Jumaat, 1 April 2016

Halong Bay Vietnam.

   
        Saya bersama 2 teman berehat sambil belayar di teluk ini setelah mendaki gunung Fansipan pada July 2011. Halong Bay atau Teluk Halong (Teluk Naga dalam bahasa Vietnam) berada 165 km dari bandar Hanoi di utara Vietnam. Ia telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 1994. Kami mengambil pakage 3 hari 2 malam untuk berehat di sini. Dengan menaiki bas seawal 7:00 pagi dari bandar Hanoi, perjalanan ke pelabuhan Halong Bay mengambil masa 4 jam dan dalam perjalanan kami singgah di Rubi Galery. Di galery ini terdapat gerai menjual makanan, buah-buahan, pakaian, barang kraf tangan dan lukisan.


Ruby Galery.


         Kami sampai di jetty hampir pukul 11:30 tengahari dan terus menaiki bot kayu 2 tingkat yang telah sedia menunggu. Pelayaran menaiki bot kayu yang kelihatan unik ini amat selesa dan segala kemudahan tersedia di dalamnya. Setelah check in di bilik masing-masing, kami dihidangkan makan tengahari sambil belayar.


Bilik di dalam bot pelayaran.




        Sepanjang pelayaran kami berehat sambil menyaksikan pemandangan indah keistimewaan Halong Bay iaitu pulau batu kapur. Di Halong Bay terdapat kurang lebih 1969 buah pulau batu kapur yang timbul dan menjulang dari permukaan laut dimana beberapa pulau di sini pula terdapat gua. Antara gua-gua yang popular di pulau ini adalah Gua Thien Cung (Gua Istana Syurga), Gua Dau Go (Gua Kayu Apong), Gua Sung Sot (Gua Kejutan) dan Gua Tam Cung (Gua Tiga Istana). Setelah belayar beberapa jam, kami singgah di Gua Thien Cung dan menerokai permandangan di dalamnya.





       Seperti gua lain yang biasa dilawati, stalagtit dan stalagmit di Gua Thien Cung ini telah dihiasi dengan pancaran lampu berbagai warna. Namun yang menariknya terdapat berbagai-bagai objek yang menyerupai hidupan lain di dalam gua ini, seperti patung pengantin Romeo and Juliet, jari telunjuk dan sebagainya.

Patung pengantin Romie and Juliet.



Warna merah objek jari telunjuk.


Sepasang kaki tergantung.
          Selepas menerokai Gua Thien Cung, kami menyambung pelayaran sehingga sampai di lokasi tempat penternakan ikan dalam sangkar. Di sini kami dijadualkan berkenu dan saya juga tidak melepaskan peluang ini.





         Selesai berkenu kami berehat di tingkat atas bot kayu sambil menunggu matahari terbenam. Petugas bot pula melayan pelancong yang ingin mandi manda di laut dan ada di antara pelancong mandi dan terjun dari tingkat atas bot ini.





         Permandangan matahari terbenam sungguh cantik di Halong Bay. Kami berehat di sini sehingga waktu makan malam. Bermalam dan tidur di atas bot kayu ini amat selesa dan tidak terasa gelombang ombak.




         Keesokan paginya selepas sarapan kami meneruskan pelayaran ke Pulau Ti Top. Kami singgah di Ti Top Island hanya seketika, mengambil gambar dan kemudiannya meneruskan pelayaran. Destinasi seterusnya adalah Pulau Cat Ba.




Ti Top Island.



         Sampai di pulau Cat Ba, kami mendarat dan pemandu pelancong membawa kami trekking di Cat Ba National Park. Trekking di sini mengambil masa kurang lebih 3 jam pergi balik dan di puncak Pulau Cat Ba ini terdapat menara untuk melihat permandangan sekitar pulau dan permandangan sebahagian Halong Bay.




       Selesai trekking di Cat Ba National Park, kami di bawa menginap di hotel di pulau ini. Pakage yang kami ambil termasuk bermalam di atas bot dan juga bermalam semalam di Pulau Cat Ba. Pulau Cat Ba merupakan pulau terbesar di Halong Bay dan terdapat banyak hotel penginapan di sini. Petang di sini kami habiskan dengan melawat sekitar bandar di pulau ini.

Makanan laut banyak terdapat di Cat Ba Island.



Restoran terapung di Cat Ba Island.




        Keesokkan paginya, selepas sarapan kami di bawa ke jetty dan meneruskan pelayaran pulang ke pelabuhan Halong Bay. Dalam perlayaran pulang kami di bawa ke tempat di mana terdapat batu seperti objek binatang. Di kalangan pelancong batu ini di kenali sebagai "The Kissing Rock". Akhirnya kami sampai di pelabuhan Halong Bay kurang lebih pukul 12:00 tengahari.




The kissing rock.

Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk melancong ke Vietnam.
2- Pakage 3 hari 2 malam untuk 2 orang sebilik termasuk makan 3 hari sehari (seafood) adalah Usd 100 pada tahun 2011.



Tiada ulasan: