Sabtu, 16 April 2016

Borobudur di sebalik senibina

     
       Lega hati saya bila keluar dari ruang ketibaan di airport Adi Sucipto Jogjakarta atau Yogyakarta, seorang teman telah sedia menunggu. Kali ini saya bercadang mendaki gunung Double M, iaitu gunung Marbabu dan gunung Merapi di Pulau Jawa. Saya keseorangan sahaja dari Malaysia kerana perjalanan ini dirancang di saat akhir. Saya dan teman yang masih menuntut di University Islam Jogjakarta bercadang singgah di Borobudur dalam perjalanan kami ke kaki gunung Marbabu. Candi Borobudur terletak 40 km di barat Jogjakarta. Perjalanan kami bermula setelah kami menaiki bas ekspres dari airport ke Magelang. Dalam perjalanan ke Magelang kami turun di simpang jalan ke Borobudur dan meneruskan perjalanan ke candi tersebut dengan menaiki van yang sedia menanti penumpang di pinggir jalan.


          Borobudur merupakan kuil atau candi terbesar di dunia sekaligus menjadi salah satu monumen Budha terbesar di dunia. Ia dibina oleh para penganut agama Budha Mahayana sekitar tahun 800 Masehi. Bangunan 6 tingkat ini mula dilupakan pada abad ke 14 selepas kemasukan dan penyebaran agama Islam di Pulau Jawa. Pertukaran agama setelah penduduk di Pulau Jawa lebih yakin dan percaya kepada agama Islam telah menyebabkan candi ini terbiar. Berkurun candi ini tertanam di dalam tanah gunung berapi sehingga nampak seperti bukit yang ditumbuhi pokok dan semak.



         Setelah membayar harga ticket sebanyak IDR 30 ribu seorang (harga orang tempatan), saya dan teman terus masuk dan menaiki setingkat demi setingkat bangunan candi ini. Dinding batu candi ini diukir dengan rapi mengikut kepercayaan agama Budha.

 


          Pada tahun 1814, Sir Thomas Stanfort Raffles yang menjadi Gabenor Janeral Inggris di Pulau Jawa telah menyedarkan dunia tentang kewujudan candi ini. Pada tahun 1975 hingga 1982 telah dilakukan pembaikan semula bangunan ini yang telah mengangkat tarafnya sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.








        Tiga tingkat teratasnya merupakan 3 lingkaran dengan 72 stupa yang berlubang dan terdapat patung Budha sedang duduk bersila di dalamnya. Stupa terbesar sekali terletak di tempat paling atas di tengah bangunan kuil ini sekaligus memahkotakan candi terbesar di dunia ini. Pelawat akan menaiki tangga untuk ke tingkat atas dan berjalan mengikut arah jam untuk melihat ukiran bangunan ini.





        Borobudur terletak di atas bukit berketinggian 265 mdpl di dataran yang dikelilingi 2 pasang gunung kembar. Gunung Sundoro dan Gunung Sumbing di sebelah barat laut, manakala Gunung Marbabu dan Gunung Merapi di sebelah timur laut.






     Setelah melawat Borobudor kurang lebih 2 jam, kami pun meneruskan perjalanan ke kaki gunung Marbabu via Suwanting.


Nota:
1- Tambang bas ekspres dari airport ke Magelang IDR 50 ribu seorang.
2- Tambang van dari simpang jalan ke Borobudur IDR 25 ribu seorang.
3- Ticket masuk Borobudur IDR 30 ribu seorang (harga warga indonesia).



Tiada ulasan: