Isnin, 27 Mac 2017

Kedai makanan halal di Chiang Mai


     Perkara pertama jika saya bercuti keluar negara terutama ke negara yang bukan agama rasminya adalah agama Islam, mestilah menempah hotel yang berdekatan dengan masjid untuk memudahkan saya mencari makanan halal. Begitu juga bila saya ke Chiang Mai. Saya menginap berdekatan Night Bazaar di Chiang Mai. Jika kita berjalan di Night Bazaar hingga berjumpa pintu gerbang yang bertulis Halal Street Hilal Town, di sini terdapat beberapa kedai makanan halal. Terdapat Masjid Hidayatul Islam di kiri lorong ini.





      Pada malam jumaat pula terdapat pasar malam di hadapan Masjid Hidayatul Islam Banhaw di Halal Street ini. Beberapa gerai makanan halal yang diusahaan oleh peniaga muslim, menjual berbagai makanan tempatan.



      Terus berjalan di Night Bazaar, kita akan berjumpa Kalare Night Bazaar. Di sini terdapat Food center dan ada beberapa gerai makanan halal. Terdapat juga sebuah restoran halal iaitu Babylonian Restaurant di Kalare Night Bazaar ini.







     Gerai makanan halal juga terdapat di Anusarn Night Bazzar. Di sini kedai makan agak bersih dan suasana agak meriah. Harga makanan juga agak sedikit mahal dari kedai makan di Halal Street.






      Berjalan di sekitar Night Bazzar pula akan jumpa banyak gerai yang menjual pancake dan banana roti. Terdapat banyak gerai pancake di sekitar bandar Chiang Mai, terutama di Saturday Market dan Sunday Market yang beroperasi setiap hari sabtu dan ahad dari jam 4:00 petang hingga tengah malam.


       Sekiranya kita melawat Wat Phra That di Doi Suthep iaitu wat di atas bukit yang terletak sekitar 40 minit menaiki kenderaan dari bandar Chiang Mai, terdapat deretan kedai yang menjual cenderamata, pakaian, buah-buahan, makanan dan minuman di hadapan Wat tersebut. Terdapat sebuah kedai muslim yang menjual gorengan seperti Popia, Nagget, fishball, sosej dan sebagainya di salah satu gerai di deretan kedai tersebut.


     Saya menginap di salah sebuah guest house di Loy Kroh Road berhampiran Night Bazzar dan di sini juga terdapat sebuah kedai makanan halal.


      Di pusat membeli belah di Center Festival yang merupakan antara shopping kompleks terbesar di Chiang Mai, juga terdapat sebuah "stall" makanan halal di food court. Stall "Mama's Kitchen" menghidangkan makan tempatan seperti nasi putih, tomyam, laksa dan berbagai lagi mengikut selera tempatan.



       Sememangnya Thailand  terkenal dengan makanan yang enak dan menyelerakan. Namun jika sukar menjumpai kedai makanan halal ketika berlibur di Thailand, pelancong muslim masih mudah mendapatkan makanan kerana negara tersebut merupakan negara subur dengan hasil buah-buahan dan harganya pula yang agak murah. Ke mana sahaja kita pergi di Thailand, pasti ada gerai yang menjual buah-buahan.




      Jika ke Thailand jangan lupa mencuba pulut mangga atau "sticky manggo" yang sangat enak dan popular di negara gajah putih itu.



       Selain tempatnya yang menarik dan unik, Chiang Mai juga memikat pelancong dengan makanan dan 'Thai Massagenya' yang mengasyikkan. Saya pasti ke sini lagi. Alhamdullillah dan terima kasih Allah.


Ahad, 19 Mac 2017

Pha Chor Canyon Chiang Mai


       Memang saya amat teringin menjejakkan kaki ke Grand Canyon di US tetapi masih tiada rezeki untuk kesana, jadi sekiranya saya bercuti ke mana-mana negara yang mempunyai canyon, saya akan mengambil peluang melawati tempat tersebut. Jadi semasa saya bercuti ke Chiang Mai pada awal March 2017, saya mengambil peluang untuk ke Pha Chor Canyon di Taman Negara Mae Wang National Park di wilayah Chiang Mai, Thailand.


       Tiada kenderaan awam untuk ke sini dari bandar Chiang Mai. Jadi setibanya saya dan seorang teman ke Chiang Mai dengan menaiki keretapi malam dari Bangkok, kami terus ke Guest House dan setelah berehat sebentar, kami terus ke sini dengan menyewa sebuah motorsikal. Perjalanan ke sini mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit berpandukan arah yang ditunjukkan waze. Setelah sejam setengah kami sampai di pintu masuk ke Pha Chor Canyon tetapi pengawal di pintu masuk itu mengatakan jalan ke Pha Chor Canyon sedang di baik pulih dan dia menyuruh kami berpatah balik sekitar 3 kilometer dan mengikuti simpang ke kiri untuk ke pintu masuk kedua Pha Chor Canyon. Akhirnya setelah bertanya di kedai runcit tepi jalan untuk kepastian, kami sampai di pintu masuk kedua Pha Chor Canyon.




       Di pintu masuk kedua kami membayar ticket masuk ke Pha Chor Canyon sebanyak 100 THB seorang dan 20 THB untuk sebuah motorsikal. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh 5 kilometer melalui jalan tanah merah. Jika melalui pintu pertama, kami cuma perlu melalui jarak 3 kilometer sahaja untuk ke Pha Chor Canyon dari pintu masuk, malangnya jalan di sebelah sana sedang dinaik taraf. Akhirnya kami sampai di tapak parking untuk ke Pha Chor. Terdapat tandas dan sebuah cafe yang menjual makanan ringan dan minuman. Kami rehat dan minum sebentar di cafe sebelum ke Pha Chor Canyon dan dari cafe ke Pha Chor jaraknya cuma 400 meter.



      Dari cafe, kami menuruni tangga dan trek terjaga rapi. Sampai di bawah,kami melalui jalur yang rata. Kami menyusuri jalur tanah merah berpasir sehingga ke tangga naik ke atas yang dibina.




     Setelah mendaki tangga, terdapat pondok untuk berehat dan berteduh. Berjalan sekitar 30 meter dari pondok rehat, kami sampai "view point" dan kami nampak Pha Chor Canyon di bawah.





       Pha Chor Canyon terbentuk dari Sungai Ping yang mengubah haluan alirannya lalu membentuk bukit ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu. Tahun demi tahun, hakisan angin dan hujan berlaku dan bukit tersebut runtuh, lalu terbentuk tebing curam dari pasir berbatu yang menegak. Tebing curam setinggi 30 meter dari pasir batu berwarna merah keperangan tersebut di kelilingi hutan dan pokok.





 

       Setelah berehat dan merakam gambar kenangan di sini kami kembali ke cafe melalui haluan yang berlainan sehingga ke tangga kerana jalur dari bawah tangga ke canyon dibina sehala. Namun jarak perjalanan masih sama. Mungkin saya akan ke sini lagi jika bercuti ke Chiang Mai dimasa akan datang. Terima kasih ALLAH.


Nota:
1- Pha Chor Canyon terletak di Taman Negara Mae Wang National Park di wilayah Chiang Mai.
2- Ticket masuk adalah 100 THB seorang dan motosikal 20 THB sebuah.
3- Trekking berjarak 400 meter dari cafe atau sekitar 15-20 minit berjalan kaki.
4- Tiada kenderaan awam ke sini.
5- Di buka sepanjang tahun.
6- Tiada guide diperlukan untuk kesini.


Ahad, 12 Mac 2017

Gunung (Doi) Inthanon Kew Mae Pan Nature Trail


      Walaupun ketinggiannya mencecah 2565 mdpl, namun puncaknya merupakan antara puncak paling mudah untuk dicapai. Gunung Inthanon atau dalam bahasa Thailand bermaksud Doi Inthanon ini merupakan bumbung negara Thailand, yang berdiri di Banjaran Himalaya yang menganjur dan terletak di Taman Negara Doi Inthanon di Chiang Mai, 700 kilometer utara Thailand. Saya ke sini pada awal March dan menyertai "open trip" untuk pakage ke gunung ini. Dari Chiang Mai saya bertolak seawal 7:00 pagi setelah pemandu van menjemput semua peserta yang menginap dari berbagai  hotel. Jarak Taman Negara Doi Inthanon sekitar 100 kilometer dari Chiang Mai dan perjalanan mengambil semasa sekitar 1 jam 30 minit. Terdapat trail pendek dari parking kenderaan di puncak gunung ini. Trek ini dibuka sepanjang tahun dan 20 minit diperlukan untuk menuju puncak tertinggi Negara Thailand ini.






       Tidak puas trekking di trail yang pendek ini, kita boleh trekking di salah satu trail yang popular di gunung ini iaitu Kew Mae Pan Natura Trail. Berbeza dengan trail pendek di puncak gunung Inthanon ini, Kew Mae Pan Trail cuma dibuka 7 bulan sahaja setahun iaitu dari November hingga 31 May, manakala bermula 1 June hingga 31 October trail ini ditutup kerana musim hujan.



      Di Kew Mae Pan Natura Trail terdapat 21 point tempat berehat dan melihat pemandangan dan 2 hingga 4 jam diperlukan untuk menghabiskan trekking di trail ini. Kami memulakan trekking di trek ini sekitar jam 11:10 minit  pagi setelah melawat taman bunga dan 2 pagoda Raja dan Permaisuri di puncak gunung ini. Setelah melaporkan diri, kami seramai 8 orang peserta diperkenalkan kepada guide yang akan menunjuk arah dan menemani kami sepanjang trekking nanti.



       Di permulaan trek agak mendatar dan kami melalui hutan pokok berlumut. Kami melintasi sebuah air terjun yang kecil setelah trekking sekitar 10 minit, trek melalui  hutan pokok yang redup dan terjaga rapi. Setelah trekking sekitar 40 minit akhirnya kami sampai di trek kawasan terbuka.




        Trekking di kawasan terbuka ini kita bebas menyaksikan panorama di Gunung Inthanon dan angin pula bertiup nyaman. Kami trekking di padang rumput ini sehingga sampai di point ke sembilan di mana tempat terbaik melihat panorama di trek ini. Pelantar kayu dan bangku dibina di tebing point ini agar pengunjung selesa menyaksikan pemandangan sambil berehat menghidu udara segar.






     Setelah berehat kurang lebih 20 minit di sini, kami meneruskan trekking menyusuri tebing di gunung ini dan sekitar 5 minit trekking saya melihat 2 bungkah batu besar di tebing sebelah kanan trek yang dikenali sebagai "love stone". Sepanjang trek kami masih dijamu dengan pemandangan indah.






       Kami bergerak agak santai melalui trekking turun dan singgah sebentar di setiap point untuk melihat pemandangan. Bunga Rhododendron masih berbunga ketika ini dan mewarnai trek padang rumput yang sudah mulai bertukar warna.




 

    Seterusnya kami singgah di point yang boleh melihat 2 Pagoda raja dan permaisuri iaitu Chedi Naphamethinidon dan Naphaphonphumisiri.



       Kemudian kami meneruskan trekking dan memasuki hatan pokok berlumut sehingga  ke air terjun kedua. Sebenarnya terdapat banyak air terjun di Gunung Inthanon ini cuma kami melintasi 2 air terjun sahaja untuk trek ini. Kami akhirnya menyudahi trekking ini hingga ke pintu masuk pada pukul 13:00 iaitu setelah trekking selama 1 jam 50 minit.

Tongkat percuma daripada batang buluh 
     Doi Inthanon mengambil nama sempena nama seorang raja yang memerintah Chiang Mai satu ketika dahulu. Jika kita bercadang trekking ke Kew Mae Pan Trail sendiri, pintu masuk ke trail ini terletak di sebelah kanan jalan menuju puncak gunung dan terdapat parking yang luas, tandas dan pondok pengawal. Saya berharap akan ke sini lagi di musim bunga. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Ticket masuk ke Taman Negara Doi Inthanon adalah 300 THB bagi pelancong asing.
2- Kew Mae Pan Trail dibuka 7 bulan sahaja setahun (November hingga May).
3- Bayaran seorang guide 200 THB (Maximum 10 pendaki)
4- Masa sesuai ke sini adalah dari November hingga February.
5- Jika pergi di musim panas (March hingga May) kelengkapan pelindung panas dicadangkan seperti day cream, topi dan kaca mata.
6- Mineral water 1 liter.