Khamis, 21 April 2016

Gunung Merapi

        Dikenali sebagai kembar gunung Merbabu kerana kedudukannya yang bersebelahan dan mereka digelar Double M iaitu Merbabu dan Merapi. Bandar Selo merupakan bandar perantaraan dua gunung berlainan wajah ini. Puncak Merbabu lebih aman dan mendamaikan tetapi puncak Merapi sentiasa memendam bahang kemarahan bersama asap dari kawah gunungnya.



         Saya mendaki gunung Merapi dari jalur Selo setelah turun dari gunung Merbabu di akhir bulan March 2016 ditemani seorang teman. Kami menginap di homestay di Selo berdekatan simpang jalur pendakian gunung Merapi. Kami bangun seawal 1:30 pagi, mengalas perut sekadarnya dan mula mendaki seawal jam 2:00 pagi. Setelah berjalan 30 minit kami sampai di Base Camp Gunung Merapi dan selesai membayar permit, kami terus mendaki sehingga sampai di Pintu Gerbang Gunung Merapi jam 3:30 pagi. Kami kemudian meneruskan pendakian ke Pos 1. Cahaya malam itu agak cerah kerana bulan mengambang penuh. Kami sampai di Pos 1 sekitar jam 4:15 pagi dan berehat selama 15 minit. Kemudian kami meneruskan pendakian ke Pos 2 dan sampai di sana jam 5:35 pagi ketika mentari terbit. Terdapat juga pendaki yang berkhemah di pos 2 ini walaupun kawasan khemah agak terhad di sini.

                                     



        Setelah berehat seketika sambil menyaksikan matahari terbit kami meneruskan pendakian ke Pasar Bubrah dan sampai di sana sekitar jam 6:30 pagi. Dari Pasar Bubrah kami terus ke puncak Merapi. Mendaki ke puncak Merapi dari Pasar Bubrah agak mencabar. Saya terpaksa memerah keringat ketika mendaki jalur pasir mengelonsor sekitar 30 minit sehingga sampai ke jalur batu pejal untuk ke puncak.




          Kami sampai di puncak Merapi 2968 mdpl pada jam 7:30 pagi. Cuaca cerah dan dari puncak Merapi saya melihat puncak Merbabu yang saya daki semalam. Gunung Merapi terletak di Jawa Tengah dan merupakan gunung berapi teraktif di Indonesia. Kekerapannya meletus 2 hingga 5 tahun sekali. Kami tidak berada lama di puncak, tambahan pula saya agak gementar berjalan di bibir kawahnya yang mengeluarkan asap sedikit memedihkan mata.

Kawah Gunung Merapi.




Melihat puncak di puncak.
        Ada larangan menyataan tidak digalakkan memakai pakaian berwarna merah ketika mendaki gunung Merapi kerana warna merah seakan mencabarnya. Kami turun sekitar jam 8:00 dan sampai di Pasar Bubrah 30 minit kemudian. Pasar Bubrah terletak di kawasan lapang dan menjadi kawasan pilihan pendaki untuk mendirikan khemah selain factor kedudukannya yang hampir dengan puncak. Pasar Bubrah juga dikatakan pasar makhluk halus, tempat mereka berjual beli dan di sini para pendaki harus menjaga percakapan dan perbuatan. Kami berehat di sini agak lama sambil merakam gambar.

Turun ke Pasar Bubrah.

Berselisih dengan pendaki yang ingin ke puncak,

Pasar Bubrah
          Setelah berehat di Pasar Bubrah kurang lebih 30 minit, kami meneruskan perjalanan turun ke bawah sehingga sampai di pintu masuk New Selo. Kami turun secara santai tetapi kurang berhenti dan akhirnya kami sampai New Selo sekitar jam 11:30 pagi.

Pos 2

Pos 1


Pintu Gerbang Taman Nasional Gunung Merapi.

Bergambar bersama teman mendaki di New Selo.

Homestay.
      Dari New Selo kami menaiki ojek turun ke Desa Tlogolele tempat kami menginap dan kami sampai di homestay sekitar jam 11:50 pagi.


Nota:
1- Gunung Merapi juga boleh didaki dari jalur Kaliurang (lebih menegak sekitar 7 hingga 8 jam ke puncak).
2- Mendaki dari jalur Selo ke puncak gunung Merapi sekitar 5 hingga 6 jam.
3- Permit mendaki gunung Merapi IDR 150 ribu bagi pendaki luar negara.


Tiada ulasan: