Isnin, 11 April 2016

Gunung Marapi.

       Saya pernah ke gunung ini pada May 2011 namun hanya sampai setakat puncak Abel kerana factor cuaca. Sejak itu saya rasa terhutang di gunung ini kerana tidak sampai ke puncak Merpati dan hutang itu saya langsaikan pada pendakian kali ini setelah hampir 5 tahun tertungggak. Terdapat 3 puncak di Gunung Marapi iaitu puncak Abel, puncak Merpati dan puncak tertinggi gunung Marapi iaitu puncak Garuda. Gunung Marapi 2891 mdpl merupakan gunung berapi paling aktif di Sumatera.


        Kami berangkat ke gunung ini dari Keresek Tuo setelah mendaki gunung Kerinci dengan menaiki kenderaan 4 roda sekitar jam 5:15 petang dan perjalanan mengambil masa kurang lebih 10 jam. Di pertengahan jalan kami singgah minum di beberapa perhentian dan sampai di Bukit Tinggi sekitar jam 4:00 pagi.


          Sementara menunggu nasi goreng siap dibungkus untuk pendakian ke gunung Marapi, ada di antara teman menarik diri kerana keletihan. Akhirnya hanya 9 dari kami bersetuju mendaki gunung Marapi dan 10 orang lagi mengambil keputusan berehat di hotel. Kami 9 orang dengan ditemani seorang penunjuk arah dan berbekalkan nasi goreng meneruskan perjalanan menaiki kenderaan 4 roda menuju Desa Kotobaru di kaki gunung Marapi. Kami mula mendaki sekitar jam 5:30 pagi setelah melaporkan diri dan membayar permit mendaki di pos pendakian. Seperti kebanyakkan gunung di Indonesia, di awal jalur pendakian kami menyusuri kebun sayur-sayuran sehingga ke sampai di jambatan buluh. Kami seterusnya melalui trek hutan rimba hingga ke cadas (sempadan antara hutan rimba dan kawasan batuan gunung berapi).




       Kami sampai di cadas sekitar jam 10:00 pagi dan kami berehat di sini sambil berbual-bual dengan pendaki tempatan seperti kelaziman adat orang mendaki. Setelah merasakan seolah-olah tenaga kembali pulih, kami meneruskan pendakian ke puncak Abel. Mendaki ke puncak Abel melalui bongkah-bongkah batu yang besar dan kecil ini perlu berhati-hati memandangkan kedudukan batu yang tidak berapa kukuh. Kami akhirnya sampai di puncak Abel sekitar jam 11:30 pagi.






       Setelah merakam beberapa keping gambar di sini, kami meneruskan perjalanan ke puncak Merpati. Dari Tugu Abel, trek agak mendatar dan kawasan lapang terbentang luas sehingga menuju ke puncak Merpati. Kami akhirnya sampai di puncak Merpati 2891 mdpl pada jam 12:10 tengahari.






Puncak Merpati 2891 mdpl Gunung Marapi.
       Kami habiskan masa agak lama di puncak ini. Dari puncak Merpati saya dapat melihat taman Eldelweis yang memutih. Dari puncak Merpati ke taman Eldelweis memerlukan masa 20 minit untuk turun ke sebelah kanan tetapi saya dan beberapa orang teman mengambil keputusan turun ke sebelah kiri di mana terdapat beberapa lohong yang mengeluarkan asap. Kami berehat, meraikan kejayaan sampai ke puncak Merpati dan berkongsi permandangan indah di sana.

Taman Eldelweis.
                                                                                                                                                           





       Sekitar jam 1:30 petang kami mula bergerak turun. Saya turun dengan hati yang puas kerana dapat menjejakkan kaki di puncak gunung, umpama mendapat gaji setahun setelah penat bekerja seharian. Kami berjalan santai sehingga sampai semula di Tugu Abel. Menuruni gunung dari Tugu Abel agak menggerunkan kerana batu gunungnya agak rapuh dan tidak begitu kukuh kedudukkannya, tambahan pula permandangan bawah yang terbuka luas menimbulkan perasaan gayat.




      Sampai di cadas, kami berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan turun sehingga di warung kopi dan kami berehat sambil minum seketika di warung ini. Kemudian kami meneruskan perjalanan turun hingga ke jambatan buluh, langsung ke pondok pos pendakian gunung Marapi di bawah.





        Kami sampai di bawah sekitar jam 5:30 petang. Kenderaan telah siap menunggu dan kami terus menuju ke hotel di Bukit Tinggi. Perjalanan ke hotel dari desa Kotobaru mengambil masa kurang lebih 30 minit. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Permit mendaki gunung Marapi IDR 40 ribu seorang.

Itinerary:
Hari 1- Perjalanan dari Keresek Tuo ke Bukit Tinggi (10 jam).
Hari 2- Mula mendaki jam 5:30 pagi, sampai puncak 12:10 tengahari, bergerak turun 1:30 petang dan sampai di bawah jam 5:30 petang, menaiki van 30 minit terus ke hotel di Bukit Tinggi.
Hari 3- Pukul 9:00 pagi berangkat ke airport Padang, sampai airport jam 11:30. sampai Kuala Lumpur jam 4:40 petang.



Tiada ulasan: