kami ke tempat tentera bertugas di hujung pulau untuk melaporkan kedatangan kami. Kemudian barulah kami dibawa ke resort di Pulau Mataking dan penyambut tetamu mengatakan kami perlu membayar pass lawatan jika ingin ke resort sebanyak Rm 40. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak masuk. Hanya The Reef Dive Resort sahaja resort yang ada di Pulau Mataking dan saya melihat resort berkenaan seperti resort di Pulau Kapalai dan Pulau Mabul yang kami lawati semalam. Saya ada terbaca di internet bahawa The Reef Dive Resort merupakan resort yang mewah dan harga semalam untuk seorang pelancong tidak kurang dari Rm 1000. Pemandu bot seterusnya membawa kami ke Pulau Mataking Kecil yang berdekatan dengan Pulau Mataking. Di Pulau Mataking Kecil tiada resort, jadi kami bebas mandi dan makan di pulau ini. Terdapat benteng pasir yang menghubungkan Pulau Mataking Kecil dan Pulau Mataking.
Kami cuma mandi di persisiran pantai kerana ombak agak besar. Setelah berada di sini beberapa jam, pemandu bot membawa kami ke Pulau Timba Timba. Di pulau ini kami merasa gementar untuk mandi kerana ombaknya yang besar dan kami tidak mahir berenang walaupun dibekalkan life jacket. Airnya juga kelihatan gelap mungkin kerana pulau ini berada di atas terumbu yang timbul di tengah laut lalu menjadi pulau dan dasar lautnya sangat dalam. Tidak ada resort di Pulau Timba Timba ini.
Disebabkan kami tidak dapat bermandi manda di Pulau Timba Timba, pemandu bot yang baik hati ini telah membawa kami ke sebuah pulau yang cantik dalam perjalanan pulang ke Semporna. Pulau Sibuan terletak tidak berapa jauh Semporna dan karang di pulau ini sangat cantik dan banyak. Kami mandi dan snorkeling di pulau ini beberapa jam. Di pulau ini terdapat perkampungan kecil dan surau yang telah usang. Tidak terdapat resort di pulau ini. Kami membeli buah kelapa di pulau ini dengan harga Rm 1.00 sebiji dan upah memanjat dan memetik kelapa 50 sen sebiji.
Anak Dayak Laut cuba menjual kulit siput kepada kami. |
Setelah puas hati mandi manda, makan dan berehat di Pulau Sibuan, kami kembali pulang ke Dragon Inn di Semporna untuk bermalam, perjalanan pulang mengambil masa kurang lebih 30 minit. Keesokan paginya kami berangkat pulang ke Kota Kinabalu dengan menaiki bas express.
Nota:
1- Harga sebuah bot ke Pulau Mataking dari Semporna adalah Rm 450 sebuah pada tahun 2009.
2- Pulau Sibuan antara pulau yang mempunyai karang yang sangat cantik dan kepada peminat snorkling jangan abaikan pulau ini. Anda patut pergi ke sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan