Mendaki ke Masoor Rock ini seperti melunaskan separuh keinginan saya mendaki kembarnya yang jauh di Norway itu. Impian mendaki ke Trolltunga di Norway telah lama saya semat di hati. Setelah melihat gambar Masoor Rock di sosial media, saya selitkan jadual pendakian ke sini semasa saya merancang percutian ke Pakistan pada penghujung Julai 2025.

Kumpulan kami terdiri dari tujuh orang. Tiga orang dari kami memang tidak menyukai aktiviti mendaki. Pagi itu setelah checkout dari hotel, kami semua dibawa melawat beberapa tempat. Sampai di Bandar Hussainabad, kami berempat singgah di bandar kecil ini untuk mendaki Masoor Rook manakala tiga lagi meneruskan perjalanan ke hotel tempat kami bermalam nanti. Di Bandar Hussainabad kami berempat ditemani Guide Ammar. Kami bergabung dengan dua lagi temannya yang telah sedia menunggu. Kami berempat menaiki kereta yang dipandu oleh teman Ammar manakala Ammar menaiki motosikal bersama Guide Masoor Rock. Dari Bandar Hussainabad, kami melalui lorong menghala ke atas gunung di belakang Bandar Hussainabad ini. Jalan menuju starting point Masoor Rock berdebu kerana tidak berturap. Jalan berbelok-belok seperti zig-zag dan agak menegak. Kami menaiki kenderaan sekitar 30 minit sehingga sampai di sebuah resort. Kami berhenti di sini kerana Ammar memesan bugger untuk makan tengahari kami nanti.
Sementara menunggu pesanan bekalan makanan kami siap disediakan, kami mengambil peluang bergambar di resort yang agak mewah ini dan menumpang tandas. Resort ini terletak di kawasan terbuka di pergunungan Hussainabad Valley, Skardu.
Setelah siap bekalan makanan tengahari, kami meneruskan perjalanan menaiki kereta sehingga sampai ke starting point Masoor Rock. Terdapat penjaga yang memastikan setiap pendaki membuat pembayaran sebelum memulakan pendakian. Setelah semua bersedia dan membuat pembayaran, kami berempat ditemani Ammar dan dua Guide Masoor Rock memulakan pendakian pada jam 12:20 tengahari.
Permulaan trek agak santai dan mendatar melintasi beberapa buah rumah dan kawasan kebun tanaman. Kemudian kami mula memasuki kawasan hutan. Jalur melintasi semak dan rumput yang sedang ramah berbunga kuning. Kami mengambil masa agak lama berehat dan bergambar di kawasan semak berbunga kuning ini sehingga guide memanggil dan memberi amaran agar mengurangkan masa rehat kerana perjalanan masih jauh.
Kami kemudian memasuki kawasan terbuka berbatu besar di Pergunungan Skardu di Husainabad dan pendakian sebenar pun bermula. Nasib baik cuaca hari itu agak redup. Memandangkan kami mula mendaki agak lewat di kawasan terbuka, normal jika panas terik. Terdapat dua pos yang perlu kami tempuhi untuk sampai di batu terjelir persis Trolltunga di Norway ini.
Terdapat banyak jalur di celah-celah batu besar di kawasan terbuka di pergunungan ini. Jika pergi mendaki sendirian mungkin kita akan tersasar memandangkan Masoor Rock jarang didaki dan masih belum begitu popular. Jalur juga tidak bertanda, maka khidmat guide amat diperlukan untuk pendakian ini.
Kami yang telah berusia jarang mendaki sejak akhir-akhir ini. Tidak seperti waktu muda dulu, ditambah dengan factor usia yang setengah abad menyebabkan proses pendakian agak perlahan. Sampai di Pos 1, terdapat tempat rehat kecil yang beratap. Kami berhenti di sini untuk makan tengahari dan berehat sebentar. Kemudian kami meneruskan pendakian dan cuaca agak mendung hari itu.
Dalam perjalanan, guide memberi saya menghidu rumput yang tumbuh liar di jalur pendakian. Menurut guide, menghidu bau rumput yang dipetiknya itu akan mengurangkan rasa pening di tempat yang tinggi.
Setelah melepasi Pos 2, hujan renyai mulai turun. Kami berehat sebentar di celah-celah batu besar yang berlekuk dan berlubang. Hampir 20 minit berteduh, hujan mula berhenti dan kami meneruskan pendakian.
Meneruskan pendakian kami bertembung dengan dua pendaki yang dalam perjalanan turun. Mereka memulakan pendakian awal pagi seperti lumrahnya jadual pendakian. Tidak berapa lama kemudian kami berselisih dengan seorang pendaki wanita yang juga dalam perjalanan turun. Menurutnya dia tidak sampai ke Masoor Rock kerana tersasar jalur namun dia tetap berpuas hati kerana mendapat bonus pemandangan yang indah di Banjaran Skardu ini.
Akhirnya pada jam 16:50 petang kami sampai di batu terjungkit Masoor Rock setelah mendaki sekitar empat jam setengah. Masa biasa mendaki Masoor Rock adalah sekitar dua jam hingga empat jam setengah bergantung pada tahap kecergasan pendaki. Nampaknya kami masih dalam masa yang dianggarkan walaupun dalam pergerakan perlahan. Kami berehat dan merakam gambar sepuasnya setelah memerah keringat untuk sampai ke tujuan hari itu.
Masoor Rock terletak di Lembah Husainabad, Skardu. Ketinggian Masoor Rock sekitar 3737mdpl dan dikenali sebagai 'birds eye viewpoint of skardu'. Batu terjelir seiras Trolltunga setinggi 1100 meter di Vestland Norway ini mendapat tempias popular setelah dipotret kacak oleh pendaki tempatan dan menjadi viral. Seolah dunia tersembunyi di Skardu, Masoor Rock kian menjadi perhatian peminat pendaki seluruh dunia. Panjang batu ini sekitar 38 kaki dan dari atas batu ini kami menyaksikan pemandangan Sungai Indus, Bandar Skardu dan padang pasir Husainabad.
Lebih 30 minit di sini, kami kemudian bergerak turun pada jam 17:30 petang. Kami tidak banyak berehat dan berhenti dalam perjalanan turun ini berbanding masa mendaki. Tambahan pula hari sudah agak lewat dan target kami sampai ke bawah sebelum hari gelap.
Dalam perjalanan turun kami melihat pemandangan perkampungan Hussainabad. Walaupun kelewatan, kami mencuri masa rehat untuk merakam gambar. Kami berhenti di beberapa tempat untuk merakam kenangan.



Akhirnya kami sampai di bawah pada jam 19:00 malam. Kami rehat sebentar dan kemudian meneruskan perjalanan ke tapak pakir sebelum gelap.
Trek Masoor Rock tidak begitu berat dan berjarak sekitar enam kilometer, mengambil masa antara dua hingga empat jam setengah sehala bergantung kepada kecergasan pendaki. Trek ini dilakukan day trip dan 40 peratus perjalanan boleh dilalui kenderaan manakala 60 peratus jalur perlu didaki. Mendaki ke Masoor Rock melengkapi trip kami hari itu. Kami pulang ke hotel dan bergabung semula dengan ahli kumpulan yang lain untuk meneruskan percutian kami di Pakisan
Guide: Ammar mohs+92 345 7757144