Sabtu, 9 April 2016

Gunung Kerinci - Shelter 2

       Setelah membuat sedikit latihan, saya dan 18 orang teman terbang ke Pulau Sumatera untuk merialisasikan rencana yang telah kami rancang beberapa bulan. 4 March 2016 kami mendarat di lapangan terbang di Padang, Sumatera dan sebelum meneruskan perjalanan ke Keresek Tuo, kami singgah di kota Padang untuk membeli sedikit keperluan dan peralatan mendaki. Setelah semua keperluan lengkap, kami meneruskan perjalanan menaiki kenderaan 4 roda menuju ke Keresek Tuo. Perjalanan dari Padang ke Keresek Tuo mengambil masa kurang lebih 8 jam.


        Telah lama saya berhasrat menjejakkan kaki ke gunung berapi tertinggi di Indonesia ini. Gunung Kerinci yang berada di ketinggian 3805 mdpl ini terletak di Taman Nasional Kerinci Siblat, Sumatera Barat. Gunung ini juga tergolong dalam senarai G7 Indonesia. Taman Nasional ini berjarak sekitar 130 km di selatan kota Padang dan dikelilingi hutan lebat. Walaupun jarak kota Padang ke Keresek Tuo cuma 130 km, disebabkan jalan raya yang bengkang-bengkok, menaiki bukit dan sempit, perjalanan ke sini mengambil masa yang agak lama. Di Keresek Tuo kami menginap di Homestay Family yang terbentang ladang teh yang menghijau di hadapannya dan kedudukan gunung kerinci di sebelah kanannya.

Permandangan menuju Keresek Tuo.


      Hari pertama pendakian, selepas sarapan kami bertolak ke kaki Gunung Kerinci dengan menaiki mini bas yang disewa seawal 7:30 pagi. Perjalanan dari homestay ke kaki gunung mengambil masa kurang lebih 30 minit. Setelah melaporkan diri dan membuat bayaran di pondok penjagaan Taman Nasional Kerinci Silbat, pemandu bas meneruskan perjalanan hingga ke tempat terakhir kenderaan boleh dinaiki. Kami kemudiannya diturunkan di awal jalur pendakian. Di sini kami mengambil gambar kenangan dan cuaca agak cerah namun saya sedikit bimbang kerana musim hujan seolah-olah masih berlanjutan.

Homestay Family.




       Kami mula mendaki sekitar 8:20 pagi dan di awal perjalanan jalur masih menyusuri kebun sayur penduduk desa sehingga ke Pintu Rimba, trek seolah landai tetapi hakikatnya menaik. Sepanjang perjalanan cuaca masih baik dan cerah. Sampai di Pintu Rimba kami berehat sebentar dan berdoa untuk keselamatan sepanjang pendakian ini.





        Kami meneruskan perjalanan ke Bangku Panjang ( Pos 1 ), Batu Lumut ( Pos 2) dan Pos 3. Tidak banyak trek yang landai sepanjang pendakian ini hingga kami sampai ke Shelter 1 (2505 mdpl), saya yang mendaki di kumpulan belakang sampai di shelter 1 sekitar jam 12:00 tengahari dan kami makan tengahari di sini.





Permandangan dari Shelter 1.
      Kami kemudiannya meneruskan pendakian ke Shelter 2 sekitar jam 1:15  petang. Trek agak menegak 50 darjah dan sesuatu yang saya bimbangkan berlaku di dalam perjalanan ke Shelter 2 ini. Hujan mulai turun agak lebat dan trek tanah berlumpur semakin licin menyebabkan kami bergerak semakin perlahan. Akhirnya kami sampai di shelter 2 sekitar jam 4:15 petang. Di sini hujan semakin lebat menyebabkan kami disaran berhenti dan berkhemah di shelter 2. Kawasan khemah pula agak terhad dan kami terpaksa berhimpit seramai 4 hingga 5 orang dalam sebuah khemah. Menurut guide kami tidak boleh meneruskan pendakian ke shelter 3 kerana hujan lebat dan cuaca buruk, tambahan pula jalur ke shulter 3 merupakan laluan air. Cadangan guide, jika hujan berhenti kami akan meneruskan pendakian ke puncak sekitar jam 1:00 pagi, tetapi apa yang dirancang dan diharap tidak berlaku kerana hujan terus berlarutan hingga ke pukul 7:00 pagi. Setelah hujan berhenti, saya bercadang meneruskan pendakian ke puncak tetapi menurut guide kami terpaksa bermalam semalam lagi di sini kerana pendaki tidak dibenarkan trekking di waktu malam. Taman Negara Kerinci Siblat masih dihuni binatang buas seperti harimau sumatera, beruang madu, badak sumatera, gajah dan tapir, oleh itu kami tidak dibenarkan trekking di waktu malam. Cadangan bermalam semalam lagi di sini, ramai teman tidak bersetuju kerana mereka tidak membawa pakaian lebih dan semua pakaian dan sleeping bag mereka basah. Akhirnya kami sepakat membatalkan pendakian ke puncak dan merancang akan datang lagi ke gunung ini.

Permandangan dari shelter 2.

.


          Akhirnya kami semua turun ke bawah sekitar jam 10:00 pagi. Kami yang bergerak di kumpulan belakang dicadangkan oleh guide untuk ke Gunung Marapi di Bukit Tinggi. Saya yang pernah ke Gunung Marapi beberapa tahun dahulu bersetuju kerana dipendakian dahulu saya hanya sampai setakat puncak Abel dan hutang ke puncak Merpati boleh dilangsaikan jika kami mendaki ke Marapi. Kami terus trekking turun secara santai sambil berbincang rancangan ke Gunung Marapi.

Sekadar berhibur sepanjang perjalanan turun.

Menaiki Odong-Odong ke homestay.


        Sampai di bawah, hati sedikit terhibur melihat Odong-Odong berwarna ceria yang sedang menanti dengan muzik lagu anak-anak. Kami akhirnya bersetuju bertolak ke Bukit Tinggi petang itu juga untuk cuba menawan puncak Merpati di Gunung Marapi. Dalam perjalanan pulang ke Homestay Family di Keresek Tuo, kami singgah bergambar di tugu harimau.



          Saya agak kecewa kerana apa yang dirancang tidak berjaya dilaksanakan, namun saya akur dengan kuasa Allah. Saya berhasrat mengulangi pendakian ke Gunung Kerinci ini di masa akan datang dengan keizinan YANG MAHA BERKUASA. Pada saya sampai ke puncak gunung itu adalah target dan permandangan indah di puncak pula adalah bonus. Semoga saya dijemput ke sini lagi dengan izin ALLAH.


Nota:
1- Bayaran mendaki gunung Kerinci bagi pendaki luar adalah sebanyak IDR 150 ribu pada hari kerja dan IDR 225 ribu pada libur dan cuti umum.
2- Cadangan adalah guide Yuda Kharsana Jelajah Kerinci di fecebook.



Tiada ulasan: