Selasa, 30 Januari 2024

Bercuti di Phuket dan Phi Phi Island

 


Saya terlepas komuter dari Butterworth ke Padang Besar jam 08:35 pagi itu dan terpaksa menaiki komuter kemudiannya pada jam 10:35 pagi. Disebabkan saya telah terkandas dua jam, maka perjalanan saya dari Hatyai ke Phuket terpaksa saya tunda. Bas Hatyai ke Phuket di sebelah petang bermula jam 18:00 dan saya jangka akan sampai di Phuket awal pagi. Disebabkan saya bercuti berseorangan, ada rasa sangsi tentang keselamatan jika saya mengambil bas di sebelah petang atau awal malam. Maka, malam itu saya bermalam di Hatyai. Setelah membeli sim kad Thailand di Stesen Keretapi Padang Besar, saya menaiki van ke Bandar Hatyai dengan tambang RM30.00, seperti biasa van menghantar penumpang sehingga ke hotel penginapan. Setelah check in saya makan tengahari dan ke Kim Yong Market.




Disebelah malam saya ke Night Market di kawasan Plaza Hotel. Kemudian saya ke rumah urut untuk merehat dan merawat badan. Saya berkenalan dengan kawan baru di rumah urut ini.


Keesokan paginya, saya ke Bas Station Hadyai dan menaiki van ke Phuket pada jam 09:00 pagi dan sampai di Phuket pada jam 17:30 petang. Ini merupakan kali ketiga saya bercuti di Phuket. Saya menaiki teksi motor menuju hotel penginapan setelah selesai membeli tiket bas untuk pulang ke Hadyai nanti. Di sebelah malam setelah berehat sebentar saya keluar ke Old Town Phuket. Tujuan saya untuk makan malam dan mencari pakage melawat pulau keesokkan harinya.







Saya memilih pakage Phi Phi Island dengan harga TB1800. Pakage termasuk beberapa tempat lawatan, guide, peralatan snorkling, ticket masuk pulau, sarapan ringan, makan tengahari dan pengangkutan dari hotel hingga pulang ke hotel. Keesokan paginya saya dijemput pada jam 8:00 pagi seperti yang dijanjikan. Setelah semua pelancong dari beberapa hotel lain dijemput, kami dibawa ke Charter Marine Pier untuk mendaftar nama, mendengar sedikit taklimat sambil bersarapan ringan.




Jam 09:30 pagi, setelah selesai mendengar taklimat,  pelancong menaiki bot mengikut kumpulan pakage yang diambil. Saya menaiki bot bersama kira-kira 30 orang pelancong lain yang dilayan seorang guide dan beberapa orang pembantu. Tempat pertama lawatan kami adalah Viking Cave di Pulau Phi Phi Ley. Kami cuma melihat Gua Viking ini dari dalam bot sambil merakam gambar.



Kemudian kami dibawa ke Pileh Lagoon. Air jernih seperti kaca menyambut ketibaan kami di pintu masuk ke lagoon. Terdapat banyak bot yang keluar dan masuk di lagoon ini dan bot kami berhenti dan parking di Pileh Lagoon sekitar 30 minit untuk memberi peluang kami mandi manda. Saya tidak melepaskan peluang terjun dengan memakai life jacket di lagoon yang hijau kebiruan ini.






Pulau Phi Phi terdiri dari dua buah pulau iaitu Pulau Phi Phi Don (Phi Phi Besar) dan Pulau Phi Phi Ley (Phi Phi Kecil). 
Tempat lawatan Pulau Phi Phi Ley adalah Viking Cave, Pileh Lagoon, Maya Bay dan Loh Samah Bay. Manakala tempat lawatan di Pulau Phi Phi Don pula adalah Monkey Beach, makan tengahari di Restaurant Phi Phi Don dan spot snorkling.




Kemudian kami dibawa ke Maya Bay. Maya Bay pernah menjadi lokasi pengambaran filem Hollywood, The Beach. Inilah kali pertama saya sampai di Telok Maya yang indah, pantai pasir putih halus dengan air  jernih walaupun sebelum ini saya pernah ke Phi Phi Island. Maya Bay ditutup beberapa bulan setiap tahun dari dikunjungi pelancong untuk menjaga ekosistemnya.











Kami diberi masa satu jam berehat di Maya Bay yang indah ini sebagai penutup lawatan di Pulau Phi Phi Ley sebelum memulakan lawatan ke Phi Phi Don. Setelah cukup masa yang diberi, kami dibawa melawat ke Pulau Phi Phi Don (Besar) pula untuk makan tengahari. Tempat lawatan pertama di Phi Phi Don ini adalah Monkey Beach. 



Bot kami tidak mendarat di Pantai Monkey ini. Guide cuma menunjukkan monyet yang kelihatan bertenggek di dahan-dahan pokok dari atas bot. Saya tidak begitu teruja merakam gambar monyet-monyet ini memandangkan haiwan tersebut sering saya lihat. Kemudian kami dibawa untuk makan tengahari di Phi Phi Don. Selesai makan, kami berehat di pantai dan jam 14:40 petang kami bertolak ke satu lagi spot untuk snorkling.





Selesai aktivity snorkling, dalam perjalanan pulang ke Phuket, kami singgah di Khai Island yang meriah. Kami singgah agak lama di Pulau Khai ini. Terdapat banyak gerai-gerai makan di sini. Lambakan pelancong juga amat dirasai memandangkan pulau ini merupakan destinasi terakhir berbagai pakage dari berbagai agency sebelum pulang ke Phuket. 















Kami sampai semula di Charter Marine Pier sekitar jam 18:00 petang. Dari jetty ini kami dihantar pulang ke hotel penginapan masing-masing sebagai pelengkap pakage.
Di sebelah malam saya sekali lagi ke Old Town Phuket untuk membuang masa sebelum waktu tidur.





Keesokkan paginya saya check out hotel pada jam 06:30 pagi dan menaiki moto teksi menuju ke Bas Terminal 2. Bas saya ke Hadyai berangkat jam 07:15 pagi dan sampai di Hadyai pada jam 15:30. Nasib baik saya sempat menaiki van terakhir ke Pulau Pinang yang sepatutnya jadual terakhir pada jam 15:00 petang.

Nota:
Harga tambang pengangkutan perjalanan saya bercuti ke Phuket dari Pulau Pinang:
Hari pertama.
Ferry Pulau Pinang ke Butterworth RM2.00.
Komuter Butterworth ke Padang Besar RM11.40.
Van Padang Besar ke Hadyai RM30.00
Hari kedua.
Van Hadyai ke Phuket TB600 (termasuk tambang Tuk Tuk ke Terminal Bas Hadyai dari hotel).
Teksi motor dari Bas Terminal 2 Phuket ke hotel TB100
Hari ketiga.
Teksi motor dari hotel ke Bas Terminal 2 Phuket TB100
Bas Phuket ke Hadyai TB390
Van Hadyai ke Pulau Pinang RM 65.00.

Tiada ulasan: